Masalah pendengaran jejas hubungan

Ramai yang mengetahui bahawa kunci kepada perkahwinan yang bahagia adalah komunikasi.

Kemahiran komunikasi yang baik membolehkan kedua-dua pasangan menzahirkan fikiran dan emosi antara satu sama lain sebagai inti pati perkahwinan yang membahagiakan.

Namun, kita juga sering mendengar pasangan yang mengadu mengenai masalah komunikasi terencat antara mereka.

Pernahkah tertanya-tanya mengapa pasangan kita tidak mendengar apa yang diperkatakan? Mungkin juga kita berharap pasangan kita itu mendengar kata, biarpun hanya sekali.

Jika pertanyaan ini pernah berlegar di fikiran, pernahkah membayangkan pasangan kita itu sebenarnya mempunyai masalah pendengaran?

Ia mungkin sesuatu yang dianggap merepek, tetapi fakta berikut mungkin perlu dipertimbangkan.

Satu kajian terkini di Britain menunjukkan hubungan pasangan gagal disebabkan masalah pendengaran yang tidak diuruskan dengan baik.

Kajian membabitkan 1,500 orang berusia lebih 55 tahun yang mengalami masalah pendengaran itu menunjukkan:

# Kira-kira 44 peratus responden menyatakan hubungan mereka dengan pasangan, rakan dan keluarga terjejas kerana mereka tidak dapat mendengar dengan baik.

# Satu pertiga (34 peratus) pula terputus hubungan dengan rakan manakala dalam sesetengah keadaan, perkahwinan bercerai-berai akibat masalah komunikasi disebabkan hilangnya pendengaran.

# Dua pertiga (69 peratus) berkata masalah pendengaran mereka sangat mengurangkan keupayaan mereka untuk menyertai perbualan seharian bersama keluarga dan rakan, mengakibatkan 52 peratus daripada responden kajian itu berasa terpinggir dalam pergaulan sosial.

# Wanita (72 peratus) didapati lebih terjejas dalam pergaulan sosial berbanding lelaki.

# Hampir separuh (49 peratus) berkata hilang pendengaran adalah perkara buruk yang berlaku apabila mereka semakin tua.

Jika kita berasa statistik berkenaan tidak membabitkan rakyat negara ini, ia mungkin silap.

Menurut Institut Kesihatan Umum, seorang daripada lima rakyat negara ini mempunyai masalah pendengaran.

Ini bermaksud, kira-kira 540,000 rakyat Malaysia dijangka mempunyai masalah pendengaran sama ada masalah itu disedari atau tidak.

Masalah pendengaran sememangnya menjejaskan gaya hidup seseorang terutama dalam perhubungan. Bayangkan jika salah satu pasangan atau kedua-duanya mempunyai masalah pendengaran yang tidak dirawat (memilih untuk tidak menggunakan alat bantuan mendengar), keadaan tentunya sukar bagi mereka.

Alat bantuan pendengaran adalah antara kaedah terbaik untuk menangani masalah pendengaran.

Apatah lagi, alat terbabit kini boleh didapati menerusi rekaan berteknologi tinggi dan reka bentuk menarik.

Kos alat pendengaran mungkin dianggap mahal iaitu lazimnya RM900 ke atas untuk satu alat pendengaran namun jika ia mampu bertahan antara tiga hingga lima tahun, tidak banyak yang dilaburkan dalam sehari.

Menurut Pengarah Urusan Clarisound Professional Hearing Care, Kieran McCarry, mereka yang mengalami masalah pendengaran mungkin menyedari masalah yang dialami, tetapi tidak mahu mengakuinya.

“Ramai yang kata, saya boleh mendengar dengan baik. Tetapi sejauh mana ia dapat dibuktikan sedangkan hakikatnya, mereka merana untuk mendengar?

“Justeru, apa salahnya melakukan sesuatu yang mampu mengukuhkan hubungan dengan pasangan dengan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Clarisound yang diketuai pakar pendengaran terlatih di United Kingdom, antara lain menyediakan ujian pendengaran berkomputer, alat bantuan pendengaran di samping alat bantuan digital terkini.

Jika ingin mendapatkan pemeriksaan percuma di Clarisound berhampiran, rangkaian itu boleh dikunjungi di Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur; Centerpoint Bandar Utama, Petaling Jaya serta Plaza Gurney, Pulau Pinang.