Kisah penghuni Rumah Seri Kenangan (RSK) Cheras

RASULULLAH s.a.w bersabda yang bermaksud, “Keredaan Allah berada dalam keredaan ibu bapa dan kemurkaan Allah berada dalam kemarahan mereka.” (Riwayat al-Tirmizi)

Sebagai agama yang mengutamakan kebaikan, Islam memerintahkan anak supaya berbakti dan berbuat baik kepada ibu bapa serta berlemah-lembut di samping berbudi bahasa ketika berkomunikasi dengan mereka.

Justeru, tiada istilah untuk anak mengabaikan ibu bapa apatah lagi meninggalkan mereka ke rumah orang tua tanpa sebarang nafkah dan sengaja melepaskan tanggungjawab diri kepada rumah kebajikan itu.

Hari ini kita mendengar pelbagai rungutan yang terpacul daripada mulut sesetengah anak-anak yang menyatakan mereka tidak mampu menjaga ibu bapa apatah lagi jika uzur ataupun sakit yang akhirnya terpaksa dibiarkan dan ditinggalkan di rumah orang tua.

Pegawai Psikologi di pusat perlindungan wanita dan gadis, Taman Seri Puteri, Cheras, Kuala Lumpur, Nor Hashimah Zaini berkata, ada banyak faktor mengapa ibu bapa lebih selesa tinggal di rumah orang tua.

“Ada antara penghuni di Rumah Seri Kenangan (RSK) Cheras ini yang datang secara sukarela disebabkan berasa bosan dan tiada teman kerana anak-anak sibuk bekerja.

“Ada juga di kalangan penghuni di RSK ini yang tidak mempunyai keluarga atau hidup sebatang kara yang menyebabkan mereka mencari tempat tinggal sesuai untuk diduduki di usia lanjut,” katanya.

Tambahnya lagi, pengabaian terhadap kebajikan ibu bapa ini banyak berlaku daripada segi masa. Apabila anak-anak sibuk bekerja, ibu bapa akan tinggal berseorangan atau bersama orang gaji.

Ia menyebabkan mereka berasa sunyi tanpa kehadiran anak-anak yang lebih banyak menghabiskan masa di pejabat berbanding di rumah.

Situasi ini berlaku kerana taraf hidup yang semakin meningkat dan anak-anak lebih mementingkan usaha mencari wang berbanding mencurah kasih sayang bersama ibu bapa.

Berbeza di RSK yang banyak menyediakan aktiviti untuk dilakukan bersama-sama seperti membuat kraftangan, ceramah dan bertani kepada mereka yang berminat untuk mengisi masa lapang membuatkan ibu bapa di sini tidak kesunyian mahupun bosan.

Jika berlaku situasi ibu bapa rasa tersisih dan terabai disebabkan anak lebih mementingkan duit berbanding mereka, beberapa perkara perlu diberi perhatian segera.

“Perkara ini boleh diselesaikan, tetapi ia bergantung kepada anak itu sendiri. Jika mereka mementingkan keluarga, anak-anak akan mempunyai kesedaran sendiri bagaimana untuk menjernihkan hubungan dengan ibu bapa.

“Anak juga kena pandai membahagikan masa antara kerja dan tanggungjawab kepada keluarga. Jika waktu siang mereka tidak dapat bersama ibu bapa, apa salahnya ambil masa di malam hari untuk menikmati makan malam atau berbual dengan mereka.

“Tanya masalah mereka dan bawa mereka berjalan-jalan keluar pada hujung minggu. Aktiviti yang dilakukan bersama-sama ini akan mengelakkan mereka berasa sedih, sunyi ataupun merajuk,” katanya mengenai perkara yang harus dititikberatkan oleh anak-anak.

Tambahnya, jika duduk berjauhan dengan ibu bapa dan jarang dapat pulang ke rumah, apa salahnya menghubungi mereka untuk bertanya khabar. Hanya dengan mendengar suara anak, ibu bapa sudah berasa gembira dan dengan ini tidak timbul isu pengabaian orang tua.

Selain itu, anak-anak juga seharusnya menanamkan sifat sabar dalam diri mereka. Bersabar memang perlu ada dan pengurusan emosi ini boleh dilakukan dengan pelbagai cara.

