Hajaba – Jubah gaya muslimah moden


Penampilan cermin peribadi seseorang. Sejajar peralihan zaman, kebanyakan wanita moden kini lebih terarah untuk menggayakan busana muslimah yang jelas mencerminkan jati diri muslimah sejati.

Pemilik butik Hajaba, Mona Din berkata, cetusan asal pembukaan Hajaba adalah untuk tampil sebagai pusat sehenti yang menawarkan pilihan persalinan lengkap kepada muslimah sesuai maksud ‘hajaba’ di dalam bahasa Arab iaitu ‘untuk menutupi’.

“Blaus yang kami reka dan dijahit khusus dengan label Hajaba kebanyakan berpotongan longgar dan labuh sesuai untuk wanita yang menjaga kesopanan tatkala keluar di khalayak ramai.

“Bagaimanapun, kami tidak pernah menjadikan batasan agama sebagai alasan untuk wanita tidak bergaya apabila berpakaian. Buktinya, kebanyakan rekaan kami adalah terkini dengan pilihan fabrik berkualiti dan paling utama ia menutup aurat,” katanya.

Bagi menjamin kualiti pakaian di butik Hajaba, Mona membeli dan membuat pilihan terhadap jenis fabrik yang akan digunakan untuk blaus dan jubah di butiknya. Kebanyakan fabrik didapati dari Jepun, China, Korea, India dan Indonesia.

“Material yang biasa kami gunakan adalah lycra kerana cirinya setanding dengan fabrik yang dikeluarkan label ternama lain. Malah ia juga agak lembut dan tebal malah selesa dipakai mengikut cuaca.

“Selain itu, lycra tidak mudah kedut dan paling penting, apabila dibuat blaus atau jubah, ia jatuh cantik,” katanya.

Di Hajaba, pilihan blaus dan jubah direka dalam rekaan sederhana. Bagaimanapun, bagi memastikan wanita bertudung turut berpeluang menggayakan pakaian yang terkini dalam potongan moden, Hajaba turut mengadaptasikan penataan gaya terkini di dalam rekaannya.

“Rekaan lengan baju banyak dibuat kembang dengan potongan cuff. Ada juga fabrik telus serta bermotif moden untuk wanita berani dan ia boleh digayakan bersama baju lapik yang turut kami jual dalam pilihan pelbagai warna menarik.

“Hasrat kami juga untuk membudayakan pemakaian jubah dikalangan wanita tempatan kerana jubah adalah pakaian ‘smart kasual’ yang sesuai digayakan di dalam apa juga majlis dan keadaan,” katanya.

Sempena Syawal ini, Hajaba menawarkan rekaan jubah eksklusif daripada fabrik sifon bertatah batuan indah sesuai untuk digayakan ketika bertandang ke jemputan rumah terbuka.

Jubah polos itu dihasilkan di dalam pelbagai pilihan menarik antaranya merah jambu, biru firus dan merah.

Jubah kontemporari

# Jubah kontemporari diilhamkan daripada abaya yang berasal dari Timur Tengah tapi diberikan sedikit sentuhan moden sesuai peredaran zaman dan persekitaran.

# Dihasilkan daripada fabrik ringan dan beralun seperti sifon atau lycra sesuai untuk wanita berbadan kurus atau gempal supaya bayangan yang terhasil tampak cantik.

# Pelbagai potongan jubah dihasilkan antaranya jubah separas lutut dipadankan bersama seluar atau kain dan jubah labuh berpotongan moden.

Hajaba

# Blaus dan jubah Hajaba dijual pada harga RM50 hingga RM300

# Butik Hajaba menjadi pusat fesyen sehenti untuk muslimah dan turut menawarkan pilihan tudung juga selendang, telekung, seluar dan pakaian umrah.

# Model: Amalina
Butik Hajaba, Shah Alam (03-55106066)