Empayar Jakel

Berpegang teguh kepada amanat arwah bapa, `dalam perniagaan peruncitan, kena sentiasa rendah diri, tak kira dengan siapa pun’, Kumpulan Jakel Trading (Jakel), terus bertapak kukuh dalam industri tekstil.

Justeru, tidak hairanlah cawangan terbaru ke-20 milik peruncit tekstil terkemuka negara di Seksyen 7, Shah Alam itu terus melepasi sasaran jualan walaupun baru setahun dibuka.

“Alhamdulillah, jualan sangat memberangsangkan,” kata Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Mohamed Faroz Mohamed Jakel sambil menambah, ini membuktikan langkah membuka cawangannya di Shah Alam adalah keputusan yang tepat selaras kedudukan gedung itu yang menjadi tumpuan semua golongan membeli-belah.

Malah, katanya, perniagaan yang semakin berkembang di Wisma Jakel di Shah Alam kini menyumbang 20 peratus kepada pendapatan Jakel daripada cawangannya di seluruh negara.

“Terima kasih kepada pelanggan yang memberi sokongan penuh kepada kami dalam memenuhi pelbagai cita rasa mereka yang unik.

Kejayaan ini dibantu dengan komitmen 500 kakitangan tetap dan 200 kakitangan separuh masa yang sentiasa menyambut mesra pelanggan. Apatah lagi kami menetapkan seorang jurujual untuk seorang pelanggan di premis kami.

“Kakitangan kami sedia melayan apa juga kehendak pelanggan kerana bagi kami, pelanggan bukan setakat raja, malah mereka segala-galanya,” katanya ketika ditemui di Wisma Jakel, Shah Alam, barubaru ini.

Wisma Jakel setinggi enam tingkat dengan keluasan 80,000 kaki persegi adalah gedung tekstil Jakel terbesar di Malaysia dan kini menjadi mercu tanda baru untuk Shah Alam.

Wisma ini dirasmikan pada 29 September 2010 oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam majlis penuh gilang-gemilang, lima bulan selepas cawangan itu dibuka.

Segala-galanya bermula pada 1983 apabila Allahyarham Mohamed Jakel memulakan perniagaan fabrik secara kecilkecilan di sebuah premis yang terletak di Muar, Johor.

Kini, dengan slogan, `Ingat Kain, Ingat Jakel’, Wisma Jakel Shah Alam menawarkan semua di bawah satu bumbung, daripada pakaian tradisional untuk seluruh keluarga, busana pengantin, langsir, aksesori renda, kemasan rumah, koleksi tudung Ariani hinggalah kepada rekaan corak tertentu serta perkhidmatan tempahan jahitan.

Di tingkat tiga, diwujudkan bahagian pengantin terbesar dengan himpunan koleksi pakaian dan busana perkahwinan di Lembah Klang. Di tingkat empat, aras eksklusif yang menjadi pilihan kerabat diraja dan orang kenamaan serta golongan korporat untuk membeli-belah. Bahagian ini, disediakan fabrik mewah dari Eropah dengan rekaan `masterpiece’ yang mana fabrik ini dicetak sepasang saja.

Mohamed Faroz, 39, berkata, menjadi impiannya untuk memiliki gedung perniagaan tekstil seperti yang diwarisinya sekarang daripada bapanya, Mohamed Jakel Ahmad.

Kerana itulah, beliau sedia bekerja pada Sabtu dan Ahad untuk turun padang, melayani pelanggan sekali gus membolehkannya mendapat maklum balas secara terus.

“Saya sentiasa berpesan kepada pekerja agar sentiasa menghormati pelanggan dengan menjaga setiap tutur kata dan tingkah laku ketika melayani pelanggan.

“Saya mengakui ada kadangkala kakitangan melakukan kesilapan tanpa sengaja dan kita minta maaf dan sedia menggantikan pakaian yang dibeli jika pelanggan tidak berpuas hati,” katanya.

Mohamed Faroz berkata, menyedari sikap orang Melayu suka tawar menawar ketika berurus niaga, pihaknya tidak menghalang budaya itu dan sedia memberi harga istimewa walaupun ketika Jakel mengadakan jualan murah.

Baginya, kepuasan pelanggan ketika membeli fabrik di Jakel juga dianggap suatu kepuasan buat dirinya selaras moto syarikat `Kepuasan Pelanggan Kami Utamakan’.

“Saya punya polisi mudah. Jika pelanggan membeli walaupun semeter kain, ia sudah cukup menggembirakan hati saya kerana pelanggan tidak keluar dengan tangan kosong,” katanya sambil mempelawa lebih ramai berkunjung ke Wisma Jakel yang letaknya berhadapan pintu masuk belakang Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan bersebelahan i-City di Seksyen 7.

Beliau berkata, Jakel berupaya menyediakan fabrik yang lebih bermutu dan bernilai tinggi pada harga kompetitif kepada pelanggan kerana Jakel berurusan terus dengan pembekal tekstil.

Tambahan lagi, katanya, Jakel mempunyai pereka fesyen sendiri yang sentiasa menghasilkan ilham baru untuk pasaran, malah memulakan aliran untuk penggemar fesyen yang kemudian menjadi ikutan ramai.

“Kepuasan pelanggan kami utamakan dan kerana itulah, di tingkat bawah misalnya, kami menawarkan kain basahan, baju Melayu dan baju kurung siap dengan harga istimewa.

“Kami menawarkan harga serendah RM15 hingga RM50 sepasang untuk empat meter kain ela berbunga manakala baju Melayu RM4.90 hingga RM15 semeter dan baju kurung siap bermula dari RM49 sepasang,” katanya.

Beliau mengalu-alukan pelanggan yang ingin mendapatkan baju Melayu siap kerana bagi setiap pembelian sepasang baju Melayu, pelanggan akan mendapat percuma sehelai songket, pada bulan ini.

Sebagai menghargai sokongan berterusan pelanggan, Jakel turut menganjurkan Peraduan Cabutan Bertuah Beli dan Menang bermula 29 April lalu hingga 7 Ogos ini.

Menariknya, bukan satu unit ditawarkan tetapi 20 kereta Perodua Viva, 43 motosikal Naza Flash, 57 unit televisyen LCD dan 850 permaidani bakal dimenangi pelanggan.

Anak kedua daripada 12 beradik itu adalah antara individu penting yang bertanggungjawab meletakkan Jakel pada kedudukan sekarang selepas mewarisi perniagaan itu daripada ayahnya yang juga pengasas syarikat.

Beliau juga yakin antara faktor kejayaan Jakel adalah kerana syarikat itu tidak lupa menunaikan zakat dan bersedekah.

Oleh Wan Jailani Razak