Hukum Potong Kuku Ketika Haid

Apakah benar, seseorang yang datang haid tidak boleh potong kuku, gunting rambut dan jika berbuat juga akan dituntut di akhirat kelak?
—————————
DALAM surah al-Baqarah ayat 222, Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan mereka bertanya kepadamu (Muhammad) tentang haid. Katakanlah ia adalah suatu yang kotor. Kerana itu jauhilah (jangan menggauli) isteri pada waktu haid…”

Dalam buku yang bertajuk `al-Fiqh ‘Ala al-Mazahib al-Arba’ah (Fekah menurut Keempat Mazhab) mengemukakan: “Yang haram bagi seorang yang sedang dalam keadaan junub (termasuk datang bulan) untuk dia kerjakan adalah amalan-amalan keagamaan yang bersyarat dengan adanya wuduk seperti solat sunat dan wajib.”

Justeru, kita mengetahui tidak disyaratkan adanya wuduk untuk memotong rambut atau kuku. Dan atas dasar penjelasan di atas, kita dapat mengatakan bahawa tidak ada larangan (dalam erti kata haram) untuk membuang rambut yang gugur dan memotong kuku seperti mana yang saudari tanyakan.

Hukum Potong Kuku

Boleh jadi pandangan itu timbul disebabkan adanya kewajipan untuk memandikan seluruh anggota tubuh. Rambut yang gugur atau kuku yang dipotong dan terbuang, maka ia belum dimandikan lagi. Kerana itulah ada pandangan melarangnya.

Mungkin juga orang yang melarang itu menduga bahawa badan manusia menjadi najis ketika ia dalam keadaan junub. Dugaan ini agak mengelirukan. Nabi SAW tidak mewajibkan orang yang berjunub, termasuk yang datang bulan untuk segera mandi. Ia diwajibkan mandi, ketika hendak solat atau membaca al-Quran. Bahkan ada sebuah riwayat yang menyatakan bahawa Nabi SAW pernah berdiri untuk solat berjemaah, tiba-tiba Baginda teringat bahawa Baginda belum mandi dan segera pergi mandi kemudian melaksanakan solat. Demikianlah yang diriwayatkan oleh keenam perawi hadis yang utama (kecuali Imam al-Tirmizi) melalui sahabat Nabi, Abu Hurairah.

Boleh jadi juga, pandangan itu diambil daripada kefahaman hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Abu Daud melalui Ali bin Abi Talib yang menyatakan, “Sesiapa yang mengabaikan satu bahagian dari tempat tumbuhnya rambut ketika mandi junub sehingga tidak terkena air, maka Allah akan memperlakukan begini dan begini di neraka.”

Riwayat ini di samping memiliki kelemahan dalam sanadnya, juga tidak menyebut mengenai rambut yang dipotong. Pada hemat saya, pandangan yang seperti saudari tanyakan itu sangat menyulitkan, sedangkan agama memberikan kemudahan-kemudahan termasuk dalam persoalan mandi wajib.

Sekiranya hukum memotong kuku atau menggunting rambut tidak haram, adakah larangan tersebut bermaksud makruh?

Dalam buku al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, az-Zuhaili menulis, “Tidak makruh dalam pandangan mazhab Hambali bagi seseorang yang junub, atau dalam keadaan haid, atau nifas menggunting rambutnya, kukunya sebelum mandi.”

Walaupun ada pandangan yang mengatakan tidak sepatutnya bagi seseorang menggunting rambut atau memotong kuku atau mencukur rambut kepala atau kemaluan atau mengeluarkan darah ketika dalam keadaan junub. Ada yang mengatakan bahawa setiap rambut akan menuntut untuk di mandi junub.
Pada hemat saya, pada hari kemudian, walaupun manusia dibangkitkan secara jasmani, tetapi tubuh kita bukan lagi sebagai mana keadaannya dalam kehidupan dunia. Al-Quran menyatakan bahawa wanita-wanita penghuni syurga (yang tua sekalipun) akan dijadikan Allah SWT sebagai gadis-gadis remaja, penuh cinta dan sebaya dengan suami-suami mereka.

Ini sebagai mana yang disebut dalam surah al-Waqiah ayat 35 dan 36 iaitu: “Sesungguhnya Kami sudah ciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan yang istimewa. Serta Kami jadikan mereka sentiasa dara (yang tidak pernah disentuh)”. Sebaliknya, ada orang yang derhaka yang ketika mana di dunia bermata jeli, lalu dibangkitkan oleh Allah Ta’ala dalam keadaan buta, sebagai mana dalam surah Taha ayat 125 dan 126 iaitu: “Ia berkata: Wahai Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan aku dalam keadaan buta, padahal dulu aku (di dunia) celik?”

Allah SWT berfirman, “Demikianlah keadaannya! Sudah datang ayat keterangan Kami kepadamu, lalu engkau melupakan serta meninggalkannya, dan demikianlah engkau pada hari ini dilupakan serta ditinggalkan.”

Dalam hal mandi wajib, mazhab Abu Hanifah meletak garis panduan bahawa wajib membasahi seluruh anggota badan yang dapat disentuh oleh air selama hal itu tidak menyulitkan. Dalam konteks kemudahan itu, ulama membincangkan wajib tidaknya rambut yang digulung atau diikat sebahagian atas sebahagian yang lain, untuk diurai terlebih dulu baru mandi.

Abu Hanifah tidak mewajibkannya, cukup membasahi. Imam Malik juga tidak mewajibkan mengurai rambut yang bersanggul selama ikatannya tidak terlalu ketat sehingga air dapat mengalir ke dalam. Alasan mereka adalah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, bahawa Ummu Salamah bertanya kepada Nabi SAW, “Aku adalah seorang wanita yang mengikat rambutku, apakah aku harus mengurainya dalam rangka mandi junub?” Nabi menjawab, “Tidak! Cukup engkau menuangkan air ke atas kepalamu sebanyak tiga kali.”
Imam Syafie, walaupun mengharuskan menguraikan sanggul apabila air tidak mengena rambut, namun beliau berpendapat bahawa agama memaafkan bahagian dalam dari rambut yang terikat untuk tidak terkena air. Wallahua’lam.

Oleh Ustaz Zahazan Mohamed