Keselamatan pengiriman wang ke luar negara

Keselamatan pengiriman wang ke luar negara
Pengiriman wang adalah pemindahan yang dibuat kepada seseorang yang berada di luar negara. Ini termasuklah penghantaran wang kepada anak-anak yang sedang belajar di luar negara, pengiriman wang oleh pekerja asing kepada keluarga mereka di negara asal masing-masing atau pembayaran yang dibuat untuk mengimport barangan dan perkhidmatan.

Pengiriman wang ke luar negara hanya boleh dilakukan melalui peniaga mata wang yang diberi kuasa atau syarikat-syarikat yang dibenarkan oleh Bank Negara Malaysia, iaitu:

* Bank-bank perdagangan

* Bank Islam Malaysia Berhad

* Bank Muamalat Malaysia Berhad

* Pos Malaysia Berhad

* Bank Simpanan Nasional

Hanya institusi di atas sahaja dibenarkan untuk mengirim wang ke luar negara bagi pihak orang awam, pengimport, pengeksport atau pelabur. Oleh kerana peniaga mata wang tersebut hanya berurusan dengan ejen-ejen berlesen di Negara penerima, maka mereka boleh memastikan wang yang dihantar selamat sampai ke destinasinya.

Sekiranya anda ingin mengirim wang ke luar negara, sama ada bagi pihak diri anda sendiri atau orang lain, anda dinasihatkan agar tidak menggunakan ejen pengiriman yang tidak sah. Wang anda mungkin tidak sampai ke destinasinya. Sebagai langkah keselamatan, anda seharusnya menggunakan khidmat ejen pengiriman yang dibenarkan sahaja.

Pengiriman wang tidak sah ialah penghantaran wang ke luar negara melalui syarikat yang tidak dibenarkan oleh Bank Negara Malaysia untuk menjalankan perniagaan sedemikian.

Sekiranya anda menggunakan khidmat ejen yang tidak sah, tiada jaminan bahawa wang anda akan dikembalikan.

Ciri-ciri ejen pengiriman wang tidak sah adalah seperti berikut:

* Beroperasi secara kecilkecilan

* Mendakwa mampu memberi perkhidmatan pengiriman wang dengan cepat tanpa perlu mengemukakan sebarang dokumen atau bukti pengenalan diri

* Tidak menggunakan dokumen untuk membenarkan dan mengesahkan sesuatu urus niaga

Bank Negara Malaysia sentiasa memantau maklum balas dan laporan orang awam mengenai kegiatan pengiriman wang tidak sah di Malaysia. Unit Penyiasatan Bank Negara Malaysia membuat serbuan dari semasa ke semasa ke atas ejen yang disyaki menyediakan khidmat pengiriman wang tidak sah.

Wang yang disita dalam serbuan akan dirampas manakala pengendalinya akan dikenakan tindakan undang-undang.

Sekiranya anda mengesyaki seseorang terlibat dalam menyediakan perkhidmatan pengiriman wang ke luar Negara secara tidak sah, anda boleh melaporkannya di alamat berikut:

Jabatan Pentadbiran Pertukaran Asing
Bank Negara Malaysia
Jalan Dato’ Onn
50480 Kuala Lumpur

No. Telefon : 03-2698 8044 samb. 8211 atau 8233
No. Faksimili : 03-2691 3266-