Keluarga bahagia

IBU bapa didapati lebih banyak menghabiskan masa di dalam tandas berbanding bercakap dengan anak masing-masing. Hasil kajian itu diperoleh oleh sekumpulan pakar psikologi di Britain mengenai peruntukan masa ibu bapa bersama anak-anak. Kajian psikologi di Malaysia pada 1988 dan 1999 pula menunjukkan, seorang bapa berbual kurang tiga minit sehari bersama anak masing-masing. Ibu yang menjadi suri rumah sepenuh masa pula berbual bersama anak hanya enam minit iaitu kurang dua minit berbanding ibu bekerja.

Kurang interaksi

SIKAP ibu bapa yang lebih sibuk dengan aktiviti masing-masing itu didedahkan Perunding Klinikal Psikologi Universiti Monash dan Sunway Medical Centre, Paul Jambunathan. Beliau berkata sikap ibu bapa yang kurang berbual mesra dengan anak tanpa disedari meletakkan jurang yang jauh antara ibu bapa dan anak apabila mereka meningkat dewasa.

“Sekiranya anda tidak bercakap dengan anak-anak sejak mereka kecil lagi, tunggu sehingga mereka berusia 13 atau 14 tahun, mereka tidak mahu bercakap dengan anda lagi. Pada masa itu anda akan berasa kesal kerana selama ini lebih rela menghabiskan masa di tandas untuk mencukur janggut mahupun bulu kaki.

Anak juga ada perasaan walaupun mereka masih kecil lagi. Ibu bapa selalu mengatakan sayang kepada anak, tetapi kita jarang sekali memeluk, mencium dan membelai darah daging kita itu. Tidak ramai ibu bapa mencium dan mengucapkan selamat malam kepada anak sebaliknya ada yang masuk tidur dalam keadaan marah. Pastikan esoknya mereka bangun dengan ceria serta mendengar kata-kata menggembirakan bukan maki hamun.

“Tambahan pula hari ini ibu bapa sibuk bekerja, meninggalkan tanggung jawab mereka pada pembantu rumah asing. Jangan sampai anda kehilangannya pada suatu masa. Habiskan masa dengan anak, tidur bersama mereka kerana ia membuatkan anak berasa selamat,” katanya.

Menyesali sikap sesetengah ibu bapa yang cenderung menjadikan pembantu rumah sebagai pengganti ibu bapa untuk bersama anak, Paul mencadangkan, biar sesibuk manapun ibu bapa perlu meluangkan masa bercakap dengan anak untuk mendengar keinginan mahupun masalah mereka.

“Anak yang tidak diasuh oleh ibu bapa sejak kecil akan beralih arah daripada kedua-dua orang tuanya itu. Ia seperti menanam tumbuhan tetapi tidak disiram, tumbuhan itu akan mati. Anak adalah cermin ibu bapa. Mahu atau tidak, anda harus menerima hakikat sebarang tingkah laku yang ditunjukkan anak sebenarnya adalah sindrom masalah ibu bapa sendiri,” katanya.

Paul ditemui ketika mengendalikan Kem Gain Family Discovery, di pulau Tioman, Pahang baru-baru ini. Kem percutian tiga hari dua malam yang dianjurkan Abbot Nutrition, jenama minuman susu untuk kanak-kanak, Gain Eye-Q itu disertai lima pasangan suami isteri berserta sekurang-kurangnya dua anak masing-masing dari seluruh negara. Mereka terpilih menyertai kem berkenaan sebagai hadiah selepas memenangi pertandingan anjuran syarikat berkenaan awal tahun ini.

Pada kem berkenaan, Paul menunjukkan cara mengeratkan hubungan kekeluargaan melalui pelbagai aktiviti seperti menghasilkan binaan menggunakan kadbod, melukis, menari dan bermain pasir di tepi pantai. Melalui aktiviti seumpama itu, Paul cuba membuktikan betapa rapuhnya ikatan kekeluargaan akibat sikap ibu bapa yang lebih cenderung menguasai dan kurang empati (memahami) anak.

