Jenis bantal, cara penjagaan bantal

Antara tilam dan bantal, tilam lebih dianggap berjasa dalam memberikan tidur yang berkualiti. Namun, bantal selesa tetap dicari supaya nikmat tidur lebih dirasai. Malah, bagi sesetengah orang, tidur mudah terganggu tanpa ditemani bantal yang biasa digunakan atau lebih dikenali sebagai `bantal busuk’.

Seperti tilam, bantal juga tidak tahan lama serta perlu ditukar sekalipun ia menjadi bantal kesayangan anda. Persoalannya, bilakah bantal perlu diganti baru?

Secara amnya, masa sesuai untuk membeli bantal baru adalah apabila kualitinya mula merosot – baik dari segi bentuknya yang tidak lagi anjal, berbau busuk selain isi dalamnya yang rosak.

Bantal dan kegunaan

Bantal berfungsi sebagai pelapik kepala dan memberi sokongan kepada leher ketika tidur. Disebabkan itu, elak sama sekali menyandarkan bantal di kepala katil. Ini akan menyebabkan anda tidur dalam keadaan kepala terlentuk.

Selain tidak selesa, ia menjadi punca utama anda mengalami lenguh bahu dan leher sebaik bangun tidur. Justeru, sebelum tidur, pastikan bantal berada dalam posisi yang betul dan paling penting, menyediakan sokongan yang diperlukan tubuh.

Kecenderungan pengguna bantal juga pelbagai. Ada yang menyukai bantal tebal, selesa dengan yang nipis, menganjal malah tidak kurang menggemari bantal lembut sehingga menenggelamkan kepala. Sementara, mereka yang memiliki bahu bidang dan mempunyai tabiat tidur mengiring, mungkin memerlukan lebih daripada dua biji bantal untuk tidur selesa.

Individu yang gemar memeluk bantal, inginkan sesuatu menyokong bahagian belakang badannya. Selain itu, mereka yang cenderung memeluk banyak bantal bagi mendapatkan rasa hangat ketika cuaca sejuk atau kekal nyaman di bilik berbahang, disarankan memiliki empat biji bantal. Namun, awas, jangan jadikan semuanya sebagai alas kepala kerana menyebabkan kekejangan tengkuk.

Mereka yang berpengetahuan mengenai penjagaan tulang belakang badan pasti mengesyorkan bantal dijadikan bahan melapik kaki. Cara ini dikatakan memastikan tulang belakang serta kepala berada dalam keadaan lurus sekali gus membenarkan otot berehat. Ini berbeza bagi mereka yang mengalami masalah pernafasan, yang memerlukan bantal tebal melapik kepala.

Jenis bantal

Ada pelbagai jenis isi dalam bantal namun yang biasa ditemui adalah yang diperbuat daripada;

* Bulu haiwan

Kasar serta halus bulu bergantung kepada kuantiti bulu yang disumbat dalam bantal. Lazimnya, bulu ayam yang lebih kasar menghasilkan bantal keras dan ada kebarangkalian terjojol keluar bantal jika bulu berkenaan pendek serta tajam.

Namun, jangan cuba menarik keluar kerana ia akan menarik sekali yang lain keluar dari bantal dan pada akhirnya, bantal menjadi lembik serta hilang keanjalan.

* Bulu itik dan angsa

Bulu haiwan ini sangat ringan namun gebu. Bulu angsa dikatakan lebih mahal berbanding itik sekali gus disukai ramai.

Sebaik kepala mencecah bantal, isi bantal daripada bulu itu akan bergerak ke serata arah lalu membuka poket udara. Hasilnya, bantal menjadi lebih gebu dan empuk untuk tidur.

* Bulu ayam

Bulu ayam perlu dibersihkan serta diproses terlebih dulu sebelum boleh dijadikan isi bantal. Walaupun ia bukan organik, namun masih dilabelkan sebagai produk dari ladang. Bulu ayam sangat popular sebagai material bantal selain menawarkan harga jauh murah berbanding bulu haiwan lain

* Bantal organik kontemporari

Bantal jenis ini menjadi pilihan popular kini kerana berciri mesra alam. Selain diambil dari haiwan, ia juga produk hasil bumi misalnya, kapas organik, biji gandum, bulu biri-biri dan kekabu.

* Bantal poliester

Sebaliknya, bantal jenis poliester dianggap tidak mesra alam malah diakui tidak selesa seperti bantal organik biarpun berciri lembut, selamat alahan dan mudah dicuci.

Bantal serpihan poliester berbusa walaupun dijual murah, tidak menyebabkan alergik. Namun, kelemahannya, ia memerlukan cucian khusus, cenderung menjadi berketul-ketul dan makin tidak selesa apabila digunakan bagi tempoh lama.

* Bantal getah berbusa

Produk semula jadi pokok getah sudah lama dijadikan isi bantal. Bukan saja tidak mengandungi alergen (bahan penyebab alergi) bahkan mampu membasmi kuman.

Malangnya, bantal jenis ini berciri anjal dan padat berbanding material lain hingga menyebabkan ia keras serta tidak selesa.

* Bantal biji kekacang

Bantal ini kering dan sangat penting dalam membentuk bantal tradisional Jepun. Namun, ia tidak lagi popular sekarang.

Cara penjagaan bantal

Bantal perlukan penjagaan yang baik jika ingin dipakai lama. Walaupun cela dan kotoran mampu disembunyikan dengan mengganti sarung baru, namun soal kebersihan perlu dititikberatkan. Sehubungan itu, daripada kekal dengan bantal berbau, kusam dan tidak lagi enak digunakan untuk tidur, lebih baik dibelikan yang baru.

Bantal

Kaedah penjagaan bantal sebenarnya bergantung kepada isinya. Bantal yang diperbuat daripada bulu haiwan misalnya, tidak boleh dibasuh sebaliknya memadai dijemur di bawah cahaya matahari.

Namun, masalah besarnya ialah apabila bantal itu basah dan terkena tumpahan air. Ia tidak boleh dicuci menggunakan mesin basuh. Sebaliknya, lap dulu kotoran, bilas sebelum ia dijemur.

Bantal poliester walapun boleh dicuci, namun perlu dielak kaedah cucian kering. Sementara, bantal getah boleh dibersihkan menggunakan span tetapi mudah rosak jika didedahkan di bawah cahaya matahari. Ia hanya boleh dikeringkan di tempat redup.

Hakikatnya, walaupun pelbagai panduan diperturunkan, kayu ukur mengganti bantal pada akhirnya mengikut budi bicara iaitu beli baru sebaik mendapati bantal yang digunakan sudah kusam, berbau selain tidak mampu memberi keselesaan ketika tidur.

Oleh Bennie Zie Fauzi