“Pertama adalah melalui teknik refleksologi. Ramai mengetahui teknik urutan ini dapat melegakan tekanan dan keletihan selepas seharian bekerja. Malah, ia juga akan membuatkan kita tenang dan membolehkan kita melayan ibu bapa dengan baik.

“Selain itu, banyakkan membuat amalan yang baik seperti membaca al-Quran supaya emosi lebih tenang dan mengingati Allah apabila rasa ingin marah,” ujarnya mengenai cara untuk bersabar dalam menangani kerenah ibu bapa.

Nor Hashimah menambah, perkara yang lebih penting ialah sifat memahami antara satu sama lain. Persefahaman harus ada di kedua belah pihak tidak kira anak mahupun ibu bapa. Jika tiada persefahaman, konflik akan terjadi malah akan bertambah teruk kalau tidak dibendung lebih awal.

Sementara itu, menurut Penguasa RSK Cheras, Saiful Bahari Mohd Said, terdapat beberapa sebab warga emas yang menghuni di sini.

“Kebanyakan yang masuk ke sini adalah secara sukarela terutama bagi mereka yang berusia 60 tahun ke atas. Terdapat juga di kalangan mereka yang hidup sebatang kara atau sudah berkeluarga.

“Tidak dinafikan, ada warga emas di sini mengatakan mereka diabaikan atau terasa hati dengan anak atau ahli keluarga lain sehingga menyebabkan mereka mengambil keputusan untuk menetap di RSK,” jelasnya yang mula bertugas di situ sejak dua tahun lalu.

Ada juga sebahagian penghuni yang dihantar oleh anak sendiri disebabkan mereka sudah tidak mampu dijaga atau sibuk bekerja.

Sehingga Julai lalu, jumlah penghuni di situ mencecah 116 orang yang datang dari seluruh Malaysia berbanding 98 orang dalam tempoh sama 2011.

Rumah yang dibina di kawasan jauh dari hiruk-pikuk dan kesesakan ibu kota itu mampu memuatkan sehingga 336 penghuni. Pun begitu mereka tidak menerima sehingga 336 penghuni, kerana ada beberapa masalah di kalangan warga emas yang perlu ditangani seperti mengalami gangguan mental disebabkan tekanan melampau, bercakap sendiri dan nyanyuk.

Namun, aspek kesihatan warga emas di situ sentiasa di jaga kerana ada jururawat yang ditugaskan di klinik berhampiran dan bagi penghidap penyakit yang teruk mereka akan dirujuk ke hospital terdekat.

Ditanya mengenai pengabaian yang berlaku di kalangan ibu bapa pada masa kini, Saiful Bahari mengakui ia memang terjadi dan semakin meningkat.

“Pengabaian ibu bapa memang berlaku dan masih ramai anak yang meninggalkan ibu bapa mereka di rumah sendirian atau bersama orang gaji. Apabila ibu bapa berasa sunyi dan bosan, tidak mustahil untuk mereka keluar rumah sendirian tanpa pengawasan sesiapa. Akhirnya, ada yang lupa jalan pulang atau terus meninggalkan rumah kerana berasa terabai,” katanya.

Anak tak jenguk lepas `buang’

Kisah 1

“Mak cik ada seorang anak perempuan. Namun, tidak pernah datang untuk melawat walaupun dia tahu saya berada di sini sejak dua tahun lalu. Walaupun begitu, mak cik berasa seronok tinggal di sini kerana ada ramai kawan dan kesihatan pun semakin baik berbanding sebelum ini,” kata Esah (bukan nama sebenar) yang menjadi penghuni Rumah Seri Kenangan (RSK) Cheras, Kuala Lumpur, memulakan bicara.

Berusia 65 tahun, dia menghabiskan sisa hidupnya di RSK dengan menghayati kenangan manis bersama penghuni lain yang turut mempunyai kisah tersembunyi di benak fikiran mereka mengenai keluarga masing-masing.

Esah juga begitu, ada sesuatu yang disembunyikan sebaik saja penulis memperkenalkan diri untuk bersembang mengenai kisah hidupnya. Tampak sedikit pendiam, namun Esah gagahi juga kudrat yang ada untuk berkongsi kisah silam hidupnya yang dianggap begitu peribadi.

