Kaedah untuk mengetatkan faraj

Saya berusia 36 tahun mempunyai tiga anak. Sewaktu hamil anak ketiga, saya melalui trauma bersalin apabila bayi saya dilahirkan secara forseps dan mengalami komplikasi akibat tersekat memandangkan saiznya yang besar iaitu 4.1 kilogram (kg).

Saya juga mengalami koyakan teruk pada bahagian faraj dan doktor mengambil masa yang agak lama untuk membaikinya. Masalahnya selepas itu, saya rasakan faraj saya longgar tidak seperti dulu lagi.

Walaupun suami saya tidak pernah menyatakannya, saya dapat rasakan dia juga kurang berpuas hati dengan keadaan faraj saya kini. Saya ada terbaca mengenai kaedah untuk mengetatkan faraj. Bolehkan doktor menerangkan kaedah itu dengan lebih lanjut?

MILA,
Kuala Lumpur

————-

Sewaktu kehamilan, tubuh wanita mengalami beberapa perubahan fizikal. Selepas kelahiran, tubuh wanita juga mengalami perubahan termasuk pada faraj yang didapati tidak lagi sama seperti dulu.

Ada juga yang mengeluh hubungan seks tidak lagi memuaskan seperti sebelumnya. Koyakan faraj yang anda alami mungkin berlebihan memandangkan saiz bayi yang dilahirkan dikategorikan sebagai besar (melebihi 4 kg).

Prosedur forseps juga boleh menyebabkan trauma pada faraj kerana ia membabitkan guntingan episiotomi yang lebih panjang. Doktor kemudiannya akan memeriksa jenis trauma yang dialami (koyakan pada faraj, koyakan pada serviks dan keadaan otot dubur serta permukaan dalaman dubur) sebelum membaiki koyakan itu.

Kadangkala ia memerlukan bantuan pembiusan bagi mengurangkan kesakitan dialami sewaktu prosedur pembaikan. Seseorang itu boleh mengalami komplikasi lain yang berkaitan seperti masalah tidak dapat menahan air kencing apabila bersin atau batuk dan masalah tidak dapat mengawal pembuangan air besar.

Memandangkan ia suatu prosedur pembedahan elektif, anda hendaklah memastikan keadaan kesihatan anda terkawal sebelum menjalani apa-apa pembedahan. Seeloknya berbincang dengan suami terlebih dulu sebelum menjalani prosedur ini.

Selain itu, anda harus faham kemungkinan hasil yang diperolehi tidak seperti yang anda atau suami harapkan, kepuasan seks wanita dan lelaki juga berbeza terutama pada wanita, ia lebih kompleks serta mungkin tidak berkaitan dengan faraj yang ketat atau longgar.

Ada kemungkinan anda masih merasakan sama seperti sebelum pembedahan, ada juga kemungkinan faraj menjadi terlalu ketat dan menyukarkan hubungan seks.

Selain itu, memandangkan otot faraj dan kawasan perinium akan menjadi semakin lemah dengan pertambahan usia, tidak mustahil masalah yang sama berulang pada masa hadapan. Lebih penting untuk anda mengamalkan kaedah mudah agar keadaan ini tidak menjadi lebih teruk lagi. Ini termasuk:

- Mengamalkan senaman kegel (kemutan otot pelvis) untuk menguatkan otot faraj dan pelvis. Satu kajian melaporkan senaman mudah ini hanya diamalkan oleh 15 peratus wanita tiga bulan selepas bersalin.

- Mengurangkan aktiviti yang boleh melemahkan otot pelvis seperti mengangkat benda berat, kerap meneran akibat masalah sembelit, batuk berpanjangan dan seumpamanya.

- Menjaga kebersihan kawasan faraj terutama selepas bersalin bagi memastikan luka terbabit sembuh tanpa dijangkiti kuman

Sekiranya anda memilih untuk menjalani pembedahan memulihkan faraj, berjumpalah dengan doktor anda.

Pembedahan ini sebenarnya sudah lama dilakukan oleh doktor sakit puan, cuma dahulunya ia lebih lazim dilakukan ke atas wanita lebih berusia sebagai prosedur sampingan dalam pembedahan membuang rahim akibat penyakit rahim jatuh (prolaps uterus), pembedahan membaiki penyakit pundi kencing jatuh (cystocele) atau pembedahan membaiki penyakit usus rektum jatuh (rectocele).

Kini, skopnya lebih meluas dan mencakupi golongan wanita lebih muda (usia reproduktif) selepas kelahiran yang mengalami masalah berkaitan faraj longgar.

Prosedur ini juga ada dilakukan secara laser (dipanggil terapi rejuvenasi vagina atau LVR) dengan tujuan yang sama, iaitu untuk mengetatkan faraj dengan harapan ia dapat meningkatkan kepuasan hubungan seks.

Seperti mana-mana pembedahan, komplikasi berkait dengan penyakit yang dialami seseorang (seperti darah tinggi yang tidak dikawal) memandangkan sesuatu pembedahan boleh menjadi punca tekanan yang mendatangkan komplikasi penyakit itu.

Komplikasi am lain seperti pendarahan, pengumpulan darah beku (hematoma), trauma pundi kending dan dubur, pembentukan parut berlebihan dan risiko pembiusan.