Anak mata juling

Ada orang berpendapat mata juling itu tanda bertuah. Bahkan ada yang menganggap juling sedikit atau dipanggil juling air membuatkan seseorang itu nampak lebih manis.

Sejauh mana kebenarannya tiada siapa tahu, tetapi yang pasti juling bukan tanda tuah, sebaliknya antara gejala mata bermasalah.

Juling yang tidak dirawat boleh menyebabkan gejala mata malas (ambliopia) yang akhirnya mengakibatkan penglihatan tidak sempurna.

Juling dan mata malas adalah sebahagian daripada pelbagai punca yang boleh menyebabkan seseorang kanak-kanak mengalami gangguan penglihatan.

Gangguan penglihatan pada kanak-kanak adalah masalah yang dapat dielak jika dikesan awal. Secara umumnya perkembangan mata bayi belum lengkap ketika dilahirkan.

Mata bayi boleh fokus pada objek yang dekat dalam lingkungan 20 hingga 40 sentimeter (lapan hingga 15 inci). Penglihatan ini bertambah baik dalam bulan pertama dengan peningkatan penggunaan mata.

Pergerakan bola mata bayi juga mungkin tidak sama antara mata kiri dan kanan hinggalah minggu keempat. Apabila umur meningkat, tahap penglihatan mereka juga bertambah baik, namun penglihatan sempurna (20/20) hanya dicapai apabila berumur empat atau lima tahun atau lebih lewat. Perkembangan mata kanak-kanak lengkap sepenuhnya apabila berumur sembilan tahun.

Sebelum otot mata kedua-dua belah mata mencapai koordinasi (untuk menggerakkan mata bersama), mata bayi bergerak secara rawak. Ini sebabnya ada kalanya mata bayi dilihat seperti juling. Namun jangan risau kerana ini adalah normal bagi bayi berumur dua bulan ke bawah.

Apabila berumur enam bulan, bayi biasanya boleh membezakan objek. Penglihatan mereka bertambah baik dengan pembentukan kawalan penglihatan binokular (keupayaan memfokus kedua-dua mata pada satu objek).

Maklumat yang diperoleh daripada penglihatan ini akan dipindah ke otak melalui saraf optik sebagai satu imej.

Pergerakan mata ini dikawal oleh otot halus di keliling mata. Masalah seperti mata malas dan juling berlaku apabila ada masalah pada otot ini. Selain itu, masalah mata juga boleh disebabkan oleh kecacatan pada mata (gangguan kornea atau retina) atau kecacatan struktur mata (yang menyebabkan rabun jauh, dekat dan astigmatisme).

Menurut Ketua Jabatan Oftalmologi Pusat Perubatan Prince Court, Profesor Dr Muhaya Mohamad, perkembangan mata yang sempurna sangat penting kerana ia boleh mempengaruhi perkembangan saraf dari mata ke otak kanak-kanak.

Walaupun masalah penglihatan di kalangan kanak-kanak di negara kita tidak banyak, ia perlu diberi perhatian serius. Kajian menunjukkan hampir 1.4 juta kanak-kanak kehilangan penglihatan setiap tahun dan kebanyakannya tinggal di negara membangun.

Ini bermakna setiap minit seorang kanak-kanak menjadi buta. Angka ini mewakili empat peratus daripada jumlah keseluruhan kes kehilangan penglihatan dan buta yang mencecah 160 juta kes setiap tahun di seluruh dunia.

Di Malaysia, kadar kelaziman kecacatan penglihatan ialah 0.28 peratus dan 2.42 peratus bagi penglihatan terhad. Manakala kadar kelaziman kehilangan penglihatan pada kanak-kanak ialah 1.5 kes bagi setiap 1,000 orang dan masalah lebih banyak berlaku di kalangan kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah.

Antara masalah penglihatan yang biasa dilaporkan ialah rabun dekat dan jauh, astigmatisme (lengkungan kornea atau kanta tidak normal menyebabkan objek yang dilihat berubah bentuk), penglihatan terhad, katarak, glaukoma serta ambliopia.

