Kaki Dan Mulut

Awasi serangan penyakit tangan, kaki, mulut

Pakar Perunding Pediatrik, Dr Yong Junina Fadzil, berkata penyakit tangan, kaki dan mulut antara gejala yang mudah dijangkiti kanak-kanak berikutan sering terdedah kepada persekitaran yang tidak bersih.

“Antara gejala jangkitan ialah bermula dengan demam, batuk dan selesema. Ibu bapa boleh mengesan bintik-bintik merah pada tapak tangan dan kaki serta ulser di dalam mulut, pada bahagian lelangit dan juga bahagian dalam pipi.

“Biasanya, penyakit ini mengambil masa antara lima hingga tujuh hari untuk sembuh. Bagaimanapun, ibu bapa dinasihatkan supaya membawa anak yang didapati ada menunjukkan tanda serangan berjumpa doktor segera bagi mengelak daripada semakin teruk,” katanya.

Beliau berkata, ketika ini tiada rawatan khusus untuk penyakit tangan, kaki dan mulut. Namun, lazimnya doktor selalunya akan memberi krim kepada pesakit supaya dapat mengurangkan sakit ulser dalam mulut, beberapa jenis ubat demam dan selsema.

Selain itu, ibu bapa perlu memberi minum kepada anak yang dikesan menghidap penyakit ini secukupnya supaya mereka tidak mengalami dehidrasi. Bagaimanapun antara cara rawatan yang mudah ialah memastikan kebersihan mulut anak bagi mengelak daripada mendapat jangkitan sekunder dalam mulut.

Dr Yong Junina berkata, apa yang penting ibu bapa perlu memainkan peranan dengan mengikut panduan serta nasihat doktor supaya penyakit itu tidak menular kepada anak mereka sekali gus berjangkit kepada kanak-kanak lain.

“Sekiranya ingin menghantar anak ke pusat jagaan, ibu bapa terlebih dulu perlu mengetahui sama ada terdapat kanak-kanak lain yang tidak sihat atau terkena penyakit tangan kaki dan mulut. Sekiranya ada, jangan hantar anak anda ke pusat jagaan itu selama beberapa hari kerana virus itu mudah merebak. Begitu juga sekiranya anak sendiri yang menghidap penyakit berkenaan, jangan hantar mereka ke pusat asuhan itu kerana ia boleh berjangkit kanak-kanak lain,” katanya.

Ibu bapa juga perlu memastikan anak mereka tidak berkongsi makanan atau menggunakan gelas, sudu dan bekas makanan yang sama dengan kanak-kanak lain bagi mengelakkan jangkitan itu. Sebaiknya, anda dinasihatkan supaya menyediakan bekalan makanan sendiri untuk anak.

Punca Virus – Coxsackie, Enterovirus

Gejala – demam, batuk, selesema

Tanda awal – bintik merah pada tapak tangan dan kaki, ulser di dalam mulut, bahagian lelangit dan bahagian dalam pipi

Tempoh – lima hingga tujuh hari

Oleh Hidayah Mohammad