Hikmah talak (perceraian)

Hikmah talak

Masyarakat hari ini melihat perceraian sebagai satu keadaan yang menjejaskan kehidupan sosial sesebuah masyarakat.

Peningkatan kes cerai di mahkamah juga dilihat boleh meruntuhkan institusi keluarga.

Perceraian seolah-olah menjadi trend atau jalan mudah kepada masyarakat disebabkan kurangnya ilmu pengetahuan dan tanggungjawab mengenai kehidupan berkeluarga.

Kurangnya ilmu asas perkahwinan menyebabkan suami gagal melaksanakan tanggungjawab terhadap keluarga dan kejahilan isteri pula menyebabkan isteri tidak memahami konsep hubungan suami isteri hingga menjurus kepada perceraian.

Ramai beranggapan perceraian perkara yang amat dibenci serta mendatangkan kemudaratan bagi sesetengah pihak. Di sebalik keburukan perceraian dari sudut kehidupan sosial atau kerukunan sesebuah masyarakat, harus diingat talak mempunyai hikmah tersendiri.

Perceraian salah satu jalan atau cabang dalam menyelesaikan permasalahan kehidupan keluarga. Kita tidak mahu lihat sebuah keluarga yang hidup dalam pertelingkahan berpanjangan menyebabkan kemudaratan kepada suami mahupun isteri baik dari segi fizikal atau mental.

Kita juga tidak mahu melihat kehidupan sebuah keluarga yang memberi kesan dan trauma kepada anak. Kita juga tidak mahu lihat sengketa yang dicetuskan oleh suami isteri menjadi `perang’ keluarga kedua-dua belah pihak.

Banyak kemudaratan boleh timbul jika keadaan pasangan suami isteri itu tidak dirungkaikan dengan talak atau perceraian.

Tujuan dan matlamat perkahwinan adalah mewujudkan kehidupan berterusan antara kedua-dua pasangan suami isteri. Talak atau perceraian adalah peraturan yang membolehkan kita menangani kegagalan mewujudkan kehidupan berterusan itu.

Perceraian wajar berlaku dalam keadaan di mana tidak ada cara untuk mewujudkan persefahaman dalam hubungan serta hukum-hakam me nyemarakkan hubungan suami isteri tidak lagi dipatuhi atau dilaksanakan.

Firman Allah SWT: Dan jika keduanya bercerai, maka Allah akan mencukupkan keperluan masing-masing daripada limpah kurnianya. Dan Allah amatlah luas limpah kurnianya, lagi amat bijaksana. (Surah An-Nisa, ayat 130).

Suami perlu bijak menguruskan penggunaan talak berlandaskan prinsip syarak dan bukan sebagai senjata menghukum isteri. Talak ialah jalan terakhir untuk merungkaikan masalah rumah tangga. Ia sewajarnya dilaksanakan dengan penuh mawadah dan rahmat serta menghormati hak isteri.

Kedua-dua pasangan suami isteri seharusnya menerima perceraian sebagai suatu hikmah yang mengelakkan kemudaratan lebih besar pada masa akan datang. Janganlah menganggap perceraian sebagai permulaan sebuah sengketa antara suami isteri mahupun keluarga kedua belah pihak.

Janganlah talak itu dibuat mengikut hawa nafsu dan terimalah perceraian dengan baik seperti asal pertemuan kedua pasangan itu. Banyak perkara boleh terjalin dengan baik seandainya perceraian dilaksanakan dengan baik.

Ini termasuk hubungan selepas perceraian antara pasangan, kerjasama dan toleransi dalam menjaga anak, ikatan persaudaraan harmoni dan isu lain membabitkan hubungan bekas suami serta isteri.

Jika suami menggunakan talak sebagai jalan terakhir untuk menyelesaikan masalah, ia adalah jalan penyelesaian yang dharuri (amat diperlukan). Jika talak digunakan oleh suami untuk menunjukkan kekebalan atau kuasanya maka ia adalah perkara halal yang paling dimurkai oleh Allah SWT.

Bagaimanapun, realiti masyarakat agak berbeza. Kuasa talak yang ada pada suami kadang-kadang digunakan sebagai senjata untuk menghalang isteri daripada mendapatkan haknya. Kuasa ini juga kadang-kadang digunakan sebahagian suami untuk mendapatkan dan memenuhi kehendaknya.

Sebahagiannya juga menjadikan talak sebagai senjata untuk menunjukkan kuasa yang ada padanya. Sikap sebegini menjadikan talak itu perkara yang tidak disukai dalam Islam.

Suami mahupun isteri sepatutnya menjadikan perceraian sebagai jalan penyelesaian terakhir dalam permasalahan yang dihadapi. Suami harus bijak membezakan perkara yang baik dan buruk serta situasi sesebuah perkahwinan jika dibiarkan dalam keadaan terumbang ambing tanpa noktah.

Kuasa talak bukanlah ancaman kepada isteri dan tidak seharusnya digunakan untuk `menggantung’ isteri. Talak perlu disimpan sebaiknya selagi ada jalan perdamaian yang mungkin dicapai dan tidak menjejaskan kehidupan suami isteri.