Hikmah baca surah al-Kahfi di hari Jumaat

Hikmah baca surah al-Kahfi

Saban minggu kita bertemu dengan Jumaat. Hari berkenaan diketahui umum ia penghulu segala hari. Keistimewaannya yang penuh dengan keberkatan dijelaskan dalam banyak hadis Rasulullah SAW, bahkan dirakamkan al-Quran melalui satu surah khusus dinamakan al-Jumuah.

Muslim dan Muslimat perlu merebut peluang kedatangan Jumaat dengan menunaikan perkara sunah seperti dijelaskan Rasulullah SAW, antaranya dengan memperbanyakkan doa kepada Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Pada hari itu (Jumaat) tidaklah seorang yang beriman meminta sesuatu daripada Allah, melainkan akan dimakbulkan permintaannya.” (Hadis riwayat Muslim)

Rasulullah SAW juga menganjurkan kita untuk membaca surah al-Kahfi iaitu surah ke-18 dalam susunan surah al-Quran pada hari berkenaan.

Surah al-Kahfi satu daripada surah Makkiyyah yang mengandungi 110 ayat. Dinamakan al-Kahfi kerana daripada ayat 9 hingga ayat 26 menceritakan perihal pemuda yang ditidurkan oleh Allah SWT selama lebih 300 tahun di sebuah gua.

Ia satu daripada lima surah di dalam al-Quran yang ayat pertamanya dimulakan dengan memuji Allah iaitu ucapan menetapkan bahawa semua pujian hanya layak bagi Allah SWT yang memiliki kekuasaan dan kebesaran.

Mengapa kita digalakkan untuk membaca surah ini pada setiap Jumaat? Pastinya di sebalik galakan ini ada banyak hikmah dan kebaikan yang akan diperoleh pembacanya.

Ada banyak hadis yang menjelaskan perkara ini, seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa membaca surah al-Kahfi pada Jumaat, maka dihamparkan untuknya cahaya antara dua Jumaat.” (Hadis riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi)

Selain itu, mengamalkan bacaan surah al-Kahfi pada setiap Jumaat juga dapat menyelamatkan kita daripada fitnah dajal yang pasti akan muncul menjelang hari kiamat nanti.

Misi dajal untuk menyesatkan umat manusia, mewajibkan kita untuk mempersiapkan diri agar terselamat daripada menjadi pengikutnya.

Sesungguhnya tiada fitnah yang lebih besar di atas muka bumi selain daripada fitnah dajal. Hal ini dijelaskan Rasulullah SAW dalam hadisnya bermaksud: “Di antara penciptaan Adam sehinggalah kepada hari kiamat, tidak ada perkara yang lebih besar daripada fitnah dajal.” (Hadis riwayat Muslim)

Justeru, amat wajar bagi kita berusaha untuk menyelamatkan diri dan ahli keluarga daripada fitnah dajal.

Rasulullah SAW memberi kita panduan untuk menyelamatkan diri daripada fitnah besar ini dengan mengamalkan bacaan surah al-Kahfi pada setiap Jumaat, sama ada ayat pada awal surah mahupun pada akhirnya.

Sabda Rasulullah SAW lagi maksudnya: “Sesiapa yang membaca sepuluh ayat terakhir daripada surah al-Kahfi, akan terpelihara daripada fitnah dajal.” (Hadis riwayat Muslim dan Ahmad)

Pada waktu sama, adalah baik bagi kita turut mengamati maksud ayat yang terkandung di dalam surah ini. Bagi mereka yang tidak mahir dalam bahasa Arab, boleh mengikuti terjemahannya.

Ada banyak pengajaran boleh kita manfaatkan daripada kandungan surah ini yang mengandungi empat kisah dirakamkan Allah untuk dijadikan pengajaran berguna buat kita iaitu kisah penghuni gua (ashab al-kahfi), pemilik dua kebun, Nabi Musa dan Nabi Khaidir serta Zulkarnain.

Kalangan ahli tafsir menyatakan perkara asas bagi keempat-empat kisah ini adalah sama iaitu berkaitan fitnah yang membawa maksud cabaran atau dugaan.

Fitnah ini sama ada berkaitan agama (kisah penghuni gua), harta (kisah pemilik dua kebun), ilmu (kisah Nabi Musa dengan Nabi Khaidir) mahupun kuasa (kisah Zulkarnain).

Empat bentuk fitnah ini perlu dihindari kerana semuanya menjadi modal syaitan untuk menyesatkan manusia. Ia juga menjadi misi utama bagi dajal untuk menyesatkan sekalian manusia.

Melalui surah ini juga Allah SWT turut menjelaskan langkah bagi menyelamatkan diri daripada fitnah berkenaan iaitu:

* Fitnah berkaitan agama diselamatkan dengan persahabatan dengan golongan soleh dan banyak mengingati akhirat.

* Fitnah berkaitan harta diselamatkan dengan pemahaman mengenai hakikat kehidupan dunia yang sementara dan peringatan kepada kehidupan akhirat kekal abadi.

* Fitnah berkaitan ilmu diselamatkan dengan sifat rendah diri (tawaduk).

* Fitnah kuasa diselamatkan dengan sifat ikhlas dalam setiap amalan iaitu hanya kerana Allah SWT.

Dari sini jelas menunjukkan surah al-Kahfi mempunyai banyak pengajaran dan keistimewaannya. Marilah kita sama-sama menjadikan surah ini sebagai sebahagian daripada rutin bacaan pada setiap Jumaat agar kita terselamat daripada fitnah dunia dan dajal.

Oleh Mohd Shahrizal Nasir
* Penulis ialah Pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)