Masalah Telinga

Bahaya Pencemaran Bunyi, Jejas Pendengaran

Bunyi kuat jejas pendengaran

Ada antara kita yang mengalami masalah deria pendengaran disebabkan memang dilahirkan sebagai orang kelainan upaya. Namun, tidak kurang juga yang kehilangan deria itu kerana berlaku kemalangan atau penyakit berjangkit.

Penyakit berjangkit seperti meningitis, campak, beguk dan jangkitan kronik telinga, kecederaan kepala dan telinga serta penuaan boleh menyumbang kepada kehilangan pendengaran.

Namun, punca paling biasa masalah pendengaran ialah bunyi bising yang berlebihan sama ada terdedah dengan bunyi sangat kuat, tembakan atau jentera di tempat kerja yang didengari sekali atau secara berulang dari semasa ke semasa berpotensi merosakkan deria penting itu.

Ia juga boleh disebabkan bunyi yang terlalu kuat daripada televisyen sehingga mengganggu keupayaan individu untuk memahami perbualan yang akan menimbulkan masalah bukan saja di rumah, malah di tempat kerja.

Bukan itu saja, kadangkala kehilangan deria pendengaran juga akan menyebabkan seseorang itu berasa terasing atau disisihkan daripada keluarga, rakan dan persekitaran.

Menurut laporan dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia, dianggarkan kira-kira 275 juta orang di seluruh dunia tidak dapat mendengar dengan jelas semua bunyi yang disukai kerana mengalami kehilangan pendengaran dan menyenaraikannya sebagai kecacatan deria nombor satu di dunia.

“Menyedihkan apabila masalah kehilangan pendengaran itu akibat kebisingan yang boleh dicegah. Justeru, orang ramai perlu mengelakkan diri mereka dengan perkara yang boleh menyebabkan masalah itu berlaku.

“Malah, deria pendengaran juga boleh dilindungi menerusi langkah yang mudah,” kata Pakar Audiologi Perniagaan Perlindungan Pendengaran 3M, Dr Laurie Wells.

Memakai pelindung pendengaran

Langkah paling penting untuk mencegah kehilangan pendengaran adalah memakai pelindung pendengaran.

“Terdapat banyak pilihan yang baik untuk pelindung pendengaran, tetapi kadangkala ia memerlukan penelitian mengenai alatan yang sesuai dipilih dan dipakai dengan cara yang betul.

“Pelindung pendengaran kini lebih selesa dipakai dan mempunyai pilihan untuk meningkatkan komunikasi seperti mikrofon dan rangkaian radio dua hala bagi orang yang memerlukannya,” kata Dr Wells.

Antara punca yang boleh mengganggu masalah pendengaran ialah letupan bunga api di kawasan perumahan ketika sambutan perayaan.

Walaupun ia dianggap perkara biasa, bunyi yang kuat hasil daripada letupan mercun atau bunga api itu sebenarnya boleh membawa kemudaratan terhadap kesihatan pendengaran penghuni di kawasan terdekat seperti ahli keluarga dan jiran.

Pendedahan yang berpanjangan kepada bunyi bising berbahaya ini satu punca kerosakan pendengaran yang tidak dapat dipulihkan.

Bunga api direkodkan melebihi 120 kekuatan sasaran dalam desibel (dB) pada jarak sehingga 150 meter manakala letupan mercun pula melebihi 170dB pada jarak 0.5 meter.

Memberi perhatian terhadap risiko kesihatan, kita masih boleh menikmati pertunjukan bunga api dengan menggunakan penyumbat telinga pakai buang sebagai langkah berjaga-jaga.

Langkah mudah berkenaan bagi mengelakkan terjadinya kerosakan berkekalan pada deria pendengaran akibat pendedahan berpanjangan lebih 15 minit terhadap kekuatan bunyi sehingga 100dB.

Kesan berdengung atau berdesing selepas letupan mercun boleh diatasi dengan berehat dan elakkan daripada mendengar bunyi yang kuat selepas itu selama 24 jam.

Namun, sekiranya gejala itu berterusan, Dr Wells menyarankan untuk menjalani pemeriksaan perubatan dengaran dengan doktor pakar.

Berhati-hati sepanjang masa

Pendedahan yang berpanjangan terhadap bunyi kuat boleh merosakkan pendengaran anda secara kekal yang menyebabkan bahagian dalam telinga berasa berdesing dan gejala lain.

Mungkin tidak ramai yang memiliki atau membawa meter desibel untuk mengetahui tahap kekuatan bunyi didengari. Namun, sebaiknya kita perlu sentiasa mengetahui tahap bunyi yang didengari bagi mengelakkan masalah pendengaran berlaku.

* Menghadiri permainan bola sepak (100dB hingga 120dB)

* Menggunakan mesin peniup daun atau gergaji rantai (95dB hingga 120dB)

* Menunggang motosikal (80dB hingga 110dB)

* Menggunakan pemotong rumput (82dB hingga 103dB)

* Menghadiri konsert genre rock (90dB hingga 120dB)

* Mendengar alat pemain muzik peribadi (75dB hingga 114dB)

* Menonton filem di pawagam (72dB hingga 104dB)

Mendengar bunyi hasil daripada aktiviti di atas dalam masa singkat dan bukan berulang tidak menjadi ancaman utama kepada deria pendengaran.

