Cara mengambil ubat-ubatan yang betul

Gunakan ubat-ubatan secara yang betul
Secara amnya, ubat selamat untuk digunakan jika dilakukan secara yang betul. Ia perlu diambil mengikut dos, cara dan masa yang ditetapkan. Jika tidak, ia tidak berkesan dan boleh memberikan kesan sampingan.

* Cara mengambil ubat-ubatan yang betul

- Jangan melebihi dos yang ditetapkan atau mengambil lebih daripada yang dicadangkan. Dua biji tidak sama dengan dua kali sehari.

- Jika anda terlupa untuk mengambil ubat, jangan ambil dua kali ganda semasa dos seterusnya. Menggandakan pengambilan ubat boleh membahayakan kerana ia menyebabkan terlebih dos.

- Jangan menggunakan ubat orang lain. Sesuatu ubat mungkin sesuai untuk seorang pesakit, tetapi tidak sesuai untuk pesakit yang lain, walaupun mengalami simptom yang sama. Jangan berkongsi ubat dengan ahli keluarga atau kawan-kawan. Setiap pesakit perlu berjumpa sendiri doktor atau ahli farmasi untuk mendapatkan nasihat.

- Jangan mencampurkan ubat tanpa mendapatkan nasihat terlebih dahulu. Jika anda mengambil dua jenis ubat yang sama ramuannya, anda mungkin akan terlebih dos. Terdapat juga ubat yang bertindak balas dengan ubat yang lain sehingga boleh menyebabkan kesan sampingan.

Ada pula ubat yang menghalang ubat lain daripada berfungsi. Oleh itu, maklumkan kepada ahli farmasi jika anda sedang mengambil sesuatu ubat. Jika anda berjumpa dengan ahli farmasi yang sama secara tetap, anda boleh meminta ahli farmasi itu menyimpan rekod ubat anda bagi memudahkan untuk mengesan sebarang masalah yang mungkin akan timbul.

* Rawatan sendiri

Sebelum merawat penyakit sendiri, sila perhatikan fakta berikut:

- Banyak penyakit yang berlaku sementara, sembuh secara semula jadi Penyakit selesema yang tidak teruk akan sembuh sendiri. Kebanyakan penyakit kerongkong akan pulih selepas beberapa hari, sama ada dirawat atau tidak. Penyakit-penyakit ini disebabkan oleh masalah virus, yang tidak boleh disembuh dengan menggunakan antibiotik.

- Tidak semua simptom memerlukan rawatan. Batuk disebabkan oleh rembesan yang keterlaluan. Jika batuk tersebut berulang-ulang dan teruk, sehingga mengganggu tidur, ubat batuk mungkin dapat membantu. Namaun jika batuk yang hanya berlaku pada waktu siang sahaja, ia akan sembuh dengan sendirinya.

- Sebahagian ubat boleh membahayakan jika diambil dalam tempoh yang lama, seperti ubat titisan hidung hanya berkesan bagi tempoh tertentu sahaja.

- Sebahagian ubat boleh menyebabkan ketagihan. Ramai orang yang bergantung kepada ubat tidur atau ubat anti-kegugupan.

* Apa yang perlu diketahui tentang ubat yang diambil.

Terdapat beberapa perkara yang perlu diketahui tentang ubat yang diambil, di antaranya:

- Nama ubat

- Tujuan mengambilnya

- Kesannya

- Kaedah mengambilnya – masa yang sesuai dan kekerapan

- Cara dan sukatan mengambilnya dan sukatan

- Jika adanya alternatif selain daripada mengambil ubat tersebut

- Apa yang perlu dilakukan jika terlepas dos yang ditetapkan

- Jika terdapat kesan sampingan dan apa yang perlu dilakukan jika ia berlaku

- Tempoh berjumpa doktor jika tidak ada perubahan kepada symptom

- Berapa lama ubat tersebut perlu diambil

- Adakah ubat tersebut memberi kesan kepada ubat lain yang sedang diambil Semasa mengambil ubat tersebut, adakah terdapat makanan atau minuman yang tidak boleh diambil

- Kaedah menyimpan ubat tersebut.

* Menyimpan ubat

Ubat hendaklah disimpan secara yang betul. Garis panduan bagi penyimpanan ubat adalah seperti berikut:

- Letak di tempat yang tidak boleh dicapai oleh kanak-kanak.

- Jauhi daripada terkena panas atau cahaya secara terus.

- Jangan menyimpan kapsul dan tablet di bilik air, berhampiran sinki dapur atau di tempat yang lembap. Bahang kepanasan dan kelembapan boleh merosakkan ubat tersebut. Selain itu, jangan letakkan kapas dalam bekas ubat yang telah dibuka kerana ia boleh menyebabkan kelembapan masuk ke dalam bekas itu.

- Jangan simpan ubat di dalam peti sejuk melainkan diminta berbuat sedemikian.

- Jangan simpan ubat di dalam kenderaan dalam tempoh yang lama.

- Jangan simpan ubat yang telah luput tarikhnya atau tidak digunakan lagi.

* Apabila membuat perjalanan

Bawa ubat bersama anda, dan bukannya dimasukkan di dalam beg yang akan dimasukkan ke dalam kargo. Pastikan anda membawa ubat yang mencukupi semasa dalam perjalanan. Jika perlu, bawa salinan preskripsi yang bertulis bersama, kerana mungkin anda memerlukannya.

* Kesan sampingan ubat

Di samping memberikan kesan terhadap penyakit, ubat juga boleh menyebabkan kesan yang tidak dikehendaki. Kebanyakan kesan sampingan ini juga memerlukan rawatan kesihatan, manakala sebahagiannya tidak.

Jika anda menghidapi kesan sampingan yang tidak diingini, dapatkan nasihat daripada doktor atau ahli farmasi. Begitu juga jika ingin mengetahui kesan sampingan yang akan berlaku sebelum menjalani sesuatu terapi, minta nasihat doktor dan ahli farmasi.

* Maklumat tambahan

- Belajar tentang nama ubat. Jika perlu tuliskan nama ubat tersebut untuk kegunaan masa hadapan.

- Jika perlu mengambil ubat setiap hari, jangan tunggu sehingga ubat itu habis sebelum mengisinya dengan bekalan ubat yang baru.

- Jika mendapati sukar untuk mengingati masa mengambil ubat, dapatkan nasihat doktor atau ahli farmasi bagi mendapatkan cadangan mereka.

- Baca label terlebih dahulu setiap kali mengambil ubat.

* Peringatan

- Pastikan anda meninggalkan farmasi setelah memahami sepenuhnya cara penggunaan ubat dan arahan yang khusus.

- Jangan berhenti daripada mengambil ubat walaupun telah berasa sihat. Antibiotik perlu dihabiskan kerana ia bertujuan membunuh bakteria yang menyebabkan penyakit tersebut.

- Jangan berhenti mengambil ubat disebabkan oleh kesan sampingan yang kecil ataupun telah sihat dalam tempoh semalaman ataupun merasakan ubat tersebut tidak berkesan. Sebahagian ubat mengambil sedikit masa untuk bertindakbalas.

- Sumber: www.knowyourmedicine.gov.my