Gubahan mas kahwin

Dalam perkahwinan mahar atau mas kahwin adalah sunat sebagai pemberian suami untuk dimanfaatkan si isteri. Pemberian mas kahwin berbentuk wang disebut ketika upacara akad nikah.

Mas kahwin terbahagi kepada dua jenis iaitu Musamma dan Misl. Maksudnya, Mahar Musamma ialah kadar yang ditentukan mengikut persetujuan antara dua pihak sementara mahar Misl pula ialah kadar ditentukan berdasarkan kadar mahar saudara perempuan sebelah isteri.

Ia antara tanda penghargaan, tanggungjawab dan kasih sayang suami terhadap isteri. Wang berkenaan boleh dibayar secara tunai atau hutang mengikut persetujuan dua pihak. Biasanya, selepas tepak sirih dan sirih junjung, mas kahwin dibawa bersama hantaran lain.

Pelbagai jenis hiasan dibuat bagi mencantikkan hantaran mas kahwin seiring dengan hantaran lain. Ada yang hanya melekatkan wang mas kahwin di dalam album gambar, digubah menjadi bunga pegang serta lebih kreatif dibuat gubahan jambangan bunga.

Teknik dan taktik gulungan wang kertas perlu betul bagi mengelak duit berkenaan koyak atau nampak cacat. Rina dari Cempaka Sari Florist, Sungai Besi memberi idea dan berkongsi ilham menghasilkan gubahan bunga mas kahwin ketika promosi Kerja Kahwin 2008 di Kompleks Kraf Malaysia, Jalan Conlay, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Terima kasih Rina!

Bahan-bahan:

RM10 – 10 keping
Bakul sebagai tapak hias
Span bunga
Dua warna riben halus fabrik satin
Dawai emas
Inti bunga
Pelilit
Bunga besar (satu jambak)
Bunga kecil
Daun paku pakis

Langkah mengggubah:

Gulung bahagian hujung empat bucu wang kertas, kemudian lipatkan kepada dua bahagian. Lakukan teknik sama pada semua wang kertas yang ada mengikut jumlah mas kahwin.

Remukan bahagian tengah tadi dengan kemas dan ikat dengan dawai emas. Selitkan inti bunga di bahagian tepi wang kertas tadi dan lilit batang inti bunga dengan dawai emas tadi.

Selitkan dua lagi wang kertas berselang seli bagi menampakkan bentuk bunga seakan bunga ros. Sambungkan batang lidi di bawah bunga wang kertas tadi dan lilit dengan dawai emas bersambung dengan pelilit supaya dijadikan sebagai tangkai bunga.

Buat empat atau lima kuntum bunga wang kertas dan cucukkannya pada span kering mengikut kesukaan seperti bentuk ā€˜Lā€™. Bunga wang kertas itu dicucuk lebih tinggi supaya tidak tenggelam dek bunga sebenar dan daun-daunan.

Cucukkan daun paku pakis memenuhi ruang supaya span kering tadi tidak kelihatan dari pandangan. Cucukkan juga bunga ros sebenar (warna berbeza) lebih rendah dan berselang seli dengan bunga wang kertas supaya lebih seimbang. Serikan lagi dengan mencucukkan juga arca buah.

Riben satin halus berwarna emas dijadikan riben dan dicucuk pada tengah gubahan supaya nampak lebih berseri.