Irhas mengiringi kelahiran Muhammad

Kewafatan Abdullah, suami tercinta benar-benar ditangisi oleh Siti Aminah Wahab, lebih-lebih pemergian itu berlaku ketika beliau sedang sarat mengandung anak pertama mereka!

Namun seolah-olah tahu bahawa anak yang dikandung itu bukan calang-calang manusia yang akan dilahirkan ke dunia. Lalu Siti Aminah terpaksa membuang jauh-jauh kesedihannya itu kecuali tetap menguatkan diri dan perasaannya demi kebaikan anak dalam kandungan dan mahu melahirkan bayinya itu dengan selamat.

Malah terdapat kisah sebagaimana yang diceritakan oleh Siti Aminah sendiri; “Ketika kandunganku genap berusia enam bulan, datang seorang yang tidak ku kenali pada suatu malam dan berkata; Hai, Aminah, sesungguhnya puan sedang mengandungkan seorang pemimpin besar. Apabila bayi mu itu lahir kelak namakanlah dia dengan nama Muhammad!;” (sesetengah riwayat mengatakan Siti Aminah bermimpi mengenai anak dalam kandungannya itu).

Sehingga saat hendak melahirkan anaknya itu, Siti Aminah dikatakan tidak sedikit pun berasa gentar dan bimbang malah kita mendengar dalam banyak kisah, beliau dibidani oleh wanita-wanita yang didatangkan dari syurga, malah turut dibantu para bidadari itu sendiri.

Dikatakan wanita-wanita itu merupakan Siti Asiah, isteri kepada Firaun dan Siti Mariam, ibu Nabi Isa a.s. yang datang untuk membantu Siti Aminah melahirkan puteranya itu.

Lalu pada subuh Isnin 12 Rabiulawal, tahun pertama selepas peristiwa Tahun Gajah, maka lahirlah ke dunia ini, seorang anak yatim yang mulia..

Bayi yang dilahirkan itu tidak lain, tidak bukan Muhammad bin Abdullah bin Abdul Mutalib bin Hisyam bin Abdul Manaf bin Qushaiy bin Kilaab bin Murrah bin Kaab bin Luai bin Ghalib bin Fihr bin Malik Ibnu Nader bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrika bin Ilyas bin Mudar bin Nizar (Hizar) Bin Maad bin Adnan, sehinggalah selanjutnya nasab keturunan Adnan ini bersambung kepada Ismail putra Ibrahim a.s.

Tidak sahaja kerana fajar mentari yang menyingsing bagi menyingkap pagi yang paling suci tetapi dikatakan kelahiran Nabi di penempatan Bani Hashim di Mekah itu terdapatnya sinar yang begitu menerangi sehingga ke pelosok negeri.

Ibnu Saad meriwayatkan bahawa ibu Rasulullah SAW pernah berkata: “Setelah aku melahirkan bayi ini keluar dari rahimku, maka bersamanya terdapat cahaya gemilang yang menerangi sehingga ke istana-istana di Syam.”

Malah sejurus keputeraan Nabi Muhammad itu dikatakan terjadinya perkara-perkara luar biasa (irhas) sebagai tanda-tanda bahawa Rasulullah merupakan perutusan daripada Allah yang bakal mengubah apa yang selama ini telah sebati pada fizikal, mental, rohani dan akidah umat manusia kepada yang lebih baik lagi.

Dikatakan ketika Baginda lahir, empat belas lengkungan pintu gerbang Istana Kisra, milik Raja Parsi secara tiba-tiba telah runtuh, roboh dan pecah bertaburan, api biara yang selama berpuluh-puluh tahun tidak pernah padam, yang menjadi penyembahan kaum Majusi akhirnya gelap terpadam dan sehinggalah gereja-gereja di sekitar Bahirah runtuh secara tiba-tiba akibat ia mendap ke dalam bumi.

Jika alam semesta turut menyambut dengan gembira keputeraan Nabi Muhammad, apatah lagi kepada datuk Baginda, Abdul Mutalib yang sangat merasai kehilangan anaknya, Abdullah sebelum ini.

Sebaik Nabi Muhammad selamat dilahirkan, berita gembira kelahiran ini terus disampaikan kepada Abdul Mutalib yang ketika itu dikatakan sedang bertawaf di Kaabah kerana menantikan kelahiran cucunya itu.

