Angin ‘kentut’ dari faraj

Berumur 23 tahun dan belum mendirikan rumah tangga. Masalahnya, saya mengalami kentut pada bahagian faraj yang sering berlaku ketika saya melakukan pergerakan dalam solat. Dalam keadaan biasa, ia tetap berlaku, tetapi agak kurang. Adakah kentut pada faraj ini satu penyakit? Adakah ia boleh menimbulkan masalah selepas berkahwin, misalnya sukar mendapat anak?

Kentut atau angin dari faraj boleh berasal daripada gas yang dihasilkan oleh mikro-organisma yang menjangkiti faraj, atau dari udara yang memasuki faraj dalam posisi tertentu sebelum keluar semula. Mengambil andaian anda belum pernah melakukan hubungan seks, salah satu atau kedua-dua penyebab di atas adalah punca yang mungkin berlaku kepada anda.

Anda boleh mengamalkan senaman kegel untuk menguatkan otot faraj anda bagi mengurangkan kemasukan udara ke dalam faraj. Sekiranya terdapat lelehan faraj, sampel lelehan boleh diambil dari kawasan luar atau berdekatan pintu faraj tanpa merosakkan selaput dara bagi mengetahui jenis jangkitan. Teknik penjagaan kebersihan kawasan kemaluan juga boleh dipelajari daripada doktor anda bagi mengelakkan penyebaran kuman bakteria dari dubur memasuki faraj memandangkan kedua-dua bahagian terbabit berhampiran kedudukannya.