“Pada sesi aktiviti Ciptaan Keluarga, ibu bapa nampaknya mengawal anak-anak dengan memutuskan apa yang mereka mahu bina menggunakan kadbod yang diberikan. Sejak awal ibu bapa sibuk hendak menghasilkan produk diinginkan, tetapi di mana keluarga anda? Tanpa memberi mereka peluang bersama membuat keputusan, bagaimana anda dapat melihat pandangan mereka?

“Sememangnya ibu bapa perlu membuat pilihan untuk anak, tetapi entah bagaimana, pilihan yang mereka buat itu lebih kepada memenuhi kepentingan ibu bapa sendiri. Mendengar luahan hati anak amat penting kerana kanak-kanak juga mempunyai keinginan,” katanya.

Kawalan keterlaluan

Paul berkata terdapat beberapa sikap ibu bapa yang mengawal anak secara melampau seperti diktaktor dan autoriktatif. Sebaiknya ibu bapa perlu mengurangkan sikap terlalu mengawal ini dengan batas tertentu untuk mengawal keselamatan anak, pemakanan, perkembangan emosi, kasih sayang dan perhatian. Bagi membina ikatan erat dengan anak, kunci kata utamanya adalah mendengar luahan hati mereka, berikan mereka peluang bercakap dan babitkan mereka dalam pelbagai aktiviti keluarga.

Menjawab keluhan kebanyakan ibu bapa mengenai tingkah laku anak yang menggusarkan mereka, Paul berkata, anak adalah cermin ibu bapa. Sebarang masalah tingkah laku dan emosi si anak adalah sindrom ‘penyakit’ yang ada dalam keluarga. Justeru, ibu bapa bertanggung jawab membina asas kukuh dalam jiwa anak bagi membolehkan mereka bijak mengawal emosi dan tingkah laku pada masa tertentu. Asas kukuh ini bergantung kepada kestabilan emosi ibu bapa sendiri.

“Sekiranya asas ini kukuh, anak anda boleh melakukan segala-galanya. Emosi menggerakkan tingkah laku. Tidak salah jika anak berasa sedih, takut, gembira, marah dan sebagainya, tetapi ia perlu ditunjukkan dengan cara betul. Membina asas ini ibarat menerbangkan layang-layang. Ibu bapa umpama tangan yang mengawalnya dan asas kukuh ini adalah tali layang-layang. Seandainya tali ini berkualiti, layang-layang boleh terbang tinggi. Ibu bapa perlu memilih tali yang kuat agar anak anda boleh ‘terbang’.

“Berdasarkan ujian psikologi sosial, kanak-kanak dari keluarga bahagia tidak mempunyai masalah dan berkeyakinan. Walaupun mereka mengalami kesukaran, mereka tahu ada ibu bapa yang akan sentiasa menyokong dari belakang. Keluarga bahagia bukan bererti tiada pertengkaran tetapi bertengkar dengan cara betul tanpa merosakkan kasih sayang. Ini menjadi contoh kepada anak yang suka meniru tingkah laku ibu bapanya,” katanya.

Pada sesi bersama ibu bapa saja, Paul berkata kanak-kanak bertindak balas terhadap rangsangan. Setiap tingkah laku ditunjukkannya adalah rantaian rangsangan yang diterima. Misalnya walaupun anda menyuruh anak berhenti menangis ketika mereka mengamuk, anak tetap terus menangis kerana rangsangan yang diterimanya. Sebaliknya jika ibu bapa hanya berdiam diri dan pergi ke tempat lain, anak akan berhenti menangis kerana tiada tindak balas diterima daripada ibu bapanya.

“Ibu bapa perlu memeriksa semula bagaimana mereka bertindak balas terhadap anak apabila mereka melakukan sesuatu. Teknik ini sama dengan ketika memandu kereta. Anda perlu tahu bila mahu menekan brek atau klac pada masa diperlukan. Misalnya, jika marahkan anak, jangan bertindak balas terhadap perasaan itu. Tekan ‘klac’ untuk berfikir dulu sebelum bertindak.

“Jangan marahkan anak di depan orang ramai ketika anak tiba-tiba mengamuk atau marahkan mereka sehingga nampak seperti bodoh. Lebih kerap anda bertindak balas begini, lebih jauh anak akan melarikan diri dari anda. Setiap kali mengalami tekanan, tunggu dan lihat sebelum bertindak,” katanya.

Oleh Halina Mohd Noor