Bingkisan pengantin

Bingkisan buah tangan pengantin

Bingkisan buat pengantin sering berubah mengikut perubahan masa.

Namun kreativiti seseorang dalam menggubah bingkisan atau gubahan hantaran membuatkannya tampil penuh pesona dan menjadi bualan ramai.

Dalam meletakkan sesebuah bingkisan atau gubahan tampil menawan, cita rasa pelanggan menjadi keutamaan.

Menurut seorang pereka kreatif butik Sayangku Handcraft Sdn Bhd, Siti Sarah Baharuddin, penentuan cita rasa pelanggan mengambil kira pelbagai aspek.

Antaranya adalah tumpuan kepada gaya terkini gubahan selain menokok tambah bentuk reben, bunga-bungaan atau sentuhan tertentu.

“Pihak yang menentukan warna atau tema bagi konsep perkahwinan seseorang adalah bakal pengantin. Kebanyakannya, apabila datang ke butik kami, perbincangan dilakukan terlebih dulu.

“Pelanggan menentukan warna atau gubahan yang sesuai dengan keinginan mereka dan kami menghasilkan gubahan terbaik yang menjadi idaman mereka,” katanya menambah, jika ada pelanggan yang mahukan kesesuaian dengan tema atau konsep warna pilihan, mereka boleh mengolah semula mengikut kehendak masing-masing.

Butik peralatan pengantin terbabit terletak di Seksyen 9, Shah Alam, Selangor, manakala ibu pejabat di Jalan Raja Hassan, Klang, Selangor.

Mempertaruhkan lebih 100 jenis gubahan kepada pelanggan, ia memberi kelebihan tersendiri kepada penggemar yang sukakan pelbagai gaya, olahan dan ilham yang didatangkan dalam pelbagai bentuk.

“Oleh kerana kebanyakan bakal pengantin gemarkan sesuatu idea yang baru, kami sering mengutarakan gubahan yang jarang terdapat di butik pengantin lain.

“Memandangkan kebanyakan penggubah yang menghasilkan gubahan sering terdedah dengan idea menarik melalui buku atau pengalaman peribadi, rekaan yang diolah sering menyerlah dan mendapat sambutan memberangsangkan,” katanya.

Terbaru katanya, bentuk gubahan untuk bunga pahar atau bunga hiasan menggunakan bunga celupan dan stokin antara yang menarik perhatian pelanggan.

Menurutnya, istimewanya bunga stokin atau celupan yang punya penggemar sendiri itu dihasilkan dengan penuh perincian.

Keindahan yang diolah bersama reben dan manik menarik menjadikan gubahan begitu berseni.

Untuk itu katanya, bakul, kotak atau apa saja elemen yang sesuai untuk dijadikan gubahan menarik dan diperhalusi dengan manik mahupun ilham tertentu mencetuskan garapan indah kepada bentuk gubahan hantaran.

Memiliki enam cawangan, butik yang beroperasi di sekitar Lembah Klang ini memberi pilihan kepada pelanggan untuk memeriahkan lagi majlis perkahwinan.

Menurut Siti Sarah, menentukan kemeriahan majlis perkahwinan mahupun pertunangan yang ditandai gubahan menarik sememangnya penting.

Jadi, tidak salah sekiranya melengkapkan majlis yang amat bermakna itu dengan mengabadikan pilihan hantaran atau gubahan penuh daya tarikan yang pasti menjadi kenangan sepanjang zaman.

Untuk sebarang pertanyaan, e-mel kepada sanyang@streamyx.com.