Masalah kesihatan kucing: Kucing sukar kencing

Awasi kucing sukar kencing
Kebiasaannya kita hanya mengetahui penyakit seperti batu karang, leukemia, tulang belakang bengkok dan barah hanya menyerang manusia.

Namun pernahkah anda mengetahui bahawa kucing juga mempunyai penyakit yang sama seperti apa yang ada pada manusia. Malah jika manusia mempunyai penyakit HIV, kucing juga mempunyai penyakit virus yang sama dikenali sebagai feline immunodeficiency virus (FIV).

Jaga kesihatan kucing

Jangan sangka kucing anda secara luarannya nampak sihat, dalamannya juga akan sentiasa sihat. Di sinilah pentingnya penjagaan kesihatan dan rawatan yang betul kepada kucing.

Pengarah Hospital Veterinar Kuala Lumpur, Dr Mas Ayu Suraya Abd Rahman berkata, kebiasaannya penyakit yang sering menghidap kucing seperti demam, selesema, penyakit kulit dan kurap.

Penyakit lain

Tetapi banyak juga kes yang dirujuk kepadanya berkenaan penyakit seperti barah payudara, barah kulit, batu karang, penyakit kelamin dan kesukaran untuk bernafas.

“Secara ringkasnya apa saja penyakit yang ada pada manusia, ada pada haiwan juga. Secara saintifiknya virus ini mampu menyerang haiwan dan juga manusia.

“Penjagaan kesihatan yang betul dan sering mendapatkan rawatan boleh mengurangkan mendapat risiko penyakit yang berbahaya.

Malah terdapat juga penyakit yang menghidap kucing boleh berjangkit kepada manusia,” katanya.

Batu karang

Selain penyakit biasa yang sering dijangkiti kucing, penyakit batu karang dan kesukaran membuang air kecil antara penyakit serius yang banyak menyerang kucing.

Penyakit batu karang tidak menyerang terus kepada kucing kesayangan anda, tetapi ia akan membuatkan kucing anda menghadapi kesukaran untuk membuang air kecil.

Dr Mas Ayu berkata, jika ada tanda kucing meng hadapi masa la h membuang air kecil, elok dirujuk kepada klinik haiwan kerana dikhuatiri jika dibiarkan akan mengakibatkan penyakit batu karang.

“Ia akan bermula dengan hablur yang kecil dan ia akan menyekat saluran kencing kucing. Selalunya kucing jantan senang dikenal pasti menghidap penyakit ini kerana saluran pundi kencing kucing jantan lebih halus daripada kucing betina.

“Namun jika tidak dirawat segera, ia akan mengakibatkan hablur kecil terbentuk dan membesar sehingga mengakibatkan penyakit batu karang,” katanya.

kucing comel

Kes kucing sukar kencing

- Hospital Veterinar Kuala Lumpur menerima antara 80 kes kesukaran kucing membuang air kecil setiap bulan.

- Punca berlakunya perkara ini adalah kurangnya penjagaan kebersihan kucing, menyebabkan virus melekat di bahagian alat sulit kucing.

- Kandungan magnesium yang tinggi dalam makanan kucing juga mendorong kepada faktor berlakunya penyakit ini.

- Dua jenis rawatan yang disediakan untuk penyakit batu karang dan kesukaran membuang air kecil.

- Pertama, pembersihan hablur menerusi paip yang dimasukkan ke dalam pundi kencing kucing.

- Kedua adalah menerusi pembedahan, biasanya pembedahan dilakukan jika hablur sudah membesar menjadi seperti ketulan batu.

Oleh Alzahrin Alias