Kasut Crocs Untuk Wanita Lebih Feminin

Jenama kasut yang menjanjikan keselesaan pada kaki, Crocs, kini tampil lebih feminin apabila telah melancarkan Koleksi Candy untuk Musim Bunga dan Panas 2011. Koleksi yang direka istimewa untuk kaum wanita ini lebih berwarna-warni bagi meneruskan Crocs Feel Good Revolution.

Koleksi yang nipis dan ringan ini boleh didapati dalam dua pilihan untuk wanita dewasa iaitu rangkaian Carlie dan Adrina. Dibuat dengan menggunakan teknik binaan dua bahagian yang unik, Koleksi Candy membawakan bahan atas lut sinar dalam aneka warna, corak dan gaya rekaan yang menarik.

Seperti biasa, setiap kasut mempunyai tapak yang diperbuat daripada bahan Croslite™, yang menjamin keselesaan dalam setiap langkah. Sama ada dipakai untuk bekerja, bersiar-siar atau acara liburan bersama rakan-rakan, kasut Crocs Candy memang sesuai dijadikan pilihan. Koleksi ini boleh didapati dengan harga RM139 hingga RM229.

Bagi yang sangat mementingkan kesihatan kaki, anda juga boleh memilih satu lagi rangkaian kasut daripada Crocs, iaitu Koleksi Crocs Tone. Kasut yang juga berwarna –warni ini direka bentuk untuk merangsang pergerakan otot kaki sambil berjalan. Bahkan, ia membolehkan anda bersenam dengan setiap langkah.

Berbeza dengan kasut senaman untuk mencantikkan kaki lain, koleksi Crocs Tone sengaja direka seperti kasut kasual biasa agar sesuai digayakan pada bila-bila masa. Seadainya anda idamkan potongan kaki menarik, koleksi ini amat disarankan.

Koleksi Crocs Tone membawakan Skylar Flat dan Skylar Clog yang berharga RM229. Setiap satu boleh didapati dalam kombinasi warna terang dan boleh digayakan dengan hiasan butang Nombor Neon atau Bunga Ombak Jibbitz.