Maksud tersirat sanggul pengantin

TAMPIL anggun dan mempesona adalah impian setiap wanita terutama yang bergelar raja sehari. Jadi, antara perkara yang perlu diberi tumpuan ialah memastikan hiasan rambut supaya penampilan kelak cantik berseri. Bak kata orang dulu, rambut adalah mahkota bagi setiap wanita.

Dandanan rambut untuk majlis perkahwinan dulu kala lazimnya disanggul, maka timbullah pelbagai jenis sanggul termasuk sanggul lintang yang popular di kalangan wanita Melayu Melaka, tetapi kini kurang digayakan lagi kerana pelbagai pilihan gaya sanggul moden menjadi pilihan bakal pengantin.

Jurumekap profesional, Rohaizat Shariff, berkata dandanan sanggul untuk majlis perkahwinan dulu kala sebenarnya membawa makna tersendiri yang akan menjadi perhatian masyarakat berbanding gaya moden hari ini.

“Pada zaman dulu pemakaian sanggul menunjukkan keperibadian wanita terutama bakal pengantin yang mana sanggul pada bahagian bawah menunjukkan sifat pemalu dan sanggul yang tinggi menunjukkan wanita itu berani untuk bergaya.

“Bagaimanapun, pemilihan sanggul pada masa kini tidak lagi bergantung kepada ciri peribadi seseorang kerana wanita masa kini lebih bebas memilih gaya dandanan rambut mengikut tema perkahwinan, situasi dan majlis yang akan dihadiri,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Era sanggul moden dapat dilihat bermula pada era 80-an yang diperkenalkan oleh selebriti terkenal pada waktu itu seperti Noorkumalasari, Maria Arshad dan Ramlah Ram. Malah, gaya rambut yang digayakan oleh selebriti ketika itu menjadi ikutan masyarakat dan seterusnya dipelbagaikan lagi bentuk dan gayanya sehingga kini.

Gaya sanggul tradisional yang masih digayakan oleh pengantin seperti sanggul bawang, sanggul kelopak bunga, sanggul Siti Fatimah, sanggul satu dan sanggul dua. Bagi yang ingin tampak lebih moden, pengantin biasanya memilih gaya sanggul terbaru seperti sanggul Angelina Jolie, sanggul Red Carpet dan sanggul Prada.

Selain itu, dulu gaya sanggul tradisional lebih bergantung kepada kepanjangan rambut yang dimiliki pengantin, tetapi kini walaupun pengantin mempunyai rambut pendek, pelbagai teknik boleh digunakan untuk mendapatkan sanggul yang cantik seperti teknik sambungan rambut palsu dan penggunaan sanggul palsu.

Rohaizat berkata, ketika menyanggul rambut bentuk wajah pengantin perlu juga diambil kira. Kebiasaannya jika bentuk wajah bulat sanggul yang dibuat agak tinggi di kepala, namun jika wajah pengantin agak lonjong, sanggul yang di buat tidak perlu terlalu tinggi.

Begitu pun, penggayaan sanggul masa kini tidaklah 100 peratus bergantung kepada bentuk muka pengantin kerana dengan teknik solekan yang tertentu, bentuk wajah pengantin akan dapat diubah mengikut kesesuaian sanggul dan aksesori yang digunakan.

Rohaizat berkata, pemilihan gaya sanggul yang sesuai juga bergantung kepada busana dan konsep perkahwinan yang dipilih oleh bakal pengantin. Sekiranya majlis perkahwinan itu dilakukan di dewan atau hotel, gaya sanggul pengantin akan lebih tinggi kerana bertepatan dengan etika majlis formal yang mementingkan kekemasan.

“Jika pengantin ingin memakai gaun pada waktu petang atau malam, gaya sanggul yang dipilih adalah lebih ringkas dan santai. Aksesori yang dikenakan juga tidak perlu terlalu banyak cukuplah sekadar klip atau tiara kecil supaya kelihatan lebih anggun,” katanya.

Dalam hubungan ini, katanya, pemilihan sanggul yang tepat oleh pengantin dan juruandam dapat membantu menaikkan seri wajah pengantin pada hari persandingan. Setiap gaya sanggul sama ada tradisional ataupun moden akan kelihatan cantik sekiranya pandai digayakan oleh pengantin.

“Apa yang penting setiap dandanan rambut yang dibuat mempunyai seninya yang tersendiri. Kekemasan dan kerapian dalam membentuk helaian rambut untuk menjadi satu sanggul memerlukan kesabaran dan kemahiran yang tinggi oleh pendandan,” katanya.

Oleh Siti Zaleha Musa