Kenali potensi diri

Mengenal diri hanya melalui tarikh lahir. Bunyinya pelik, tetapi dengan kaedah sains metafizik, seseorang itu dapat mengenali potensi atau dalam kata lain aura diri masing-masing untuk digunakan dalam kehidupan seharian dan kerjaya yang ingin diceburi.

Kaedah sains metafizik ini bukan menilik nasib kerana ia tiada kaitan dengan ramalan buruk baik masa depan seseorang, sebaliknya kaedah ini hanya sebagai panduan hidup semata-mata.

Kepentingan sains metafizik ini kini giat dipromosi Azizan Osman, 33, yang juga pengasas syarikat Rich & Richer Resources Network berpejabat di Kuala Lumpur melalui ceramah mengenai kaedah mengenal diri melalui tarikh lahir sejak setahun lalu.

Minatnya terhadap sains metafizik mendorongnya mengkaji kaedah itu sejak lebih 10 tahun lalu dan ilmu yang diperoleh melalui kajian itu diaplikasikan dalam perniagaan setahun lalu dan kehidupannya kini.

Beliau mengakui kaedah digunakan sungguh berkesan dalam apa yang dilakukan sejak mempelajari ilmu itu.

“Kaedahnya berdasarkan kajian sains metafizik yang berusia beribu-ribu tahun lamanya. Ia rahsia yang digunakan dari zaman tamadun Sumeria, Mesir Kuno, China, Yunani, Arab dan Jawa yang digunakan sebagai panduan untuk membuat keputusan lebih tepat.

“Secara saintifik, kita memahami satu perkara yang dipanggil sebagai ‘pattern’. Jika sesuatu perkara itu berlaku pada kali pertama, kita panggil ia sebagai ‘accident’ atau tidak sengaja. Apabila ia berlaku pada kali kedua, kita memanggilnya sebagi ‘coincident’ atau kebetulan.

“Namun apabila berlaku pada kali ketiga, kita akan memanggilnya sebagai ‘pattern’ atau satu corak dan jika berlaku pada kali keempat, kita akan kata ia satu ‘habit’ atau perangai/kelakuan kebiasaan,” katanya ketika ditemui selepas memberi ceramah di Hotel Seri Malaysia, Ayer Keroh, di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, kajian tarikh lahir yang diutarakan itu hasil pelajaran formal atau informal yang dipelajari dan diuji selama bertahun-tahun di bawah situasi berbeza.

Katanya, ia kerap digunakan oleh kakitangan yang sesuai untuk menjawat jawatan tertentu di satu-satu jabatan dan ia juga selalu digunakan untuk mengenali seseorang itu dengan lebih cepat untuk memudahkan komunikasi.

“Kaedah ini turut sesuai digunakan untuk memilih jodoh bagi merancang perkahwinan bahagia.

“Walau apapun jua, ‘Kunci Rahsia’ ini ada pada diri kita. Ia tersirat pada nombor tarikh lahir kita dan terpulang kepada kita untuk belajar dan mencari kunci rahsia kepada mengenali kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman seseorang.

“Sebenarnya tiada kuasa pun pada kiraan tarikh lahir kita. Kaedah numerologi ini digunakan sebagai garis panduan untuk kita bergerak ke arah yang dituju.

“Nombor dalam tarikh lahir kita ibarat simbol lalu lintas yang kita pelajari supaya kita dapat memandu dengan mudah di jalan raya.

“Tuhan itu Maha Bijaksana dan kita dijadikan lengkap dengan persoalan hidup dan jawapannya, tetapi terpulang kepada kita untuk menggunakan apa yang diberikan-Nya.

“Nombor banyak mempengaruhi kehidupan seharian kita. Tarikh lahir kita adalah nombor, wad kita bersalin ada nombor, nombor giliran untuk rawatan menggunakan sistem nombor, tarikh perkahwinan adalah nombor, anak dalam keluarga dikaitkan dengan nombor dan nilai duit juga adalah nombor.

“Begitu juga kereta yang ada banyak nombor seperti nombor plat, nombor enjin dan macam-macam lagi. Rumusannya, semua yang kita tempuhi sepanjang perjalanan hidup ini ada kaitan dengan nombor, tapi satu perkara yang anda patut jangan biasakan atau buat sama sekali ialah beli nombor,” selorohnya.

Azizan berkata, sesiapa yang berminat mempelajari kaedah mengenal potensi diri melalui tarikh lahir ini dengan lebih lanjut boleh berbuat demikian dengan melayari azizanosman@blogspot.com.

Oleh NOOR SHAHRIZAH OTHMAN