Bahagia Hidup Bermadu

Barangkali hanya yang sedang atau pernah melalui kehidupan bermadu dapat merasai pahit manisnya berkongsi kasih daripada seorang lelaki bergelar suami.

Pernahkah terfikir untuk menamatkan sebuah hubungan dengan seseorang yang anda kenali dan sayangi itu yang nyata milik wanita lain?

Melihat sisi yang pelbagai terutama menelusuri kisah rumah tangga pasangan lain yang pernah hidup bermadu sentiasa bergolak hingga berakhir dengan kehancuran, pasti menggugat impian anda untuk memanjangkan hubungan.

Namun, suratan takdir menyatakan memang dia adalah jodoh anda, lalu anda reda atas segalanya.

Diserang atau dicop dengan pelbagai tuduhan seperti perampas, pemusnah rumah tangga insan lain dan pelbagai kejian atau kata kesat mungkin juga membuatkan anda gentar untuk melayari bahtera berdua walau hakikatnya anda terpaksa berbahagi atau berkongsi kasih.

Jika itu keputusan dan jalan yang anda pilih, beberapa petua berikut mungkin mampu dimanfaatkan untuk menjadi insan yang tabah dalam memadu kasih.

Tidak dinafikan, menjadi isteri kedua sering dipandang serong dalam masyarakat lalu anda harus bersedia secara mental dan fizikal dalam menempuh fasa yang mungkin melukakan perasaan anda. Apa yang penting (bukan menggalakkan), cinta sejati tidak mudah goyah hanya kerana hinaan atau kejian orang.

# Jangan peduli apa orang kata, peduli hanya apa yang keluarga dan suami anda kata kerana hanya mereka yang berjasa dan berkepentingan dalam hidup anda.

Masyarakat hanya tahu mengutuk, tetapi tidak tahu memberi jalan penyelesaian. Tidak berdosa hidup bermadu, tidak hina menjadi isteri kedua, ketiga atau keempat, dengan syarat suami anda mestilah seorang suami bukannya seorang ‘lelaki’.

# Sentiasa merendah diri dan hormati isteri pertama, biar dia marah atau mengata apa saja asalkan anda sentiasa mengalah.

Kuatkan hati dengan matlamat bahawa perkahwinan anda adalah mencari keredaan Allah melalui kebaikan suami. Jika niat jelas dan ikhlas, lama-kelamaan isteri pertama akan lembut hatinya bahkan dia boleh menjadi kawan baik.

Pasti anda akan tenang apabila madu menghubungi dan bertanyakan khabar anda di kala suami bersamanya. Lakukan perkara serupa kepadanya apabila suami bersama anda pula.

# Senangkan hati suami, dia akan menyenangkan hati anda. Bukankah semua isteri mahu disayangi suaminya?

Oleh itu, anda perlu sentiasa memainkan peranan aktif supaya hati suami selalu senang dan tenang kerana apabila hati suami senang, madu anda juga senang hatinya. Secara langsung, kebaikan itu datang kepada anda juga, hati akan terus diselubungi kebahagiaan tanpa sedikit pun rasa iri bermukim di hati.

# Jangan tamak masa dan harta, terimalah seadanya daripada suami. Ini kerana segelintir isteri yang bermadu mengimpikan masa yang panjang untuknya sedangkan dia kena ingat dia ‘datang’ kemudian.

# Sewajarnya isteri kedua mampu berdikari supaya masa santai itu dipenuhi sebaik-baiknya. Jadi, akan kurang masa untuk memikirkan yang bukan-bukan dan jangan benarkan syaitan menguasai diri.

Mana ada perempuan yang tidak cemburu? Sedikit sebanyak ada rasa cemburu di hati kerana kita hanya manusia biasa, tetapi biarlah berpada-pada dan tunjukkan juga rasa sedikit cemburu itu kepada suami supaya dia tahu yang anda sayang kepadanya.

# Ambil hati mentua sewajarnya supaya dia juga kasihkan anda dan anak seperti dia kasihkan keluarga suami anda yang satu lagi.

# Tiada siapa yang menang atau kalah dalam perhubungan seperti ini, yang penting adalah ketenangan dalam perhubungan itu.

# Sokongan keluarga sendiri sangat penting untuk wanita seperti anda, jadi anda tidak akan rasa kekurangan apabila suami tiada bersama.

# Fikirkan konsep poligami itu adalah berkongsi bukannya merampas.

Namun, ketika anda menerima lamaran bakal suami untuk bergelar isteri kedua, berhati-hatilah ketika menerima lamaran dengan meneliti beberapa perkara iaitu:

# Tanya dan lihat: Adakah dia lelaki bertanggungjawab kepada keluarga dan ibu bapanya? Jika ya, maknanya dia akan bertanggungjawab juga kepada diri anda.

# Adakah dia menjaga solat setiap kali berjumpa anda? Jika ya, maknanya dia lelaki yang tahu perkara asas.

# Adakah bakal madu anda terdidik akhlaknya? Jika ya, mudah untuk anda berbaik-baik dengannya.

# Adakah dia punya pekerjaan tetap sekian lama? Jika ya, maknanya dia tetap pendirian dan tahu maksud kehidupan.

# Adakah dia faham mengenai perkahwinan sama seperti yang anda faham?

Jika ya, mudahlah bagi anda dan dia bertolak ansur. Jika tidak, lebih baik berfikir dua kali kerana tidak semua perempuan atau lelaki kental. Ramai juga yang mengambil peluang dengan konsep poligami ini, namun hanya mereka yang berwibawa saja mampu melakukannya.

Oleh Noriah Idris