Isteri boleh tuntut taklik ikut kesesuaian kes

SAYA ingin bercerai dengan suami kerana tidak bersefahaman lagi. Suami tidak pernah menghargai saya sebagai isterinya. Saya sudah beberapa kali meminta suami menceraikan saya tetapi beliau hanya mendiamkan diri . Suami juga tidak memberi nafkah hampir setahun. Apabila saya meminta wang, suami memberitahu saya mempunyai gaji sendiri dan tidak perlu memberi nafkah. Oleh kerana saya yang mahu bercerai, suami berkata tidak perlu memberikan nafkah. Saya tidak kisah mengenai nafkah, apa yang saya mahu ialah bercerai tetapi beliau tidak bersetuju. Hasil perkahwinan, kami dikurniakan tiga cahaya mata berusia tujuh, empat dan satu tahun. Bagaimanakah saya boleh bercerai dengan suami.

Isteri mahu cerai,
Petaling Jaya.

———————–

Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 memperuntukkan perceraian melalui talak. Mengikut Seksyen 47, jika pihak satu lagi tidak bersetuju untuk bercerai maka mahkamah akan mengarahkan untuk dilantik jawatankuasa pendamai terdiri daripada wakil setiap pasangan dan dipengerusikan oleh pegawai agama.

Tugas jawatankuasa adalah untuk mendamaikan pasangan dan jika masih gagal maka penimbangtara atau hakam pula akan dilantik. Hakam mempunyai kuasa untuk menceraikan pasangan. Kaedah hakam terdapat dalam Arahan Amalan berhubung hakam yang diikuti di mahkamah syariah.

Puan juga boleh menuntut taklik terhadap suami jika beliau sudah melanggar taklik dilafazkan oleh suami selepas akad nikah. Puan perlu meneliti semula sijil nikah puan dan melihat taklik yang dilafazkan itu. Jika ada perlanggaran taklik, maka puan boleh memohon pensabitan lafaz taklik itu.

Selain taklik, puan boleh memohon cerai fasakh daripada mahkamah syariah berdasarkan alasan yang dinyatakan dalam Seksyen 53 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Ada 17 alasan boleh digunakan bagi memfasakhkan perkahwinan. Terpulang kepada puan untuk meneliti alasan berkenaan sama ada sesuai dengan apa yang puan alami atau tidak.

Jika tiada kecacatan atau keaiban pada pihak suami, tetapi isteri masih mahukan perceraian atas alasan tertentu, isteri boleh memohon tebus talak di mahkamah syariah. Dalam keadaan ini isteri perlu membayar sejumlah wang yang dipersetujui kedua-dua belah pihak atau ditentukan mahkamah bagi menebus talak daripada suami.

Namun ada beberapa implikasi terhadap isteri jika memohon tebus talak seperti akan dinafikan hak mutaah atau mendapat sagu hati perkahwinan akibat diceraikan tanpa sebab munasabah.

Berdasarkan penjelasan, ada beberapa cara bagi membubarkan perkahwinan. Puan boleh memilih mana-mana cara di atas mengikut kesesuaian kes puan.

Walau bagaimanapun saya ingin mengambil kesempatan untuk menasihati puan supaya memikirkan semasak-masaknya mengenai perceraian ini kerana perceraian adalah perkara halal yang paling dibenci Allah. Adalah amat baik jika puan dapat melakukan solat istikharah bagi memilih jalan terbaik buat puan sebelum membuat sebarang keputusan.

Puan juga dinasihatkan mendapatkan pandangan dan nasihat daripada pihak ketiga yang boleh dipercayai bagi membaiki perkahwinan puan dan suami. Mungkin puan dan suami boleh berjumpa dengan perunding atau kaunselor bagi membincangkan masalah ini.

Dalam banyak keadaan, keretakan rumah tangga adalah akibat tiada atau kurangnya komunikasi yang berkesan antara pasangan. Pasangan tidak faham keperluan masing-masing dan tidak berbincang secara terbuka serta berhemah mungkin akibat tekanan kerja, komitmen di tempat lain dan juga sebab tidak dapat dielakkan.

Selalunya jika berlaku perceraian, kedua-dua pihak sudah melakukan kesilapan, Cuma yang membezakannya ialah ratio kesilapan itu saja. Kesilapan sering dilakukan ialah kurangnya komunikasi dan membiarkan sesuatu perkara begitu lama, tidak mencegahnya di peringkat awal.

Sekali lagi saya menyarankan puan supaya berfikir semula mengenai keputusan itu dan cubalah berbincang dengan suami untuk memulakan episod baru perkahwinan puan. Fikirkanlah juga nasib anak selepas puan dan suami bercerai kelak.

Sudah tentu anak akan kehilangan salah seorang daripada ibu atau bapa. Mereka juga terpaksa mengubah cara hidup setelah perpisahan itu dan ini sedikit sebanyak akan mendatangkan keresahan kepada mereka. Anak sudah tentu akan merindui ibu atau bapa mereka setelah berpisah nanti.

Sebaiknya puan dan suami bersembahyang istikharah bagi memohon petunjuk daripada Allah apakah jalan terbaik yang harus dipilih bagi menempuh hari mendatang.

INFO
Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor

Jika pihak satu lagi tidak bersetuju untuk bercerai, mahkamah akan mengarahkan untuk dilantik jawatankuasa pendamai terdiri daripada wakil setiap pasangan dan dipengerusikan pegawai agama.
Tugas jawatankuasa mendamaikan pasangan dan jika masih gagal, penimbangtara atau hakam akan dilantik. Hakam berkuasa menceraikan pasangan. Kaedah hakam terdapat dalam Arahan Amalan berhubung hakam diikuti di Mahkamah Syariah.Jawapan ini disediakan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Zainul Rijal Abu Bakar