Gangguan penglihatan ini boleh berlaku ketika lahir atau terbentuk kemudian. Masalah mata anak boleh dikesan melalui pemeriksaan kesihatan biasa. Malah, ibu bapa juga perlu peka terhadap perkembangan anak, termasuk gejala yang timbul.

Menurut Dr Muhaya, antara punca yang boleh menyebabkan gangguan atau kehilangan penglihatan pada kanak-kanak ialah:

Katarak — Serangan penyakit teruk seperti rubela ketika seseorang wanita hamil boleh meningkatkan risiko bayi mengalami masalah katarak apabila dilahirkan. Katarak menyebabkan kanta mata kanak-kanak menjadi legap atau berkeladak.

Masalah ini mengehadkan penglihatan kanak-kanak. Masalah katarak boleh diwarisi dan ia boleh berlaku pada sebelah atau kedua-dua belah mata. Pembedahan pembuangan katarak perlu dilakukan segera dan dianggap kaedah rawatan mudah serta selamat. Tempoh pembedahan juga pendek iaitu kira-kira satu jam saja.

Masalah katarak juga biasanya dikaitkan dengan mata malas dan juling, terutama jika katarak hanya berlaku pada sebelah mata serta tidak diberi rawatan segera.

Glaukoma — Sama ada kongenital (dilahirkan dengan masalah ini) atau terbentuk kemudian (ketika berumur belasan tahun).

Glaukoma kongenital boleh berlaku akibat peningkatan tekanan dalam mata dan menyebabkan gangguan penglihatan. Mata menjadi semakin besar (dipanggil gejala mata lembu). Walaupun rawatannya payah dan rumit, penglihatan pesakit boleh diselamatkan. Rawatan glaukoma membabitkan pembedahan dan penggunaan ubat titis.

“Antara tanda anak mengalami glaukoma ialah mereka menutup mata apabila nampak cahaya terang. Mata pesakit menjadi sensitif kerana kornea bengkak akibat tekanan tinggi dalam mata. Jadi mata berasa sangat silau apabila terkena cahaya.

“Manakala pembentukan glaukoma jenis kedua biasanya tidak disedari. Individu berisiko, terutama yang mempunyai keluarga mengalami masalah glaukoma, perlu menjalani pemeriksaan sekurang-kurangnya setahun sekali,” katanya.

Kerosakan pada retina (ROP) — Masalah ini biasanya berlaku pada bayi yang lahir tidak cukup bulan (31 minggu dengan berat kurang daripada 1.25 kilogram). Masalah ini boleh berlaku pada dua-dua belah mata dan antara penyebab utama kehilangan penglihatan pada kanak-kanak. Jika tidak dirawat, ia boleh mengakibatkan kebutaan sepanjang hayat.

Rabun — Ini adalah masalah penglihatan yang paling banyak berlaku. Ia boleh dibahagikan kepada dua jenis, iaitu rabun teruk dan sederhana. Rabun teruk biasanya berlaku lebih cepat, iaitu ketika berumur tiga atau empat tahun.

Masalah ini perlu dikesan dan diberi rawatan secepat mungkin. Ini kerana imej kabur yang masuk ke dalam mata menjejaskan perkembangan saraf optik yang membawa mesej dari mata ke otak. Jadi potensi untuk melihat menjadi semakin rendah.

Tanpa rawatan, lama kelamaan kanak-kanak ini mengalami masalah mata malas kerana otak membiarkan imej yang kabur dan ia menyebabkan hubungan antara otak dan mata menjadi lemah. Agak mudah mengesan masalah rabun pada kanak-kanak iaitu apabila mereka terlanggar sesuatu (akibat tidak nampak) atau melihat sesuatu objek pada jarak yang sangat dekat.

Oleh kerana mata kanak-kanak berkembang sepenuhnya pada usia sembilan tahun, ibu bapa perlu segera membawa anak mendapatkan rawatan sebaik mengesan masalah mereka. Manakala rabun sederhana biasanya berlaku pada kanak-kanak berumur tujuh tahun ke atas.

