Kisah benar remaja degil dan bermasalah

Dibesarkan dalam sebuah keluarga bahagia yang mementingkan ilmu agama belum cukup untuk menjadikan Farhana (bukan nama sebenar), 16, seorang remaja yang mendengar kata dan patuh pada orang tua.

Dia bukan tidak pernah menyesal dengan segala perbuatan buruk yang dilakukan sehingga terpaksa dihantar oleh keluarganya sendiri ke pusat pemulihan akhlak, namun semuanya telah menjadi bubur gara-gara jiwa remajanya yang mudah terikut dengan tabiat rakan-rakan yang gemar berseronok.

Farhana mengakui bukan dia tidak mengasihani ibu yang banyak memberi nasihat, tetapi kerana terlalu mengikut gejolak jiwa remaja dia cepat meradang setiap kali ditegur malah pernah beberapa kali ibunya pula yang dimarahi semula.

“Saya mengaku saya seorang remaja yang degil. Pantang ditegur oleh ibu, saya cepat melenting dan memberontak. Perasaan sebegitu wujud kerana saya sentiasa ingin bebas dari kongkongan keluarga.

“Terus terang saya akui, saya sudah mula berani ponteng sekolah ketika di tingkatan satu lagi. Tabiat tersebut semakin menjadi-jadi kerana kebanyakan rakan-rakan saya tidak bersekolah dan jauh lebih berusia daripada saya.

“Terpengaruh dan seronok dengan cara hidup mereka yang bebas bergaul tanpa sekatan tidak kira lelaki mahupun perempuan, timbul pula keinginan untuk berhenti sekolah. Tambahan pula apabila di sekolah saya sering tertekan kerana sering dimarahi oleh guru,” katanya.

Ditanya di mana dia menghabiskan masa apabila ponteng sekolah, tanpa ragu-ragu Farhana menjawab sebahagian besar masa sama ada dihabiskan di kafe siber atau melepak di pusat beli-belah.

“Pantang ada masa terluang sahaja, saya habiskan masa dengan melepak bersama-sama rakan lelaki dan perempuan sehingga lewat malam.

“Adakalanya, kerana terlalu asyik dan seronok melepak menyebabkan saya tidak pulang ke rumah sehingga berhari-hari.

” Saya tahu perbuatan itu salah kerana menyebabkan ibu risau, tetapi ketika itu saya hanya berfikir untuk seronok dan bebas melakukan apa sahaja tanpa memikirkan kesannya pada diri,” katanya.

Bersama rakan-rakannya itu, Farhana mula mengenal pelbagai kegiatan negatif daripada sekadar bermain permainan video, hingga kepada permainan judi dalam Internet, minum arak, menghidu gam dan rempit.

Menurut Farhana, perwatakannya juga turut berubah daripada seorang yang pendiam kepada seorang yang panas baran dan cepat melenting lebih-lebih lagi apabila ditegur oleh ahli keluarga.

Selain sering menyakitkan hati ibu dan abang-abangnya, dia yang dulu bertudung juga sudah menanggalkan tudungnya.

“Sejak bergaul dengan rakan-rakan yang tidak bersekolah, saya mula mengabaikan solat lima waktu kerana terlalu asyik melakukan aktiviti yang tidak berfaedah,” katanya.

Ujar Farhana lagi, walaupun ibu dan ahli keluarga lain berasa risau dengan perubahan sikapnya itu, mereka tidak mampu berbuat apa-apa kerana dia langsung tidak ‘makan’ nasihat.

“Malah pernah beberapa kali saya melawan cakap ibu sehingga ibu mengeluarkan air mata.

“Ibu seorang guru. Pasti timbul perasaan malu kerana memiliki anak yang nakal seperti saya. Namun, saya tahu ibu tidak pernah mengalah dan sentiasa berdoa agar saya berubah suatu hari nanti.

“Beribu-ribu kali ibu menasihati supaya berubah kerana semakin hari perangai saya semakin nakal dan tidak boleh dikawal, namun semua itu ibarat mencurah air di daun keladi,” katanya.

Sehingga kini dia tidak dapat melupakan kenangan dipukul oleh abangnya apabila tidak pulang ke rumah beberapa hari.

Waktu itu katanya, dia mengikut beberapa rakan lelaki yang bermotosikal menyertai lumba haram.

“Walaupun saya tidak berlumba dan hanya membonceng saja, tapi menyaksikan mereka merempit memang menyeronokkan dan membuatkan saya leka.

“Apabila pulang ke rumah abang terus memarahi saya dengan teruk. Saya dipukul dan telefon dirampas dengan tujuan saya tidak boleh lagi menghubungi kawan-kawan,” katanya.

Melihat keadaan Farhana yang semakin tidak boleh dikawal, keluarga akhirnya mengambil keputusan untuk menghantarnya ke pusat pemulihan akhlak.

“Walaupun berat untuk menerima cadangan itu namun demi kebaikan, saya aku dengan kehendak mereka.

“Alhamdulillah, sehingga hari ini saya sudah mulai sedar kesalahan yang pernah dilakukan dahulu. Saya berjanji, selepas keluar dari sini saya akan menyambung kembali pelajaran yang tertangguh dan berazam untuk menjadi anak yang baik,” katanya.