Hukum baca Yasin untuk jenazah (si mati)

Hukum membaca surah Yasin untuk jenazah

Suatu yang menjadi kelaziman apabila berlaku sesuatu kematian ialah membaca ayat al-Quran di sisi mayat. Ia bermula sebaik saja mayat dibaringkan di rumah sehinggalah ke saat untuk memandikannya. Malah ada waris dan sanak saudara si mati mengkhatam al-Quran melalui bacaan yang dibahagikan mengikut juzuk.

Sesiapa saja yang datang melawat jenazah akan mengambil buku bacaan surah Yasin atau al-Quran untuk dibaca bagi dihadiahkan pahala bacaan tersebut kepada si mati. Surah yang dibaca bukan setakat surah Yasin tetapi juga surah lain dengan niat yang satu iaitu untuk dihadiahkan pahala bacaan kepada si mati.

Melihat kepada apa yang diamalkan ini, ia tidaklah dilarang kerana memang terdapat beberapa nas dan dalil bahawa bacaan surah Yasin di sisi mayat adalah dituntut.

Hadis daripada Maqil ibn Yasar ada menyebut bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Bacalah surah Yasin ke atas orang-orang mati dari kalangan kamu (Riwayat Abu Daud dan dianggap sahih oleh Ibn Hibban).

Ramai ulama menyebut di dalam kitab mereka mengenai kewajaran membaca surah Yasin di sisi si mati. Mereka termasuklah al-Imam al-Nawawi, al-Khatib al-Syarbini, Wahbah al-Zuhayli, Sayyid Sabiq dan Daud al-Fatani.

Al-Imam al-Qurtubi ada menyatakan bahawa lafaz orang mati daripada kalangan kamu itu boleh membawa kepada dua tafsiran iaitu membacanya di sisi mayat selepas kematiannya dan membacanya di tanah perkuburan.

Berkaitan dengan saranan Rasulullah SAW agar surah Yasin dibacakan berhampiran dengan orang-orang yang hampir mati ialah supaya rohnya mudah keluar.
Dalam satu hadis lain, Rasulullah SAW bersabda: Surah Yasin itu ialah hati al-Quran, sesiapa yang membacanya dengan mengharap keredaan Allah dan kebahagiaan hidup di hari akhirat akan diampunkan dosanya dan bacalah surah Yasin ke atas orang mati daripada kalangan kamu.

Terdapat banyak hadis yang menerangkan kelebihan membaca surah Yasin di samping surah lain, antaranya ialah sabda Rasulullah SAW: Barangsiapa membaca Yasin pada malam hari kerana menuntut keredaan Allah, nescaya akan dihapuskan oleh Allah dosa-dosanya, bacalah ia di hadapan orang yang mati daripada kalangan kamu. (Riwayat at-Tirmizi)

Daripada Anas RA, katanya, Rasulullah SAW bersabda: Bahawa bagi tiap-tiap sesuatu itu ada hati dan hati al-Quran ialah Yasin, maka barang siapa membaca Yasin, maka Allah akan mencatat seperti bacaan al-Quran 10 kali. (Riwayat at-Tirmzdhi).

Berhubung permasalahan ini juga, Mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah berpendapat bahawa manusia yang masih hidup boleh menjadikan perbuatannya sebagai pahala kepada si mati termasuk bacaan al-Quran. Walaupun pendapat yang masyhur dalam mazhab Syafie menyatakan bahawa pahala bacaan tidak sampai tetapi Ashab al-Syafie (pengikut mazhab Syafie) menyatakan bahawa pahala bacaan tersebut sampai. Pendapat ini turut dipegang oleh Imam Hambali.

Menurut seorang ulama besar Universiti al-Azhar Mesir iaitu al-Marhum al-Syeikh Atiyyah Saqar dalam himpunan fatwanya, tiga cara yang sepatutnya dilakukan berkaitan dengan hal sedekah pahala bacaan al-Quran adalah seperti berikut:

Membaca ayat al-Quran dan kemudian berdoa supaya dirahmati dan diampunkan dosa si mati. Si mati hendaklah bertawassul dengan perbuatan salihnya iaitu membaca al-Quran dan kemudian doakan kerahmatan buat si mati;

Membaca ayat al-Quran dan kemudian dihadiahkan kepada si mati seperti bacaan Allahumma awsil thawaba ma qaranahu li fulan (Ya Allah sampaikanlah pahala apa yang telah kami baca kepada roh si polan);

Diniatkan terlebih dulu di permulaan bacaan atau ketika membaca ayat al-Quran bahawa pahala bacaan tersebut adalah untuk si polan bin si polan.

Seorang ulama Nusantara iaitu Syeikh Daud al-Fatani pernah ditanya apakah hukumnya membaca doa khatam al-Quran dengan meniatkan pahala bacaan kepada ruh si mati. Beliau menyatakan bahawa ia adalah dibenarkan, seperti terjemahan doa ini Ya Allah, jadikanlah pahala bacaan kami sebagai tambahan kemuliaan bagi Nabi SAW dan jadikanlah juga pahala yang sama dan gandakan untuk roh si polan atau dalam suratan amalannya.

Jika ada yang tidak mahu atau tidak mampu untuk membacakan ayat-ayat al-Quran kepada si mati, digalakkan juga mendoakan kepada si mati agar diberi keselamatan, kesejahteraan dan pengampunan daripada Allah buat orang yang meninggal dunia itu.

Oleh Mohd Kamel Mat Salleh
- BERITA HARIAN