Akhlak Nabi seindah al-Quran

Akhlak Nabi seindah al-Quran

Sememangnya menjadi kewajipan bagi mereka yang mengaku Muslim untuk berakhlak mulia. Mereka bergaul dengan masyarakat penuh lemah lembut dan bertolak ansur, pintar dan berintegriti.

Kedudukan mereka dalam kalangan masyarakat seperti bunga berkembang mekar, berbau harum dan halus. Mereka bersikap penyayang dan merendah diri. Ini kerana mengucapkan perkataan baik adalah hasil daripada akhlak terpuji manakala perkataan buruk hasil akhlak yang keji.

Justeru, akhlak baik menuntut jiwa yang pengasih dan bersikap lemah-lembut. Akhlak yang jahat pula menuntut sikap benci-membenci serta saling membelakangi antara satu sama lain.

Akhlak baik adalah sesuatu yang tidak dapat disembunyikan kelebihannya dalam Islam. Adalah menjadi kewajipan bagi setiap individu Muslim menzahirkannya. Perbuatan seperti ini adalah suatu yang dipuji oleh Allah sebagaimana pujian-Nya terhadap Rasulullah SAW bermaksud:

“Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang terpuji.” (Surah al-Qalam, ayat 4)

Nabi SAW bersabda maksudnya: “Kebanyakan perkara yang memasukkan manusia ke dalam syurga ialah ketakwaan pada Allah dan mempunyai akhlak yang baik.” (Hadis sahih, riwayat at-Tirmidzi)

Saidina Usamah bin Zaid mengatakan: “Katakanlah kepada kami wahai Rasulullah, apakah pemberian paling baik yang diberikan Allah kepada manusia? Lalu baginda SAW bersabda: “Akhlak yang baik.” (Riwayat Ibn Majah)

Baginda SAW bersabda lagi: “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.” (Hadis sahih, riwayat al-Bukhari)

Dalam hadis lain baginda SAW bersabda: “Sesuatu yang paling berat ditimbang oleh Allah di timbangan-Nya ialah akhlak yang baik.” (Hadis sahih, riwayat at-Tirmidzi)

Rasulullah SAW adalah seorang yang merendah diri dan bersungguh-sungguh dalam melakukan kerja. Baginda selalu memohon kepada Allah supaya menghiaskan diri baginda dengan adab yang baik dan akhlak terpuji: “Ya Allah, perelokkanlah rupa paras dan akhlakku.” (Riwayat Ahmad)

Dalam hadis lain, baginda SAW juga berdoa: “Ya Allah, jauhkanlah daripadaku akhlak yang keji.” (Riwayat al-Tirmidzi)

Lalu Allah SWT memperkenankan permintaan baginda SAW dengan firman-Nya bermaksud: “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta lurus.” (Surah al-Baqarah, ayat 186)

Berdasarkan ayat berkenaan, kita dapati Allah menurunkan al-Quran kepada baginda SAW dan al-Quran juga yang membentuk keperibadian baginda. Lalu akhlak baginda SAW menjadi indah seperti al-Quran.

Sa’id bin Hisyam RA mengatakan: “Saya telah masuk menghadap Saidatina Aisyah dan bertanyakannya mengenai akhlak Rasulullah SAW. Lalu beliau mengatakan: Adakah kamu membaca al-Quran? Saya menjawab: Sudah tentu. Lalu beliau menyambung lagi: Akhlak Rasulullah SAW adalah seperti al-Quran.” (Hadis sahih)

Jika akhlak baik lagi mulia sangat dituntut, sudah tentu yang buruk dilarang sama sekali, bahkan dibenci Allah dan rasul.

Nabi SAW ada bersabda kepada isterinya Saidatina Aisyah: “Hendaklah kamu bersikap lemah lembut dan jangan sesekali bersikap kasar dan mengucapkan perkataan yang keji.” (Riwayat al-Bukhari)

Dalam hadis lain baginda SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah tidak suka perkataan buruk dan orang yang bodoh sombong serta orang yang melaungkan perkataan yang keras di pasar-pasar. Mereka itu alim dalam urusan dunia tetapi jahil dalam urusan akhirat.” (Riwayat al-Baihaqi)

Hadis diriwayatkan Ibn Hibban menyebut baginda SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah benci terhadap mereka yang berkata keji dan orang yang buruk akhlaknya.”

Anas bin Malik RA juga berkata: “Rasulullah SAW tidak pernah mencela dan tidak pernah melafazkan kata-kata yang buruk.” (Riwayat al-Bukhari)

Kesimpulannya, umat Islam wajib mempunyai budi pekerti yang mulia sebagaimana yang dicontohkan Nabi Muhammad SAW. Mereka bersikap penyayang dan belas kasihan terhadap saudara seagama, manakala dengan bukan Muslim tegas dan berhemah serta berusaha menarik minat mereka kepada Islam.

Ingatlah setiap umat Islam adalah duta kepada agama itu sendiri. Jangan sesekali merosakkan reputasi agama dengan kelakuan kita.

Oleh Zamihan Mat Zin

* Penulis ialah Penolong Setiausaha Kementerian Dalam Negeri