Menceritakan kembali kisah hidupnya sebelum menjadi penghuni di RSK, Esah mengakui kehidupan yang dilalui pada satu masa dulu memang susah.

“Selepas kematian suami disebabkan penyakit darah tinggi, kehidupan mak cik mula susah dan ketika itu anak berusia tujuh tahun. Mak cik terpaksa mengerah tenaga yang tidak seberapa bekerja di ladang sawit dan getah untuk meneruskan hidup.

“Disebabkan kesusahan hidup, mak cik terpaksa memberhentikan persekolahan anak walaupun dia baru masuk darjah tiga. Selepas berhenti sekolah, dia juga bekerja untuk menambah pendapatan kami berdua,” ujarnya dengan riak wajah yang tenang.

Tambah Esah lagi, kehidupannya mula dirundung pilu apabila anak perempuan yang disayanginya itu langsung tidak mahu melawatnya di rumah selepas berkahwin dan tinggal bersama suami di Kuala Lumpur.

“Dia kata, buat apa melawat kerana mak cik masih kuat bekerja dan mampu mencari rezeki untuk diri sendiri. Siapa yang tidak sedih apabila anak berkata begitu walhal hanya dia saja zuriat yang saya ada,” kata wanita warga emas ini dengan genangan air mata.

Hati penulis turut sebak dan tertanya-tanya mengapa anak kandungnya sanggup berbuat demikian kepada seorang ibu yang kudratnya semakin uzur itu.

Esah menambah, dia pernah tinggal bersama anak perempuannya, tetapi hatinya sedih apabila dia dikatakan menyusahkan mereka sekeluarga.

“Anak kata dia sayangkan saya, tetapi susah nak jaga orang tua. Mereka rasa susah hendak keluar seisi keluarga dengan kehadiran saya. Disebabkan itu mak cik hanya tinggal sebulan saja di rumah anak kerana tidak sanggup menyusahkannya. Walaupun diperlakukan begitu, namun jika diberi pilihan memang saya ingin tinggal bersama dengan anak, menantu dan cucu. Itupun kalau mereka inginkan saya lagi,” katanya yang membuat keputusan untuk menghuni di RSK atas kehendak diri sendiri melalui pertolongan rakannya.

Esah mengakhiri perbualan bersama penulis dengan linangan air mata dan wanita yang banyak menyimpan rahsia mengenai keluarganya ini tidak lagi mampu meneruskan ceritanya kerana terlalu sebak memikirkan diri menghabiskan usia tua bersama rakan bukan seperti yang diharapkan.

Tambah sebak apabila Esah langsung tidak menyimpan sebarang kenangan bersama anak perempuannya seperti gambar untuk melepaskan rindu yang mendalam.

Selepas sesi temu ramah selesai, penulis mendapat tahu mengenai kisah sedih Esah melalui Penguasa RSK Cheras, Saiful Bahari Mohd Said. Katanya, wanita itu baru selesai menjalani sesi kaunseling bersama kaunselor untuk mengatasi trauma dan perasaan yang sangat tertekan disebabkan anak perempuan tunggalnya itu memaksa dia mengeluarkan wang simpanan yang dikumpul sejak dulu lagi.

Kisah 2

Susuk tubuhnya masih tegap dan terdetik di hati pastinya Mad (bukan nama sebenar) ini begitu disiplin menjaga kesihatannya. Berusia 73 tahun, Mad tidak kelihatan uzur jika dilihat daripada segi penampilannya. Namun, di wajahnya terdapat garis-garis tua yang menunjukkan dirinya kini sudah menjadi sebahagian daripada warga emas.

Berjalan dengan diiringi rakan baiknya sejak menjadi penghuni di RSK Cheras dua tahun lalu, perasaan gembira dan tenang tidak pernah hilang daripada menemani dirinya setiap hari.

Hanya memikirkan soal agama, Mad kini lebih banyak menjalankan tanggungjawabnya sebagai umat Islam berbanding sebelum ini.

“Di sini saya diberikan tanggungjawab menjadi bilal. Perkara lain yang tidak berkaitan saya tidak mahu ambil tahu. Sekarang saya lebih banyak mendekatkan diri dengan Tuhan kerana kehidupan di akhirat lebih penting daripada dunia,” tegasnya mengenai dirinya.