Kuasa kaca mata kanak-kanak rabun meningkat setiap enam bulan; sama ada mereka pakai kata mata atau tidak. Bezanya jika pakai kaca mata, kanak-kanak ini boleh melihat dengan lebih baik dan tidak menjejaskan proses pembelajaran dan perkembangan saraf optik.

Untuk mengetahui berapa teruk masalah mata anak, anda perlu berjumpa pakar mata. Doktor akan memberi nasihat mengenai penjagaan dan pemeriksaan susulan yang perlu dilakukan. Biasanya kuasa kaca mata menjadi stabil dalam lingkungan umur 18 hingga 25 tahun.

Mata malas (ambliopia) — Ada tiga punca menyebabkan mata malas iaitu ketidaksejajaran mata, masalah refraktif (fokus kedua-dua tidak sama) dan gangguan pada tisu mata. Ia menyebabkan penglihatan berkurang yang tidak boleh dibetulkan dengan pemakaian kaca mata.

Juling adalah punca paling biasa menyebabkan mata malas. Imej yang dilihat mata juling biasanya tidak jelas. Jadi otak membiarkan imej yang dilihat mata juling. Akibatnya pembentukan saraf optik untuk mata juling juga terjejas.

Juling boleh dirawat dan dibetulkan jika ia disebabkan gangguan refraksi. Ada sesetengah kes juling boleh dibetulkan hanya dengan memakai kaca mata.

Pada keadaan teruk, pesakit perlu menjalani pembedahan. Masalah mata malas juga perlu dirawat segera kerana jika dibiarkan mata yang mengalami penglihatan terhad mata yang bermasalah boleh menjadi kekal.

Kanser mata (retinoblastoma) — Kanser mata biasanya berlaku pada kanak-kanak kecil berumur dua tahun. Ia disebabkan faktor keturunan dan antara tanda jelas ialah juling. Justeru, gejala juling tidak boleh dipandang ringan kerana tindakan segera boleh menyelamatkan mata anak anda. Bagaimanapun, kehilangan penglihatan akibat kanser mata jarang berlaku.

Trauma — Kemalangan yang berlaku pada mata seperti tercucuk benda tajam atau terkena hentakan kuat.

“Kebanyakan masalah kehilangan atau gangguan penglihatan boleh dicegah. Ibu bapa perlu lebih peka pada kelakuan anak kerana kanak-kanak tidak pandai mengadu masalah yang dihadapi. Kita boleh mengesan masalah melalui perlakuan mereka.

“Jika pada peringkat umur tadika anak-anak mula menonton televisyen terlalu dekat, itu tandanya penglihatan mereka ada masalah. Berhati-hati dengan barang di rumah kerana banyak peralatan tajam seperti pensil, pisau atau alat permainan boleh mencederakan mata anak. Jika makan sate, sebaik-baiknya lurutkan daging dari lidi. Ini dapat mengelak risiko lidi tercucuk mata, terutama jika daging berkenaan sukar dileraikan,” katanya.

Malah, Presiden Persatuan Oftalmologi Malaysia ini juga menyarankan supaya saringan pemeriksaan mata dilakukan di tadika untuk mengesan masalah penglihatan kanak-kanak. Saringan ini mudah dilakukan dan yang diperlukan hanya carta huruf yang dilekatkan di dinding.

Kanak-kanak perlu berdiri pada jarak enam meter dari carta dan diminta menyatakan huruf yang mereka nampak. Jika tidak nampak, bermakna kanak-kanak berkenaan perlu dihantar berjumpa doktor mata untuk pemeriksaan lanjut.

Untuk mengekalkan dan menyelamatkan penglihatan, rawatan perlu diberi sebaik-baiknya sebelum kanak-kanak berumur tujuh tahun. Mendapatkan rawatan pada umur lapan hingga 10 tahun dianggap terlewat kerana pada umur ini mata kanak-kanak berkembang sepenuhnya.


Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN