Hindari sikap buruk sangka suami isteri

Memang kehidupan suami isteri penuh warna-warni. Kadangkala timbul kelucuan kerana perkara remeh-temeh boleh menyebabkan pergaduhan.

Justeru, sebagai suami isteri, mereka perlu bijak mengenali pasangan masing-masing bagi mengelakkan perkara kecil menjadi besar dan menggugat keruntuhan rumah tangga.

Anda boleh mengikuti petua ini, mudah-mudahan ia menjadi azimat untuk anda dalam melayari kehidupan berumah tangga.

- Hindari sifat buruk sangka

Perasaan buruk sangka sepatutnya dihindari jika suami isteri mahukan keharmonian rumah tangga.

Sifat cemburu atau mencari-cari keburukan pasangan perlu dielakkan. Elakkan sikap buruk sangka wujud dalam diri kerana dikhuatiri akan merosakkan rumah tangga dan besar kemungkinan akan mengakibatkan perceraian.

- Menahan rasa marah

Suami isteri yang sentiasa sibuk dengan kerjaya masing-masing sering menghadapi tekanan jiwa justeru mudah tersinggung dan marah.

Islam menegaskan umatnya menahan marah dan banyakkan bersabar serta mudah memaafkan kesalahan pasangan.

- Memberi nasihat

Jika suami atau isteri melakukan sesuatu yang menyinggung perasaan, pihak kedua hendaklah memberikan nasihat dan peringatan.

Ia penting agar pihak yang melakukan kesalahan sedar akan kesilapan atau keterlanjuran yang mungkin tidak disengajakan itu supaya tidak mengancam kestabilan hubungan suami isteri.

- Berbincang untuk kedamaian

Jika berlaku persengketaan serius, carilah penyelesaian dengan cara perdamaian melalui perbincangan dalaman bagi menjamin keutuhan rumah tangga.

Jika tidak dapat diselesaikan, rujuk kepada mana-mana pihak yang boleh membantu menyelesaikan masalah seperti penolong pendaftar nikah, pegawai kaunseling, pegawai tadbir agama dan sebagainya.

- Menghindari perceraian

Adakala pertengkaran sukar mencapai jalan penyelesaian, si suami usah bertindak terburu-buru menceraikan isteri. Cuba kenangi saat-saat bahagia yang pernah dilalui bersama.

- Bawa berbincang

Setiap pasangan harus berbincang dalam memenuhi keinginan masing-masing. Ini kerana ia mampu mengelak salah faham dan perasaan tidak puas hati di atas tindakan sebelah pihak sehingga boleh menimbulkan ketegangan dan krisis.

- Meminta nasihat orang lain

Ketika menghadapi situasi tertekan sama ada masalah peribadi, keluarga dan sosial, anda dan pasangan disarankan mendapatkan bantuan nasihat dan pandangan daripada orang yang dikenal pasti mampu membantu dan menyelesaikan masalah dihadapi.

Selaras saranan dianjurkan dalam al-Quran surah An-Nahl:43 bermaksud: “Bertanyalah kepada orang yang pakar sekiranya kamu tidak mengetahui.”