Mad yang dilahirkan dan dibesarkan di Johor Bahru mengakui mempunyai lima anak hasil perkahwinan dengan bekas isterinya. Namun, apabila ditanya mengenai bekas isteri dan anaknya, dia mengakui tidak tahu perkembangan terbaru ahli keluarganya itu sejak meninggalkan rumah 10 tahun lalu.

“Saya bercerai dengan isteri dan selepas itu meninggalkan rumah sehelai sepinggang. Sebelum keluar rumah, saya membahagikan semua harta kepada mereka. Saya keluar sehelai sepinggang adalah kerana merajuk dengan keluarga dan berasa tanggungjawab untuk membesarkan anak sudah tamat.

“Apa yang perlu saya fikirkan adalah memikirkan mengenai kehidupan selepas mati dan tidak mahu mengingati anak lagi,” katanya yang berpindah ke Mersing dan mencari pekerjaan di sana untuk menyara kehidupan seharian.

Memikirkan usia yang semakin lanjut, terdetik di hatinya mencari tempat sesuai apatah lagi kudrat untuk bekerja tidak sama seperti dulu.

Mula mencari maklumat mengenai rumah orang tua, Mad segera bertanya kepada rakannya dan kebetulan dia melihat kenderaan tertulis RSK Johor Bahru untuk bertanya lanjut.

“Saya bersyukur kerana masih diberi peluang untuk menghuni di RSK Johor yang hanya sempat tinggal selama enam bulan sebelum dipindahkan ke RSK Cheras. Saya tidak mahu fikirkan soal anak-anak lagi kerana hidup saya di sini sudah lengkap walaupun terpaksa menghabiskan usia emas bersama rakan.

“Hanya satu pesan saya kepada anak-anak agar mereka menjaga diri dengan baik dan jangan buang masa tidak tentu arah kerana kita tidak selamanya hidup di dunia ini,” katanya yang mengakui begitu menyayangi semua anaknya. Pun begitu dia enggan menerima kunjungan daripada sanak saudara mahupun ahli keluarga sendiri. Malah, dia juga tidak mahu orang tahu tempat tinggalnya kini.

Namun, jika ada antara anaknya yang dapat mencari dirinya di RSK, Mad akan menerima kunjungan mereka dengan gembira. Ia jelas menunjukkan warga emas ini begitu merindui anaknya walaupun tegas menidakkan kebenaran itu.

Kisah 3

Kiah, 71, ditakdirkan untuk hidup sebatang kara dan tidak dikurniakan cahaya mata walaupun sudah dua kali mendirikan rumah tangga.

Berkahwin pada usia 19 tahun, Kiah akui dia agak sunyi tanpa kehadiran suara anak kecil di rumahnya dan kini terpaksa hidup di rumah orang tua selepas berpisah dengan bekas suami.

Berasal dari Raub, Pahang, walaupun Kiah mempunyai saudara terdekat, namun dia lebih selesa tinggal di RSK bersama rakan lain kerana tidak mahu menyusahkan sesiapa.

“Selepas bercerai, saya mencari pekerjaan di Kuala Lumpur dan bekerja sebagai tukang cuci di kedai makan selama tujuh tahun. Disebabkan selalu terkena air membuatkan saya jatuh sakit dan lemah yang membuatkan saya terpaksa berhenti kerja,” katanya yang kehilangan kedua orang tuanya ketika berusia 10 tahun.

Dibesarkan oleh nenek dan emak saudara membuatkan Kiah sudah biasa hidup berdikari tanpa kasih sayang daripada ibu bapa.

Namun, apa yang menyeronokkan bagi dirinya adalah saudara terdekat masih lagi mengingatinya dan melawatnya sepanjang tinggal di RSK Cheras itu.

Tambah Kiah lagi, walaupun mereka semua melayani dirinya dengan baik, tetapi dia tidak mahu tinggal dengan saudara-mara. Dia sudah membuat keputusan untuk tinggal di RSK sehingga ke akhir hayatnya kerana di situ semua kelengkapan dan keperluannya lebih terjamin.

