Kecelaruan Identiti

Apa saja yang dilalui, apa saja perlakuan, perubahan fizikal, imej diri, pendidikan dan persekitaran adalah membabitkan seksualiti. Hakikat yang tidak boleh dinafikan, tatkala sebut saja mengenai seksualiti, sudah tentu kita hanya membayangkan keintiman hubungan seks antara lelaki dan wanita.

Hubungan intim itu hanya komponen kecil dalam seksualiti sedangkan perkataan itu membawa makna lebih luas membabitkan seluruh perkembangan manusia bermula daripada kelahiran hingga ke akhir hayat, malah ia adalah asas normal dalam kehidupan.

Seksualiti turut tergolong dalam faktor komunikasi dan pendidikan yang menjadi hak setiap individu masing-masing kerana tubuh badan dalam kawalan sendiri. Sehubungan itu, kita berhak memilih mempamerkan seksualiti sambil menghormati diri dan pandangan orang lain.

Pegawai Perubatan Kafe@Teen Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Dr Hamizah Mohd Hassan, berkata walaupun setiap individu termasuk remaja mempunyai hak seksualiti, tingkah laku seksual banyak merangsang kepada masalah apabila berlaku kecelaruan identiti.

Katanya, antara masalah bakal dihadapi termasuk orientasi seksual, iaitu tarikan seksual terhadap sesuatu jantina, sama ada sama jantina atau berlawanan atau kedua-duanya.

“Orientasi seksual yang sering diperkatakan membabitkan golongan homoseksual, iaitu mereka yang tertarik dengan jantina sama, dikategori sebagai gay atau lesbian. Selain itu, satu lagi bentuk orientasi seksual ialah heteroseksual yang membabitkan golongan normal. Mereka adalah seorang individu yang tertarik terhadap jantina yang berlainan sementara biseksual pula mereka yang meminati terhadap kedua-dua jantina.

“Satu lagi kategori ialah transeksual yang kini semakin meruncing. Ia adalah gangguan identiti gender apabila seseorang lelaki menganggap dirinya perempuan lalu berkelakuan dan berperanan seperti perempuan. Begitu juga sebaliknya apabila perempuan menganggap dirinya seorang lelaki. Golongan ini turut dikenali sebagai mak nyah, pondan dan penkid,” katanya pada program kursus Ilmu Keluarga @ LPPKN bertajuk ‘Citra Remaja’ di LPPKN, baru-baru ini. Program berkenaan disertai kira-kira 500 pelajar dari beberapa sekolah menengah di sekitar Kuala Lumpur.

Dr Hamizah berkata, tingkah laku seksual sering menjadi isu masa kini dan ia perlu dibendung segera antaranya homoseksualiti, transvestit, berdua-duaan di tempat sunyi, melakukan hubungan seks sebelum berkahwin atau di bawah umur 16 tahun.

Melakukan seks rambang, pornografi, seks siber, seks oral dan seks dalam talian juga antara isu yang amat membimbangkan di kalangan remaja.

“Homoseksualiti bukanlah sejenis penyakit, tetapi ia adalah ‘kepelbagaian seksual’ yang mana mereka merasakan perubahan sejak kecil lagi dan berpendapat mereka lain daripada orang lain. Ia sukar untuk diubah, tetapi mereka sangat prihatin kepada pandangan masyarakat. Golongan homoseksualiti ini berisiko tinggi terhadap jangkitan HIV jika melakukan hubungan seks bersama pasangan.

“Transeksual pula bagaikan satu ‘trend’ semasa. Ia konflik dalam diri sendiri iaitu individu yang terperangkap di dalam badan salah jantina. Mereka mudah jatuh cinta terhadap jantina sama, malah berani menanggung risiko dengan menukar jantina menerusi perubatan dan juga pembedahan,” katanya.

Beliau berkata, transvestit juga sama seperti transeksual. Ia selalunya berlaku di kalangan lelaki yang berpakaian seperti wanita kerana merasakan mereka mendapat kepuasan dalaman dan tenteram dengannya.

Masalah itu adalah gangguan mental yang dilakukan secara rahsia dan ada juga yang berpakaian seperti wanita secara terbuka (lelaki lembut). Mereka selalunya menjalani kehidupan biasa iaitu ada yang berkahwin dan berkeluarga.

“Masalah berkenaan mendorong kepada isu moral dan agama kerana ia mampu mempengaruhi kepada isu lebih teruk iaitu seks rambang yang berisiko tinggi terhadap jangkitan HIV. Malah, tingkah laku itu juga boleh mendorong mereka untuk menonton filem pornografi, sekali gus menyumbang kepada perilaku seks rambang dan seterusnya ketagihan.

“Fenomena itu boleh menyebabkan mereka yang keliru jantina hilang tumpuan kepada kerjaya dan pelajaran. Malah, ia boleh menyebabkan kepada penderaan seks dan eksploitasi seks seperti berlakunya rogol, sumbang mahram serta gangguan seksual,” katanya.

Kes berkenaan berlaku apabila seksualiti dilalui, diluahkan dengan berbagai cara mengikut perasaan, fikiran dan perbuatan. Konflik dalam diri di kalangan homoseksual dan transeksual juga boleh menyebabkan masalah perdagangan seks (pelacuran) sosial dan penyalahgunaan dadah. Pembentukan sahsiah diri sempurna bermula dari keluarga sejak kecil dan mampu mengelak dari masalah seksual apabila dewasa.

Dr Hamizah berkata, masalah itu lazimnya berlaku ketika remaja kerana ketika itu mereka mula terdedah kepada pengaruh luar dan keinginan untuk mencuba sesuatu.

“Remaja perlu sedar bahawa setiap tingkah laku seksual mempunyai kesan dan akibat pada diri sendiri, keluarga dan masyarakat. Demi masa depan dan kebaikan untuk diri sendiri, semua individu perlu bertanggungjawab dalam sebarang tingkah laku seksual yang dipilih. Ini kerana masa depan adalah di dalam tangan sendiri,” katanya.

Oleh Hidayah Mohammad