Osteoporosis

Penyakit Osteoporosis

Ambil berat risiko osteoporosis

Dalam udara pagi yang dingin, Mak Cik Ma (bukan nama sebenar) begitu tekun melakukan kerja mencuci dan mengelap lantai. Lazimnya dia bangun seawal jam 5 pagi, ketika kebanyakan penghuni pangsapuri masih diulit mimpi untuk memulakan tugasnya sebagai pencuci.

Bermula awal akan membolehkan dia menghabiskan kerjanya sebelum cuaca menjadi lebih panas.

Meskipun tangan kirinya berbalut, wanita gigih ini masih meneruskan kerjanya menyapu, mengelap, bergerak dari satu tingkat ke tingkat yang lain dan dari satu blok ke blok yang lain.

Berusia pertengahan 70-an, Mak Cik Ma mengalami fraktur atau retakan pergelangan tangan akibat terjatuh ketika mahu membaiki lampu balkoninya. Memandangkan usianya yang lanjut, retakan itu memerlukan masa yang lebih panjang untuk sembuh.

Malah sebelum terjatuh, dalam kesempatan berbual-bual ketika penulis bertembung dengannya semasa dia menyapu lantai, dia beberapa kali mengeluh mengenai lututnya yang semakin sakit terutama apabila memanjat tangga untuk melakukan kerja hakikinya.

Risiko tinggi

Pada hakikatnya, mereka yang sudah berusia berhadapan dengan risiko yang lebih tinggi untuk terjatuh disebabkan daya penglihatan yang kabur atau masalah imbangan dan pergerakan.

Sekiranya berlaku insiden terjatuh, ia boleh menyebabkan keretakan, terutamanya pergelangan tangan, spina atau tulang belakang dan pinggul. Wanita yang menopaus atau putus haid juga berhadapan dengan risiko tinggi untuk mengalami keretakan.

Keadaan ini biasanya dikaitkan dengan osteoporosis, sejenis penyakit tulang. Osteoporosis ini ada kalanya juga digelar sebagai ‘penyakit senyap’.

Bagi mereka yang mempunyai osteoporosis, tulang-tulang mereka lemah dan mudah patah. Ini menjadikan tugas mudah seperti berjalan pun begitu menyakitkan.

Menurut Wikipedia, tidak ada petanda tertentu untuk osteoporosis tetapi ia boleh meningkatkan risiko keretakan tulang.

Keretakan berlaku dalam keadaan di mana orang yang sihat tidak akan mengalami patah tulang dan keadaan ini disifatkan sebagai keretakan akibat kerapuhan.

Ensaiklopedia percuma itu menyatakan keretakan akibat kerapuhan lazim berlaku di bahagian kolum vertebra, tulang rusuk, pinggul dan pergelangan tangan.

Ia menyebut di Amerika Syarikat, sebanyak 250,000 kes keretakan pergelangan tangan dilaporkan berpunca daripada osteoporosis dan keretakan pergelangan tangan ialah keretakan osteopotorik ketiga yang paling kerap berlaku.

Masalah kesihatan

Sementara itu, berdasarkan laporan International Osteoporosis Foundation (IOF), kepercayaan bahawa osteoporosis hanya berlaku di Barat dan jarang terjadi di Timur kini boleh dianggap sebagai hanya satu metos.

Menurut laporan itu, memandangkan jumlah penduduk warga emas yang besar di Asia, osteoporosis akan menjadi masalah kesihatan yang utama pada tahun-tahun akan datang.

Laporan itu turut menyebut peningkatan dua hingga tiga kali ganda kes keretakan pinggul di kebanyakan negara Asia dalam tempoh 30 tahun lalu.

Laporan Audit Asia IOF itu dihasilkan melalui bantuan kewangan dari Fonterra, pengeksport produk tenusu terbesar dunia dengan jenama utama termasuk Anlene, rangkaian produk tenusu yang dirumus khas untuk orang dewasa bagi mengoptimumkan kesihatan tulang.

Menurut laporan itu lagi, di Hong Kong, kejadian keretakan pinggul meningkat 300 peratus dari 1960-an hingga 1990-an, sementara di Singapura, insiden keretakan pinggul pada 1998 ialah lima kali ganda lebih banyak daripada jumlah kes pada 1960-an.

Di Jepun, di mana kes keretakan pinggul dipercayai antara yang paling rendah di dunia, insiden keretakan pinggul dari 1986 hingga 1998, meningkat 1.6 kali ganda untuk lelaki dan 1.5 kali ganda untuk wanita.

Tanah Besar China juga menunjukkan kenaikan yang besar dalam insiden kes keretakan pinggul, iaitu 34 peratus untuk wanita dan 33 peratus untuk lelaki bagi tempoh 1988 hingga 1992.

Laporan itu juga menyatakan kos osteoporosis adalah tinggi dan keretakan pinggul ialah punca utama warga emas dimasukkan ke hospital.

Sebagai contoh, di Amerika Syarikat, kos secara langsung keretakan pinggul dianggarkan RM48.3 bilion pada 1995 sementara di United Kingdom, kos secara langsung akibat keretakan pinggul pada 1998 ialah RM5. 5 bilion.

“Memandangkan osteoporosis dan keretakan pinggul membabitkan kos rawatan yang amat besar, langkah kritikal yang perlu dilakukan ialah mengesan dan merawat lebih awal pesakit yang berisiko tinggi,” kata laporan itu.

Senario Malaysia

Laporan IOF yang turut menggariskan hasil kajian yang dibuat di Malaysia, menyebut insiden keretakan pinggul osteoporotik ialah tertinggi dalam kalangan kaum Cina (63 peratus), diikuti Melayu (20 peratus) dan India (13 peratus).

Ia juga menunjukkan kes-kes keretakan pinggul berlaku dua kali ganda lebih banyak di kalangan wanita berbanding lelaki.

Berdasarkan kaum serta data tertentu jantina, insiden keretakan pinggul adalah tinggi di kalangan wanita Cina (220 orang bagi setiap 100,000 orang) dan diikuti wanita India.

Dari segi kos, kos penghospitalan secara langsung untuk rawatan keretakan pinggul pada 1997 dianggarkan sebanyak RM21 juta.

Kajian itu, yang juga meliputi status vitamin D di kalangan wanita yang putus haid menunjukkan 71 peratus wanita Melayu yang putus haid tidak mendapat keperluan harian vitamin D mereka.

Pada hakikatnya, kajian itu menunjukkan ketakcukupan vitamin D serta pengambilan kalsium yang rendah berlaku di semua 14 buah negara yang diaudit.

Dasar kesihatan

Pengurus Besar Fonterra Malaysia, John McKay berkata, meskipun Malaysia memberi banyak fokus kepada osteoporosis berbanding banyak negara lain di Asia, masih terdapat keperluan untuk memberi keutamaan kepada penyakit itu di peringkat dasar kesihatan kebangsaan.

Baru-baru ini beliau melancarkan kempen ‘Dengarlah Tulang Anda’ dengan sokongan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Kempen itu bertujuan mendidik rakyat Malaysia mengenai kepentingan kesihatan tulang dengan menawarkan khidmat pengimbasan tulang secara percuma di seluruh negara. – BERNAMA

Oleh MELATI MOHD. ARIFF



Next Page »