Cenderahati Kenduri Kahwin

MENGHADIRI majlis perkahwinan atau pertunangan, sesuatu yang ingin dilihat ialah apakah cenderahati atau ole-ole yang disediakan untuk tetamu. Walaupun hati bukanlah begitu mengharapkan apa yang akan diberikan oleh tuan rumah, namun tidak dapat dinafikan keinginan untuk melihat cenderahati tersebut.

Apabila tiba musim perkahwinan dan banyak pula jemputan, pastinya banyak juga cenderahati yang dikumpul. Cenderahati yang cantik, unik dan berharga akan disimpan sebagai perhiasan atau mungkin boleh dijadikan contoh untuk majlis sendiri.

Sebenarnya, penyediaan cenderahati ini juga memakan belanja yang besar. Sama ada membuat sendiri atau menempah, belanja yang dikeluarkan lebih kurang sama sahaja.

Mereka yang pandai membuat sendiri dan kreatif tentu lebih berpuas hati kerana dapat menyiapkan sendiri cenderahati untuk majlis yang penuh bermakna. Namun, yang kurang kreatif dan tidak mempunyai banyak masa, akan menempah sahaja cenderahati yang diingini.

Lain orang lain pula pilihan cenderahati mereka. Ada yang masih mengekalkan cenderahati berupa telur untuk tetamu, ada yang memberi coklat atau gula-gula, kandi, kek, biskut, jeli, pot puri, sapu tangan, kipas buluh dan sebagainya.

Bagi menjadikan ia nampak menarik, cenderahati tersebut akan dihias dengan reben, bunga, manik, dibungkus dalam kotak, dalam uncang kain dan bermacam-macam lagi.

Walau apa pun, cenderahati yang diberi adalah sebagai tanda terima kasih tuan rumah kepada tetamu yang sudi menerima jemputan, selain tanda kenang-kenangan atas sesuatu majlis yang diadakan.