Persediaan Pengantin

Perancangan perkahwinan

Perancangan perkahwinan

Kali ini mengisahkan Adam dan Aida sudah keluar bersama seperti kebanyakan pasangan yang dilamun cinta. Adam lulus semua peperiksaan profesional yang diambilnya dan kini seorang akauntan berkanun, sementara Aida pula memikul jawatan ketua bahagian di sebuah bank.

Kedua-duanya mempunyai kerjaya agak berjaya. Mereka kini membuat perancangan untuk melangkah ke peringkat hidup berikutnya, sebagai pasangan suami isteri.

Ikuti kisah seterusnya untuk melihat bagaimana mereka merancang kewangan secara berhemat bersamasama bukan secara individu.

Adam lalu di hadapan sebuah kedai barang kemas dan berhenti seketika untuk menatap cincin berlian yang sudah lama menarik perhatiannya. Dia rasa sudah tiba masanya untuk mendirikan rumah tangga tetapi sedar perbelanjaan perkahwinan akan menelan belanja agak besar.

Adam mahu menunggu bonusnya tetapi pada hari itu ada tawaran jualan istimewa. Disebabkan sikapnya yang sedikit kiasu, dia tidak mahu melepaskan peluang ini dan berfikir itulah masa terbaik untuk membelinya. Adam berasakan lebih baik menggunakan kad kredit dahulu dengan niat untuk menjelaskan bayarannya dengan bonus yang diterimanya nanti.

Kini wangnya sudah dibelanjakan sebanyak RM4,000, itupun selepas potongan diskaun yang besar.

Komitmen kad kredit

Selepas itu, Adam sedar akan tanggungjawabnya dengan memiliki kad kredit dan amat berdisiplin dalam menjelaskan bil kad kreditnya setiap bulan. Mengikut kebiasaan, kita seharusnya menggunakan kad kredit apabila tidak mampu membayar dengan wang tunai. Kad kredit berfungsi sebagai alat bayaran. Kita perlu mendisiplinkan diri supaya menjelaskan bayaran kad kredit sepenuhnya pada tarikh bayaran, jika tidak kita boleh dikenakan denda serta caj kewangan yang menjangkau 18 peratus setahun.

Sekiranya kita selalu tidak membuat bayaran penuh tetapi masih mahu kemudahan belian tanpa tunai, bertukarlah kepada kad debit iaitu pilihan yang lebih baik. Kad debit seperti kad ATM dan jumlah yang dibelanjakan akan ditolak secara langsung dalam talian daripada akaun bank kita. Dalam kata lain, kita cuma berbelanja setakat jumlah tabungan kita sahaja.

Dengan cincin berlian dan baucar makan malam di tangannya, kini yang tinggal hanya sejambak bunga ros untuk menyempurnakan suasana agar lebih romantik. Adam bercadang memberi Aida suatu kejutan dengan alasan ingin meraikan kenaikan pangkatnya. Adam menghulurkan sejambak bunga ros kepada Aida yang kagum melihatnya tetapi berpura-pura kelihatan bingung supaya memberikan reaksi lebih dramatik untuk penyatuan yang sudah lama diidamkan. Selepas itu, Adam meluahkan hasratnya untuk mengambil Aida sebagai isterinya. Aida menerima lamarannya sambil tersenyum tersipu-sipu.

Sebagai orang yang ada pegangan agama dan amat menghormati adat dan peradaban serta tidak mahu membelakangkan keluarga, Adam bersetuju untuk meminta keluarganya menemui keluarga Aida untuk menguruskan pertunangan dan seterusnya menetapkan tarikh perkahwinan mereka.

Bukan sekadar penyatuan dua jiwa

Dr Joyce Brothers pernah berkata; “Perkahwinan bukan semata-mata penyatuan dua jiwa dan rasa cinta yang membara, lebih daripada itu, saling menyokong antara satu sama lain serta berkongsi suka dan duka.”

Kalau kita rasa memiliki kereta itu satu tanggungjawab besar, perkahwinan itu juga adalah tanggungjawab yang jauh lebih besar. Kalau kita ada kemampuan untuk memikul tanggungjawab besar itu, haruslah kita mendirikan rumah tangga. Alam cinta lazimnya berkait rapat dengan isu hidup sebenar, termasuk mengurus kewangan bersama-sama secara harmoni.

Kita perlu realistik apabila merancang perkahwinan berdasarkan belanjawan kita, bukan setakat memenuhi impian atau kehendak orang lain termasuk bakal pasangan kita.

Diselaraskan mengikut keperluan dan kehendak kita – dan paling penting berbincanglah bersama bakal pasangan kita mengenai jumlah wang yang mampu dibelanjakan bersama-sama. Walaupun ini peristiwa paling gembira dan bersejarah dalam hidup kita yang mungkin berlaku hanya sekali dalam hidup, ia mungkin akan memaksa kita mengambil masa panjang untuk menjelaskan segala hutan perkahwinan kita.

Memikir perkara itu, Adam dan Aida duduk berbincang mengenai kehendak masing-masing bagi majlis perkahwinan mereka dan membuat belanjawan seperti berikut;

Jadual di atas adalah anggaran perbelanjaan Adam dan Aida. Ia mungkin tidak sesuai dengan kemampuan kita yang merancang untuk melangsungkan perkahwinan. Namun ia boleh dijadikan sebagai panduan dan persediaan kita sebelum melangkah ke alam rumah tangga.

Bagi Adam dan Aida, daripada belanjawan di atas, mereka mempunyai gambaran yang lebih baik mengenai jumlah wang yang diperlukan untuk melangsungkan perkahwinan. Adam memperuntukkan RM2,500 untuk persediaan di luar jangkaan sebagai satu tindakan berhemat.

Terdapat kata Perancis yang mengatakan; “cinta mencetuskan kemesraan, tetapi wang yang menjayakan sesuatu perkahwinan’. Walaupun kita tidak suka mengakuinya, wang boleh menjejaskan hubungan kita antara satu sama lain.

Bagi pasangan yang bercadang mendirikan rumah tangga, ada baiknya untuk kita sedar apa yang kita mahu daripada perkahwinan. Jika tidak, kita mungkin terjebak dalam masalah kewangan yang akhirnya mampu mematikan perasaan cinta antara Adam dan Aida.



Next Page »