Bertambah manis apabila hidupnya boleh dikongsi bersama rakan lain untuk menghilangkan rasa sunyi berbanding sebelum ini ketika tinggal bersendirian.

Ibu bapa berhak tuntut nafkah

SEDAR atau tidak pengabaian ibu bapa dilihat semakin banyak berlaku. Mungkin ramai tidak tahu, ibu bapa juga mempunyai hak untuk mendapatkan nafkah daripada anak mereka sendiri jika menepati syarat yang ditetapkan Mahkamah Syariah.

Mengupas lebih lanjut mengenai isu nafkah kali ini, ikuti temubual bersama Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie, Suzana Ghazali.

Soalan (S): Apakah pendapat anda mengenai pengabaian ibu bapa oleh anak sendiri pada masa kini?

Jawapan (J): Bukan lagi kes luar biasa, malah semakin menjadi-jadi seperti tiada langsung simpati buat insan yang pernah bersusah payah membesarkan mereka selama ini.

S: Adakah peruntukan di dalam undang-undang Syariah yang menyatakan bahawa ibu bapa berhak membuat tuntutan nafkah nafkah daripada anak-anak?

J: Berdasarkan Undang-undang Keluarga Islam di setiap negeri, terdapat peruntukan yang menyebut: “Kuasa Mahkamah memerintah nafkah bagi seseorang tertentu: Mahkamah boleh memerintahkan mana-mana orang yang bertanggungan tentang hal itu mengikut Hukum Syarak supaya membayar nafkah kepada seorang lain jika dia tidak upaya, sepenuhnya atau sebahagiannya, daripada mencari kehidupan oleh sebab kerosakan otak atau jasmani atau tidak sihat dan mahkamah berpuas hati bahawa memandang kepada kemampuan orang yang pertama tersebut itu adalah munasabah memerintahkan sedemikian” (seksyen 60, Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan). Peruntukan ini boleh digunakan bagi memerintahkan anak-anak memberikan nafkah yang patut dan perlu dibuat ibu bapa.

S: Bagaimana caranya? Ramai yang tidak tahu mengenai tuntutan nafkah ini.

J: Memang tidak ramai yang tahu, malah pada pengetahuan saya, kes seumpama ini belum pernah dituntut atau dibicarakan. Media berperanan untuk menghebahkan di samping kempen oleh pihak berkuasa untuk menguar-uarkan maklumat ini.

S: Siapa yang berhak dan syarat untuk melakukan tuntutan?

J: Ibu bapa yang tidak mampu untuk membiayai diri sendiri kerana ketidakupayaan fizikal, malah berupaya tetapi gagal memperoleh pendapatan yang sesuai sedangkan mengetahui anaknya atau anak-anaknya berkeupayaan boleh memohon perintah menggunakan peruntukan disebut.

Antara syaratnya adalah:

* Ibu bapa tidak berupaya atau tidak mampu

* Anak atau anak-anak berkemampuan

* Ibu bapa maklum atau tahu di mana si anak berada

* Ibu bapa mengemukakan permohonan di Mahkamah Syariah

S: Bagaimana pula ibu bapa yang dihantar ke rumah orang tua dan tidak mendapat langsung bantuan atau belas ihsan daripada anak-anak?

J: Mengikut Akta Keganasan Rumah Tangga, ibu dan bapa juga termasuk dalam senarai mangsa yang dilindungi. Bererti jika ibu bapa tergolong antara mangsa keganasan, anak atau anak-anak boleh dikenakan hukuman berdasarkan akta ini.

Ibu bapa yang diabaikan oleh anak pasti mengalami tekanan emosi yang meletakkan mereka sebagai mangsa keganasan psikologi atau emosi.

Apabila anak-anak tidak ambil peduli keperluan ibu bapa sedangkan mereka tidak berdaya dan mengharapkan bantuan orang lain yang bukan darah daging sendiri, ia secara tidak langsung meletakkan mereka sebagai mangsa keganasan kewangan.

Anak-anak ini boleh dihadapkan ke mahkamah, tetapi hanya dengan aduan atau laporan yang dikemukakan oleh ibu bapa mereka saja. Persoalannya, ada atau tidak ibu bapa yang mahu menyaman anak sendiri?

Oleh Hajahfarhana Tarmudi