Masalah Kitaran haid tidak kira usia

Tujuh bulan tidak datang haid
DOKTOR, SAYA berumur 24 tahun dan masih bujang. Saya mengalami masalah kitaran haid tidak menentu.

Hampir tujuh bulan darah haid saya tidak keluar dan sepanjang tempoh itu juga saya berasa amat bimbang.

Setakat ini saya belum menjalani sebarang ujian atau mendapatkan apa-apa rawatan di hospital atau klinik.

Apakah langkah terbaik yang perlu saya lakukan dan apakah punca sebenar masalah saya ini?

– Kiah

Jawapan,

MELALUI maklumat yang diberikan, masalah yang saudari alami ini mungkin melibatkan tahap hormon yang tidak seimbang.

Ini dapat dipastikan dengan ujian darah bagi menentukan kandungan dan tahap hormon yang dihasilkan badan saudari.

Ujian darah juga dapat membantu doktor menentukan kaedah rawatan paling sesuai untuk saudari, seperti pemberian ubat hormon untuk melancarkan kembali kitaran haid.

Pastikan juga berat badan saudari dikekalkan pada tahap ideal mengikut ketinggian badan bagi mengelakkan masalah sampingan kepada kitaran haid.

Tempoh tujuh bulan itu juga cukup lama untuk saudari menunggu dan tidak mendapatkan pandangan pakar perubatan.

Saudari dicadangkan berjumpa doktor untuk menjalani ujian darah dan mendapatkan nasihat rawatan terbaik untuk masalah ini.

Kitaran haid terganggu di asrama sahaja

DOKTOR, MASALAH saya ialah kitaran haid yang tidak menentu sejak berumur 13 tahun lagi. Semasa saya berada di asrama, kitaran haid tidak menentu dan apabila saya cuti dan pulang ke rumah kitaran haid saya kembali normal.

Sepanjang saya di asrama, kitaran haid saya selalu keluar secara berpanjangan dan berhenti untuk lima atau enam hari sahaja dalam sebulan.

Saya sekarang berumur 16 tahun dan telah bertukar ke sekolah lain. Kitaran haid saya juga dilihat kembali normal.

Adakah keadaan yang berlaku ini berpunca daripada masalah selain kesihatan atau persekitaran?

Doktor ada mencadangkan saya menggunakan pil perancang keluarga. Apakah masalah yang saya hadapi ini doktor?

– Syuhada, Seremban

JAWAPAN

BANYAK faktor yang boleh memberi kesan kepada aturan kitaran haid tetapi antara faktor utama adalah keseimbangan hormon dan isyarat yang disampaikan otak kepada ovari, terutamanya di kalangan remaja muda atau yang baru akil baligh.

Ketika usia remaja, ovari mungkin tidak dapat menghantar isyarat yang teratur dan secara berjadual kepada sistem otak.

Ini mungkin menyebabkan pengeluaran telur dan kitaran haid tidak seperti yang diramalkan.

Keadaan kurang subur ini juga dikenali sebagai ‘anovulation’ dan akibatnya kitaran haid juga boleh menjadi tidak teratur.

Pil perancang keluarga yang dicadangkan kepada saudari mengandungi kombinasi hormon estrogen dan progesterone yang boleh membantu mengawal isyarat otak yang disampaikan itu secara berkala kepada ovari.

Jika diambil mengikut jadual dan arahan doktor, pil ini dapat mengatur kembali perjalanan haid saudari.

Memandangkan situasi saudari menunjukkan gangguan kitaran haid hanya berlaku ketika di asrama, terdapat kemungkinan masalah lain seperti tekanan, pemakanan, kebersihan atau persekitaran memainkan peranan.

Saudari dinasihatkan berjumpa doktor untuk menjalani ujian lanjut dan mendapatkan khidmat nasihat jika gangguan kitaran haid berulang.

Bersama Dr. Pakar: DR. NORLEEN MOHD SALLEH (Doktor Pakar Perbidanan & Sakit Puan Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC), Shah Alam