Kutu punca kudis buta

Kehadiran kudis buta bukan saja menyakitkan, tetapi turut menyebabkan kanak-kanak kelihatan tidak sihat dan ‘comot’.

Kudis buta sebenarnya disebabkan kutu berkaki lapan dipanggil Sarcoptes scabiei (S scabiei) yang biasa menyerang kanak-kanak sekolah.

Yang membimbangkan ialah, kudis buta mudah merebak melalui sentuhan. Jika seorang kanak-kanak menghidap kudis buta, seluruh keluarga, terutama adik beradik yang masih kecil, turut berisiko tinggi mendapatnya, lebih-lebih lagi apabila mereka kerap bermain bersama.

Kutu dan telurnya boleh melekat pada baju atau cadar selama satu hingga dua hari sebelum berpindah secara tidak sengaja ke orang lain.

Apabila diserang kutu scabiei, seseorang kanak-kanak itu mengalami gatal-gatal pada kulit yang digigit kutu. Biasanya keinginan untuk menggaru sangat tinggi ketika tidur pada waktu malam.

Oleh kerana kudis buta mudah merebak melalui sentuhan, ibu bapa yang mendapati anak mereka ada masalah ini tidak harus menghantarnya ke pusat jagaan harian, tadika atau sekolah kerana boleh menjangkiti kanak-kanak lain.

Atas sebab ini juga, selain pesakit, biasanya doktor menyarankan seluruh keluarga menjalani rawatan bagi menghapuskan kutu.

Tanda dan gejala

Biasanya sukar mengenal pasti kudis buta kerana gejalanya berbeza-beza dan kadangkala tanda yang kelihatan tidak jelas.

Antara tanda lazim menunjukkan seseorang itu mendapat kudis buta ialah:

# Lesi atau kehadiran gelembung mengandungi cecair pada kulit; biasanya berukuran lebih satu sentimeter

# Bintik merah yang keras dan pejal berukuran kurang satu sentimeter

# Gelembung mengandungi cecair dan kelihatan kekuningan

# Lesi atau bintik merah yang kecil kelihatan seperti penyakit kulit

Gejala biasa pada kanak-kanak kecil:

# Vesikel dan pustul (lecur kecil) pada tapak tangan dan kaki. Kadangkala pustul juga ditemui pada kulit kepala

# Ruam (disebabkan reaksi alahan pada kutu)

# Gatal yang semakin teruk pada waktu malam dan selepas mandi air suam

Walaupun semua kawasan kulit boleh dijangkiti, biasanya kutu memilih kawasan ‘sempit’ seperti celah jari, pergelangan tangan dan kaki, siku, ketiak, puting dan zakar. Malah, bahagian kulit yang berlipat juga kerap menjadi sasaran.

Pada orang dewasa, kutu ini biasanya dijumpai di:

# Celah jari

# Ketiak

# Sekitar pinggang

# Bahagian dalam pergelangan tangan dan kaki

# Pelipat siku

# Tapak kaki (tengah)

# Keliling payu dara

# Sekitar kemaluan lelaki

# Punggung

# Lutut

# Kawasan tulang belikat

Pada kanak-kanak, kutu biasanya menyerang:

# Kulit kepala

# Muka

# Leher

# Tapak tangan

# Tapak kaki

Komplikasi

Komplikasi biasanya timbul akibat terlalu banyak menggaru sehingga menyebabkan kulit luka dan membolehkan jangkitan bakteria seperti impetigo berlaku. Impetigo adalah jangkitan kulit yang biasanya disebabkan bakteria Staphylococcos atau Streptococcus.

Rawatan

Antara kaedah mudah ialah menyapukan krim pembunuh kutu. Krim ini perlu disapu dari leher hingga ke seluruh badan dan dibiarkan semalaman sebelum dicuci. Ulang langkah ini selama tujuh hari untuk memastikan kutu benar-benar dihapuskan.

Anda juga boleh guna ubat antihistamin untuk melegakan rasa gatal. Cara lain ialah cuci semua baju, sarung bantal dan cadar dengan air panas. Oleh kerana kutu tidak boleh hidup lama apabila jauh dari badan manusia, tidak perlu mencuci keseluruhan isi almari.

Masalah gatal masih boleh berlaku walaupun selepas anda menyapu ubat membunuh kutu. Untuk melegakan gatal, letak tuala lembap sejuk pada bahagian yang gatal atau sapu losen. Paling penting, elak menggaru kerana ia menyebabkan luka dan jangkitan lain.

Oleh Dr Syed Nazri Syed Kadir