Didik anak menabung

Didik anak menabung 

Sebagai ibu bapa perlulah mengingatkan kepada anak bahawa duit yang ada tidak boleh dibelanjakan sewenang-wenangnya, malah jika boleh tanamkan dalam diri mereka sikap suka menabung.

Kaunselor Kredit Agensi Kaunseling & Perkhidmatan Kredit, Mohd Nasir Mustafa, berkata tabiat menyimpan atau menabung adalah nilai murni dan harus disemai sejak kecil lagi kerana wang simpanan itu boleh dijadikan kegunaan pada masa hadapan.

Beliau berkata, sikap suka menabung juga dapat mendidik anak mengenai kepentingan nilai wang dan mendisiplinkan mereka dalam menguruskan hal kewangan.

“Sebagai ibu bapa kita kena ubah sikap anak yang suka berbelanja tidak menentu dan pastikan mereka membuat tabungan sendiri dengan duit yang diperoleh. Untuk mendidik anak menabung, ibu bapa tidak perlu menunggu sehingga anak besar kerana tiada jangka waktu tertentu untuk menerapkan nilai baik itu. Malah, seelok-eloknya perlu dimulakan seawal yang boleh iaitu apabila kanak-kanak itu sudah mengenal huruf dan tahu menghargai apa yang dimiliki. Bukan saja menabung, tetapi juga menghargai barang lain yang dimiliki,” katanya.

Mohd Nasir berkata, mendidik, menggalakkan dan memberi kepercayaan kepada anak untuk bijak berbelanja sejak kecil turut akan memupuk tabiat kewangan yang baik di kalangan kanak-kanak. Sikap positif itu bukan saja akan berkekalan apabila anak memasuki alam persekolahan tetapi boleh berterusan sehingga mencapai ke sekolah menengah mahupun apabila mereka sudah bekerja suatu hari nanti.

Katanya, untuk anak yang sudah bersekolah ibu bapa boleh menggalakkan anak membuat mini bajet mereka sendiri iaitu mencatat atau merekod jumlah wang yang diperoleh dan perbelanjaannya setiap hari.

Berikan mereka wang saku supaya boleh membantu membina keupayaan anak merancang perbelanjaan dan menyediakan mini bajet berkenaan. Bagi memutuskan berapa banyak yang perlu diberikan kepada mereka, ibu bapa wajar fikirkan dengan teliti jenis perbelanjaan yang boleh digunakan untuk wang saku itu.

Misalnya, bagi belanja sekolah elok jika ibu bapa pergi tinjau harga makanan dan minuman yang dijual di kantin sekolah sebelum memutuskan berapa banyak wang saku yang diperlukan oleh anak anda.

Jika perlu, berikan wang saku dalam beberapa pecahan wang bagi menggalakkan mereka menabung. Contohnya, jika wang saku RM2, berikan anak anda wang kertas RM1, manakala selebihnya dalam bentuk wang syiling supaya dia boleh mengasingkan beberapa keping wang syiling untuk dimasukkan ke dalam tabung.

“Ambil langkah satu persatu dalam mendidik anak menabung. Misalnya, selain memberi wang saku anda juga boleh menyuruhnya membawa bekalan ke sekolah. Tengok macam mana corak perbelanjaan anak itu, adakah wang saku dan bekalannya habis atau masih ada lagi baki wang yang tidak dibelanjakan.

“Jika bekalan habis dan wang pun habis, anda perlu nasihatkan supaya berjimat serta kena beritahu anak betapa pentingnya menyimpan wang. Sebagai dorongan, elok juga adakan sistem ganjaran dan anak tentu teruja untuk menabung,” katanya.

Mohd Nasir berkata, selain memberikan wang saku secara harian ada juga ibu bapa yang mengamalkan mengikut mingguan dan juga bulanan kepada anak. Terpulang kepada ibu bapa untuk menentukan tetapi memberi elaun mingguan dan bulanan ada pro dan kontra.

Dengan jumlah yang banyak diterima anak mungkin terdorong belanja lebih daripada sepatutnya. Tetapi dengan memberi jumlah wang banyak dalam satu masa anak mungkin lebih bijak menguruskan dan mengimbangkan antara pendapatan serta perbelanjaan.

“Untuk kanak-kanak yang masih berada di sekolah rendah, lebih sesuai diberikan wang saku secara harian. Lagipun, ibu bapa tentu tidak mahu masalah lain timbul di sekolah apabila anak diberikan jumlah wang yang banyak seperti hilang, rakan lain buli dan sebagainya. Berbeza dengan anak yang sudah memasuki menengah, mereka lebih matang untuk menguruskan diri,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, jangan halang hak anak untuk mengeluarkan sedikit wang simpanan atau pelaburan mereka untuk membeli sesuatu kerana, jika ibu bapa menghalang mereka, mungkin akan melemahkan minat mereka untuk menabung atau melabur.

Sebaik-baiknya, beritahu anak bahawa jika wang simpanan dikeluarkan sebelum matlamat mereka tercapai, maknanya lebih lamalah masa yang akan diambil untuk mencapai matlamat mereka.


Antara langkah untuk menggalakkan anak menabung

# Galakkan anak-anak anda menyimpan resit seperti pembelian buku, permainan atau barangan lain dalam sampul surat atau menyimpan jurnal perakaunan yang mudah bagi membolehkan mereka menjejaki perbelanjaan dan tabungan mereka. Kaedah ini boleh menanamkan tabiat merekodkan perbelanjaan supaya mereka boleh belajar mengurus kewangan mereka secara sistematik pada masa hadapan.

# Bagi anak yang masih kecil pelbagai cara kreatif boleh digunakan. Misalnya, belikan tabung yang telus. Sambil anak memasukkan wang ke dalam tabung itu setiap hari, dia boleh tengok wangnya semakin bertambah dan tidak lama lagi bolehlah dia mencapai matlamatnya. Anak yang lebih besar boleh menyimpan rekod simpanan dalam buku nota dan buat pengiraan setiap minggu.

# Tetapkan matlamat tabungan anak mungkin sejenis barang permainan yang istimewa, buku, basikal atau permainan Play Station yang terkini. Matlamat itu mestilah realistik dan boleh menggalakkan mereka untuk menabung. Matlamat itu mestilah matlamat anak, bukannya matlamat anda. Kemudian, tinjau kos barang yang hendak dibeli itu dan congak berapa banyak anak anda perlu menabung setiap minggu bagi membeli barangan berkenaan dalam satu jangka masa.

# Jika boleh, setiap kali anda ke bank untuk berurusan atau untuk melabur dalam unit amanah, bawa sekali anak-anak dan bukalah akaun simpanan untuk mereka. Laburkan sebahagian daripada wang simpanan mereka dalam dana amanah dan ajak mereka sama-sama melihat perkembangan pelaburan itu.