Butik Cantique Costume – Kostum Bertema

Sebaik membuka daun pintu butik Cantique Costume yang berpangkalan di Taman Putra Sulaiman, Ampang, Selangor, kehadiran Shara Fedayu Sarif mendapat sapaan mesra daripada pemilik butik itu.

“Selamat datang ke butik Cantique Costume. Boleh saya bantu dapatkan kostum pilihan. Namun bagi memudahkan proses memilih lebih baik anda lihat album-album ini terlebih dahulu,” saran pemilik butik Rozilawati Tamsis atau lebih mesra dengan panggilan Rozi, yang manis dalam persalinan baju-T rona biru dan seluar jean.

Sementara membiarkan pelanggannya itu membelek-belek album yang memaparkan pelbagai jenis kostum mengikut karakter kartun, uniform dan busana tradisional, Rozi, 29, sempat bertanya jenis kostum yang diingini.

Mendengar saja pelanggan tersebut bakal menghadiri majlis makan malam bertemakan Arab, Rozi terus menunjukkan beberapa helai kostum yang bercirikan fesyen Asia Barat.

Selain kostum Cleopatra, Shara turut diberi pilihan sama ada untuk menggayakan seluar potongan Aladdin, blaus sendat berlengan besar bersama aksesori kepala yang berjurai.

Cerita Rozi, setiap tahun bermula dari Oktober hinggalah Februari, ia merupakan tempoh waktu yang paling sibuk bagi butik Cantique Costume. Ini kerana dalam tempoh lima bulan tersebut, banyak syarikat bank dan syarikat-syarikat swasta menganjurkan majlis akhir tahun yang bertema.

“Sekiranya tema yang ditampilkan hanya memerlukan tetamu bergaya dengan gaun malam, dres koktel atau pakaian tradisional Malaysia, barangkali ia agak mudah.

“Namun ramai yang pening kepala jika majlis yang dianjurkan memerlukan mereka tampil dengan kostum pelik dan menarik. Bagi saya adalah amat mustahil untuk membeli kostum yang mencecah ratusan ringgit semata-mata untuk bergaya sesekali saja. Ini kerana tema majlis sentiasa berubah-ubah,” ujar Rozi sambil memakaikan purdah fabrik nipis di muka Shara.

Rozi menyifatkan pembukaan butik Cantique Costume pada bulan November tahun lalu tercetus berdasarkan pengalamannya sendiri.

Sebelum ini Rozi yang pernah berkhidmat di salah sebuah bank turut mengalami situasi yang sama. Situasi yang menyukarkannya mencari kostum yang sesuai untuk menghadiri majlis anjuran syarikat.

Pada masa yang sama, Rozi turut mendengar keluhan dalam kalangan rakan-rakan sekerja yang sukar mencari kostum memandangkan tidak banyak butik kostum di sekitar Lembah Klang. Kalau ada pun hanyalah butik yang menawarkan kostum-kostum untuk penari dan produksi persembahan.

Bertitik tolak daripada itu, Rozi mengambil keputusan berhenti kerja dan membuka butik kostum. Walaupun tidak mempunyai kelulusan dalam bidang perniagaan tetapi pengalaman bekerja di bank sudah memadai untuknya berniaga.

Lebih membanggakan, anak kelahiran Sungkai, Perak, itu membuka butik kostum menggunakan wang simpanan tanpa meminjam daripada mana-mana pihak.

“Menjalankan perniagaan kostum suatu kerja yang menyeronokkan. Terutamanya, apabila berjaya memenuhi kostum kehendak pelanggan. Disebabkan itu, setiap minggu saya melayari Internet untuk melihat kostum antarabangsa yang sudah mula diterima oleh masyarakat tempatan.

“Dalam pada itu bagi memastikan kualiti kostum tidak cepat rosak, saya mengupah seorang tukang jahit yang pakar menghasilkan kostum mengikut rekaan asal. Saya juga menggunakan fabrik yang mahal dan terbaik untuk menjamin jangka hayat busana,” tutur Rozi yang memiliki kelulusan Diploma Teknologi Maklumat, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Selain kostum majlis bertopeng, retro dan parti Halloween, Cantique Costume turut menawarkan koleksi pakaian tradisional dari pelbagai negara.

Jika tidak berkesempatan ke luar negara, Rozi akan meminta teman-teman membeli pakaian tradisional di negara yang mereka lawati. Paling tidak Rozi akan menempah menerusi jualan secara maya dan menjahit sendiri.

Sementara itu, Shara Fedayu memberitahu kewujudan butik-butik kostum memberikan kemudahan kepada orang ramai. Dengan adanya butik seperti itu pelanggan tidak gusar lagi untuk mencari dan menyewa kostum yang menarik.

“Pastinya butik kostum adalah pilihan yang ideal bagi mereka yang gemar menghadiri majlis yang mempunyai tema yang menarik. Kita tidak perlu membazir wang membeli kain untuk tempah kostum sedangkan kostum itu boleh disewa bersama aksesori pada harga yang berpatutan,” kata Shara.