Katil Bayi

Di Malaysia, katil bayi masih belum menjadi keperluan untuk menyambut kedatangan orang baru dalam hidup. Hanya segelintir yang beria-ia membeli dan menghiasnya dengan pelbagai permainan atau hiasan supaya si kecil beradu dengan nyenyak dan mendapat mimpi yang indah.

Ini kerana budaya di sini malah beberapa negara Asia yang masih tidak mahu berenggang dengan si kecil walaupun masa tidur. Ibu bapa kalau boleh mahu si kecil tidur di celah ketiak atau di tengah-tengah antara mereka supaya senang untuk memberi susu badan tanpa perlu bangun.

Selain itu, rata-rata rumah tidak mempunyai bilik yang luas untuk menempatkan lagi satu perabot yang akan mengambil ruang. Sedangkan perabot sedia ada seperti katil dan almari sudah memenuhi bilik.

Alasan yang lain ialah kos untuk membelinya. Walaupun harganya dalam lingkungan RM150 ke atas, dengan aksesori yang lain seperti tilam, bantal, kelambu, bumper dan permainan turut menambah kos kepada ibu bapa yang tidak berkemampuan.

Ketua Jabatan, Konsultan dan Pakar Pulmonori Pediatrik Hospital Serdang, Dr. Norrashidah Abd. Wahab berkata, di negara Barat, katil bayi adalah perabot yang wajib ada ketika menyambut kedatangan cahaya mata. Ia akan dihias dengan pelbagai hiasan bagi menggembirakan si kecil, malah bayi turut diletakkan di bilik berasingan.

Namun begitu di negara kita, penggunaan katil bayi agak tidak popular kerana budaya yang tidak mahu berpisah dengan bayi kerana takut bayi ditinggal bersendirian dan ‘malas’ untuk bangun bagi menyusukan bayi.

”Sememangnya mengikut pakar, tidak digalakkan tidur dengan bayi kerana banyak kejadian bayi lemas, tersepit antara ibu bapa dan anak.

”Oleh itu, jika sekiranya bayi tidur di katilnya, kejadian-kejadian seperti itu dapat dihindarkan dan hubungan seksual antara ibu bapa menjadi selesa.

“Inilah satu permulaan bagi mengajar anak supaya tidur bersendirian dan seterusnya di bilik berasingan,” katanya ketika ditemui di Hospital Serdang, baru-baru ini.

Menurut Dr. Norrashidah, buat permulaan, katil bayi itu bolehlah diletakkan bersebelahan dengan katil ibu bapa. Ini memudahkan penjagaan, jadual pemberian susu dan menyalin lampin.

”Bagi memangkinkan perhatian bayi kepada katilnya, dicadangkan supaya ibu menghiaskan dengan pelbagai stimulasi perkembangan tumbesaran.

”Permainan berwarna ceria yang bergerak-gerak serta mengeluarkan bunyi boleh mententeramkan bayi apabila menangis dan sekali gus melayan dirinya sendiri dan akan berhenti menangis.

”Bagaimanapun, jangan meletakkan permainan terlalu penuh kerana ini akan menyebabkan bayi kurang selesa kerana sempit dan kemungkinan akan lemas,” katanya.

Jelasnya lagi, penggunaannya haruslah sejak bayi dalam hari lagi supaya ia terbiasa dengan keadaan tempat tidurnya.

”Bagaimanapun, setelah berusia dua tahun, hendaklah dipindahkan ke katil kanak-kanak atau katil bujang kerana mereka semakin membesar dan tidak muat tidur di dalam katil bayi itu.

”Sekiranya tidak yakin untuk membiarkan mereka tidur di bilik sendiri, dinasihatkan menggunakan katil kanak-kanak dan diletakkan di dalam bilik ibu bapa. Namun begitu, tidak digalakkan sehingga mereka berusia lima atau enam tahun yang harus diajar untuk tidur di bilik berasingan,” menurutnya.

Katanya, ini kerana anak yang berusia dua tahun ke atas sudah memahami apa yang dilihat dan tidak sesuai tidur bersama dengan ibu bapa.

Oleh SADATUL MAHIRAN ROSLI