Abdul Mutalib benar-benar gembira menerima berita kelahiran cucu laki-laki itu yang sekali gus mengingatkan beliau kepada anaknya, Abdullah.

Segera beliau menemui Siti Aminah untuk mengucapkan tahniah dan tanpa berlengah Abdul Mutalib menatang dengan penuh kasih sayang bayi yang baru lahir itu dan dibawanya terus menuju ke Kaabah.

Sesetengah riwayat menceritakan Abdul Mutalib membawa cucunya itu masuk ke dalam Kaabah. Di tempat sesuci itu, Abdul Mutalib berdoa kepada Allah memohon supaya cucunya itu diberi kemuliaan sepanjang hidupnya kelak. Lalu Abdul Mutalib menamakan bayi itu dengan permulaan yang cukup mulia iaitu; Muhammad yang bererti; yang terpuji! Iaitu satu nama yang masih agak asing di kalangan masyarakat Arab ketika itu.

Apabila mereka mengetahui bahawa anak itu diberi nama Muhammad, mereka tertanya-tanya mengapa Abdul Mutalib tidak suka atau mempertahankan nama nenek moyang.

Lalu Abdul Mutalib menjawab: “Ku inginkan anak ini akan menjadi seorang yang Terpuji bagi tuhan di langit dan bagi makhluk-makhluk-NYA di bumi!

Pada hari ketujuh kelahiran Rasulullah itu, sebagai tanda gembira dan bersyukur serta melaksanakan tanggungjawab sebagai datuk, Abdul Mutalib telah menyembelih unta dan dijamukan kepada seluruh penduduk Mekah, masyarakat Quraisy pada masa itu.

Malah walau sesetengah riwayat menyebut Nabi Muhammad telah dikhatankan sejak dilahirkan, namun pada hari ketujuh itu juga Abdul Mutalib telah mengkhatankan cucunya itu.

Bagi tidak membezakan si anak dengan anak-anak lain yang masih mempunyai ibu dan ayah, Nabi Muhammad benar-benar telah dilimpahkan dengan kekayaan kasih sayang walaupun daripada seorang yang bergelar datuk!

Namun tentunya anda sering mendengar bahawa keputeraan Nabi Muhammad SAW tidak lebih sebagai satu kelahiran seorang nabi palsu, iaitu satu tuduhan yang sangat jahat!

Iaitu satu konotasi sesetengah ajaran yang tercatat dalam kitab mereka yang menuduh Nabi Muhammd adalah antara “Banyak nabi palsu akan muncul dan menyesatkan banyak orang.”

Ini dilakukan apabila mereka tidak pernah menguji pengetahuan mengenai Nabi Muhammad.

Namun di celah-celah hasutan tersebut, seorang dari kalangan mereka mengemukakan sesuatu yang berbeza mengenai Rasulullah.

Seorang pemikir dan ahli sejarah terkemuka Inggeris, Thomas Carlyle (meninggal 1881) dari era atau zaman Victoria, dalam bukunya Heroes and Hero-worship (1841) dengan tegas menyatakan, “Pembohongan yang begitu semangat telah dituduhkan pada Muhammad (Nabi), adalah hanya menghinakan diri kita sendiri.”

Menurutnya lagi, jika Nabi Muhammad itu nabi yang palsu, jangankan hendak menyebarkan agama, membina rumah pun Baginda tidak akan mampu!

“Nabi palsu mendirikan sebuah agama? Manakan mampu? Seorang yang palsu bahkan tidak akan mampu membangunkan sebuah rumah yang diperbuat daripada batu bata!

“Jika dia tidak tahu dan tidak mengikuti ilmu dan cara-cara membuat adunan simen, bata dan segala sesuatu yang berhubungan dengan itu. Bukannya rumah yang dapat Baginda dirikan, melainkan tidak lebih longgokan dan lambakan sampah sarap.

“Adakah sampah, jika agama yang dibawa oleh Muhammad itu dapat bertahan selama dua belas abad (sekarang abad ke 14), memiliki pengikut sebanyak 180 juta orang (sekarang lebih dari 1 bilion pengikut),

“Ajarannya akan hancur berantakan jika Muhammad itu nabi atau imam palsu!” tegas Carlyle.

Justeru, tuduhan kepalsuan Nabi Muhammad itu boleh dijawab dengan segala detik-detik sejarah kelahiran atau keputeraan Baginda sendiri yang ternyata bukan satu kelahiran yang biasa!

Susunan SITI AINIZA KAMSARI