Isu Rumahtangga

Dakwa pihak ketiga yang menyebabkan perceraian

Dakwa pemusnah rumah tangga

Isteri mana yang tidak sakit hati, hancur luluh, merajuk, meluat, kuat membebel dan akhirnya hilang sabar apabila suami yang dikahwini atas dasar cinta akhirnya beralih arah kepada wanita lain.

Kasih sayang disemai, janji manis termeterai dan frasa `gunung berapi sanggup didaki dan laut dalam sanggup direnangi’ bukan lagi kata keramat menggambarkan betapa kukuhnya cinta, sebaliknya semua sudah bertukar sengsara apabila wujud orang ketiga.

Terlalu banyak kisah rumah tangga dipaparkan akibat kehadiran orang ketiga. Bukan saja suami, ada juga isteri yang `main kayu tiga’ apabila sudah bosan dengan rumah tangga dibina.

Yang nyata, hidup berumah tangga banyak rencam dan ragam. Kehadiran orang ketiga dalam sebuah institusi perkahwinan ibarat duri dalam daging dan jika gagal ditangani dengan baik akan membawa kemusnahan.

Orang ketiga bukan saja merujuk kepada kehadiran perempuan lain atau kekasih baru dalam rumah tangga, sebaliknya ia mencakupi campur tangan ibu bapa mentua, keluarga, rakan atau sesiapa saja yang mampu mempengaruhi kemusnahan ikatan perkahwinan.

Justeru, kewujudan Akta Kesalahan Jenayah Syariah (WilayahWilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559) di bawah Undang-Undang Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan memperuntukkan orang ketiga yang menjadi punca perceraian boleh dituduh sebagai penjenayah.

Akta ini memberikan kelegaan kepada orang ramai untuk mengheret pihak ketiga yang bertanggungjawab memporak-perandakan rumah tangga ke Mahkamah Syariah.

Sebanyak 222,701 kes perceraian dicatatkan pada 2001 hingga 2011 berpunca daripada kehadiran orang ketiga.

Satu peringatan

Mengulas mengenai senario itu, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang, mengakui kira-kira 30 hingga 40 peratus statistik kes perceraian di negara ini berpunca daripada pihak ketiga.

Mensabitkan orang ketiga penyebab perceraian satu perkara yang sukar dan amat subjektif jika dilihat dari aspek perundangan.

Oleh itu, pihaknya berharap akta itu dikuatkuasakan sepenuhnya, selain memberi kesedaran orang ramai mengenai hak dan mengelak penganiayaan.

Musa berkata, apa yang diharapkan pihak yang ingin membuat aduan perlu menyediakan maklumat lengkap dan bukti menyokong aduan mereka.

“Mensabitkan orang ketiga penyebab perceraian satu perkara yang sukar dan amat subjektif jika dilihat dari aspek perundangan. Empat unsur penting perlu ada iaitu membabitkan unsur paksaan, pujukan, halangan dan hasutan sebelum didakwa akta terbabit,” katanya.

Contohnya menunjukkan gambar pihak ketiga saja tidak mencukupi tanpa bukti wujudkan perbuatan mereka.

“Agak sukar jika tidak cukup bukti untuk mendakwa pihak ketiga. Apabila pergi ke mahkamah, jika orang yang didakwa tidak mengaku, ia akan merumitkan lagi proses dakwaan, malah boleh menyebabkan kes gugur atau sebagainya,” katanya.

Prosedur membuat aduan

Prosedur aduan dimulakan dengan membuat aduan kepada pihak polis dan Bahagian Penguatkuasaan dan Pendakwaan di Jabatan Agama Islam dengan mengemukakan bukti kukuh, selain perlu ada saksi sebelum siasatan dijalankan.

Beliau berkata, apa-apa saja bukti boleh kemukakan dan ia tidak terhad kepada Qarinah (fakta yang ada hubungan dengan fakta lain), iaitu termasuk bukti pesanan khidmat ringkas (SMS), dalam Facebook, gambar di telefon, video dan audio dan semua perkara yang boleh menjadi satu tanda berlaku perbuatan itu.

“Elemen komunikasi menerusi SMS dan panggilan telefon boleh didapati dengan bantuan pihak lain seperti syarikat telekomunikasi yang boleh dijadikan bukti kukuh dengan syarat perlu wujudnya empat unsur itu,” katanya.

Tiga seksyen di bawah akta itu mencakupi Seksyen 36 merujuk kesalahan memujuk lari perempuan bersuami, Seksyen 37 merujuk kepada kesalahan menghalang pasangan sudah bernikah daripada hidup bersama sebagai suami isteri dan Seksyen 38 menghasut suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan dan tanggungjawabnya,” katanya.

Seksyen itu diperkenalkan bagi mewujudkan halangan campur tangan pihak lain dalam institusi kekeluargaan.

“Yang penting, orang teraniaya perlu mencuba dan berani tampil ke depan membuat aduan. Jabatan Agama Islam juga perlu lebih proaktif melakukan siasatan sebelum kes di bawa ke mahkamah.

“Apabila dakwaan ini dilaksanakan mengikut landasan yang tepat dengan rujukan peguam, maka akta yang disediakan ini akan terus berkembang,” katanya.

Beliau menegaskan, masalah ini tidak boleh dipandang ringan kerana kes perceraian semakin meningkat saban tahun.

“Oleh itu, jika ada suami atau isteri mempunyai bukti mereka boleh buat laporan ke Mahkamah Syariah bagi membolehkan siasatan dibuat mengikut akta terbabit,” katanya.

Sementara itu, Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie, Suzana Ghazali, berkata usaha paling penting ialah suami dan isteri perlu tahu hak serta tanggungjawab masing-masing, selain berusaha menjaga rumah tangga bagi mengelak pelbagai masalah termasuk membuka ruang kewujudan orang ketiga.

“Cinta isteri orang memang tak boleh dilayan. Haram isteri menyayangi lelaki lain, begitu juga sebaliknya.

“Jangan sesekali terpedaya dengan ayat cinta, sebaliknya celikkan mata hati dengan memahami apa yang berlaku di depan mata,” katanya.

INFO

Kandungan Akta Kesalahan Jenayah Syariah 1997 (Akta 559)

* Seksyen 36: merujuk kesalahan memujuk lari perempuan bersuami. Sabit kesalahan: didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya.

* Seksyen 37: merujuk kepada kesalahan menghalang pasangan sudah bernikah daripada hidup bersama sebagai suami isteri. Sabit kesalahan: didenda RM2,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya.

* Seksyen 38: menghasut suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan serta tanggungjawabnya. Sabit kesalahan: didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tiga tahu atau kedua-duanya.

Cara membuat dakwaan pihak ketiga yang menyebabkan perceraian

1) Lengkapkan segala bukti kukuh sama ada SMS, video, audio, atau qarianah lain yang wujudnya unsur paksaan, pujukan, halangan dan hasutan.

2) Bawa saksi.

3) Buat aduan di Bahagian Penguatkuasaan dan Pendakwaan Jabatan Agama Islam.

4) Sekiranya lengkap segala yang diperlukan dan siasatan akan dijalankan.

Oleh Hidayah Mohammad



Next Page »