Namun, jika ia dilakukan secara berulang akan menyebabkan kerosakan kepada pendengaran untuk jangka masa yang panjang.

Ramai orang misalnya yang bekerja di lombong, pegawai polis, bidang pembinaan dan petani akan menghadapi bunyi bising sehingga 85dB atau lebih tinggi setiap hari.

Justeru, kehilangan pendengaran akibat bunyi bising yang berpunca dari tempat kerja suatu masalah biasa.

Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan melaporkan, masalah kehilangan pendengaran berpunca dari tempat kerja berada di tahap kedua tertinggi yang berlaku kepada pekerja.

Selain bunyi bising di tempat kerja, gangguan masalah pendengaran juga boleh terjadi ketika kita bergembira menghabiskan waktu lapang dengan melakukan aktiviti karaoke.

Kajian dilakukan Institut Kesihatan Amerika Syarikat, sesi karaoke boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan pendengaran individu itu sendiri.

Kekuatan suara yang dinyanyikan dengan keras serta muzik latar yang kuat akan membawa kepada kerosakan suara serta kehilangan pendengaran disebabkan bunyi bising.

Kajian menunjukkan bahawa selepas dua jam sesi karaoke pada paras bunyi melebihi 95dB, subjek uji kaji dilaporkan mengalami kehilangan pendengaran sehingga 8dB.

Justeru, untuk mengatasi masalah itu berlaku di samping dapat menjalankan aktiviti digemari bersama rakan, cuba kurangkan kesan bunyi kepada pendengaran secara berlanjutan.

Sebaiknya, berikan rehat seketika kepada telinga dengan meninggalkan bilik atau keluar ke kawasan yang lebih aman dan tenang untuk beberapa minit.

Bayangkan jika untuk orang biasa saja, bunyi melebihi 85dB dianggap berbahaya kepada telinga apatah lagi jika mendengar bunyi yang lebih kuat daripada itu.

Selain itu, ramai generasi muda hari ini lebih gemar mengunjungi kelab hiburan untuk menghabiskan masa di hujung minggu.

Namun, tahukah anda, bunyi rentak muzik kuat yang dihasilkan pusat hiburan antara 118dB hingga 133dB itu bersamaan dengan bunyi pelepasan enjin pesawat jet?

Pada tahap bunyi bising yang tinggi ini, pendedahan selama tiga hinggaempat minit saja sudah mencukupi untuk menyebabkan kerosakan jangka panjang kepada deria pendengaran anda.

Untuk mengurangkan masalah berkenaan,hadkan lawatan ke kelab hiburan tidak melebihi sekali dalam sebulan dan kurang daripada empat jam jika mahu berkunjung ke situ.

Mengurangkan volum atau menjauhkan jarak

Bunyi bising disebabkan persekitaran pekerjaan mungkin tidak dapat dielakkan, tetapi anda boleh mengawalnya dengan memilih peralatan yang lebih senyap.

Selain itu, berhati-hati dengan kawalan kelantangan bunyi pada peranti hiburan mudah alih yang boleh melebihi 110dB,tahap berbahaya jika mendengarnya dalam masa yang panjang.

Menerusi cara mengurangkan volum dan mengehadkan tempoh masa ketika mendengar bunyi berkenaan, antara langkah yang boleh dicuba.

Jika bunyi tidak dapat dikurangkan, cuba jauhkan jarak beberapa langkah bagi menurunkan tahap desibel yang didengari.

Selain itu, ketika menghadapi perjalanan pulang ke kampung halaman apabila ada sambutan perayaan, kebanyakan kita gemar menggunakan pemain alat muzik mudah alih untuk mendengar hiburan yang kemungkinan akan memberikan tekanan pada telinga.

Walaupun tidak menunjukkan kesan secara langsung, ia disedari pada tempoh jangka panjang yang boleh membawa masalah lain seperti tidak dapat membezakan konsonan dan kurang memahami pertuturan ketika perbualan.

Terdapat beberapalangkah yang boleh dilakukan dalam usaha untuk mengurangkan kesan yang timbul ketika mendengar muzik dalam tempoh lama.

Caranya, dengar muzik dengan volum 60 peratus daripada tahap maksimum selama 60 minit dankemudian berehat seketika.

Selain itu, gunakan fon kepala dan bukannya palam telinga kerana ia lebih cenderung untuk merosakkan pendengaranserta tahap kekuatan bunyinya iaitu 9dB lebih kuat.

Ambil komitmen perlindungan pendengaran

Justeru, bagi menjaga kesihatan deria pendengaran anda, pastikan memakai pelindung pendengaran supaya dapat menikmati semua muzik atau bunyi yang digemari.

Memahami kepentingan penjagaan telinga, 3M melancarkan Hearing Pledge untuk membantu mengelakkan daripada masalah deria pendengaran kepada orang ramai.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai produk berkenaan, layari www.hearingpledge.com.

Oleh Hajahfarhana Tarmudi



Next Page »