Memahami sebab budak hisap ibu jari

Tabiat kerap berubah dalam kehidupan seseorang terutama yang membabitkan kanak-kanak.

Semakin lama, semakin sukar untuk tabiat itu diubah.

Tabiat yang positif jika diamalkan akan membentuk keperibadian yang baik.

Misalnya, tabiat makan yang betul, membaca doa sebelum tidur, bangun awal dan bersenam setiap pagi adalah beberapa contoh tabiat positif yang elok diamalkan.

Kanak-kanak mempamerkan tabiatnya yang tersendiri dan sentiasa berubah.

Tabiat negatif pula lazimnya tidak kekal, tetapi ada juga yang berterusan sehingga bertahun-tahun lamanya.

Renungkan tabiat berikut serta cara yang mungkin boleh membantu anda menanganinya:

# Suka menghisap ibu jari

Asas tabiat menghisap jari ini mungkin terbit daripada rasa bosan atau kurang selesa. Kanak-kanak berkenaan mungkin tidak mendapat perhatian daripada ibu bapa dan orang di kelilingnya selama ini.

Dia mendapati bahawa ibu bapanya mula memberikan perhatian dan mengawasi tingkah lakunya apabila dia menghisap jari. Ini menggembirakannya dan dia terus mengamalkan tabiat berkenaan.

Ada juga kanak-kanak yang terikut-ikut kanak-kanak lain. Lazimnya, tabiat ini tidak berlanjutan dan hilang dengan sendiri tanpa terapi.

# Panas baran

Tabiat sebegini adalah sesuatu yang lazim, tetapi adakalanya merunsingkan ibu bapa. Umpamanya, kanak-kanak pada usia dua tahun sering menunjukkan sikap panas baran jika kemahuannya tidak diturutkan.

Pada usia semuda ini, dia hanya mementingkan diri sendiri. Perasaan orang lain tidak dihiraukannya. Kanak-kanak sebegini sering mengatakan ‘tidak mahu’ atau menggelengkan kepala.

Tabiat ini adalah sesuatu yang normal. Ibu bapa tidak perlu membuang banyak masa memujuk rayu anak mereka. Seelok-eloknya, turutkan saja kemahuannya. Tetapi jika kemahuannya tidak wajar, tidak perlu dilayan.

Kanak-kanak ini akhirnya tahu menunjukkan sikap panas baran tidak akan membawa faedah. Pendidikan dan nasihat akan membuatkan pemikirannya cepat matang. Tabiat panas barannya akan beransur-ansur hilang dan dia lebih tahu menggunakan bahasa untuk menyatakan kehendaknya.

# Tidak mahu berenggang

Ada kanak-kanak yang langsung tidak mahu berenggang daripada pelukan ibunya walaupun sudah berusia lima tahun. Sepatutnya, pada usia sedemikian dia sudah boleh ditinggalkan di bawah jagaan orang lain misalnya pengasuh.

Keadaan merumitkan apabila dia mula memasuki alam persekolahan. Seelok-eloknya, dia dilatih dari kecil supaya biasa ditinggalkan di bawah jagaan orang lain menjelang usia tiga tahun.

Lantas tidak hairan jika kita pernah mendengar ada anak-anak yang sudah memasuki tahun satu atau dua masih menangis pada hari pertama persekolahan kerana rasa ‘kehilangan’ ibu bapa mereka.

Kesan psikologi menunjukkan anak sedemikian mungkin mahukan lebih perhatian atau kurang yakin pada diri sendiri.

# Tabiat makan

Tabiat makan yang betul juga mudah dipupuk. Peraturan makan yang diperkenalkan sejak anak-anak masih kecil akan mendorong mereka mengamalkannya sehingga dewasa. Misalnya, tabiat membasuh tangan setiap kali sebelum makan, minum air hanya selepas selesai makan dan seumpamanya.

Kanak-kanak yang tidak digalakkan makan sayur-sayuran mungkin tidak akan menggemarinya apabila dia besar. Makan bersama-sama keluarga dan berdoa sebelum makan akan menjadi tabiat jika dibiasakan.

Kemesraan sewaktu makan mendatangkan selera di samping mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan. Sebaliknya, anak yang sentiasa dileteri dan dimarahi kerana tidak mahu makan atau tidak menghabiskan makanan akan berasa waktu makan adalah waktu membosankan.

# Tabiat menjerit

Kanak-kanak sering terikut-ikut dengan tingkah laku dan bahasa yang digunakan orang dewasa di sekelilingnya. Ibu bapa adalah contoh kepada anak-anak. Jika mereka mempunyai sifat murah hati, pelembut, bersopan-santun, suka menolong orang dalam kesusahan dan suka membaca, amalan terbabit akan mudah diterap anak -anak.

Sebaliknya, jika ibu bapa suka bergaduh atau memukul, ciri negatif inilah yang mungkin akan dipelajari anak-anak

# Tabiat mencuri

Kanak-kanak di bawah usia dua tahun lazimnya tidak boleh membezakan barang milik orang lain dengan barang milik sendiri. Oleh itu, apabila dia ternampak sesuatu yang menarik minatnya, dia akan mengambilnya tanpa memikirkan perbuatan itu salah.

Biasanya, tabiat ini akan ditinggalkan apabila pemikirannya semakin matang.

Adakalanya tabiat mencuri di kalangan kanak-kanak wujud akibat perasaan kurang selesa, serba kekurangan atau bosan.

Segelintir anak yang suka mengambil barang rakan sekelasnya seperti pensil, pembaris atau kotak pensil warna memang merisaukan ibu bapa.

Punca kepada masalah lazimnya disebabkan kesibukan ibu dan bapa yang tidak dapat meluangkan masa untuk bermesra dengan anak mereka sekali gus tidak menyedari anak-anak kurang selesa kerana tidak mendapat perhatian.

Buatlah sesuatu untuk memenuhi keperluan emosi anak sebelum masalah lebih parah.