Membeli Belah di Bandung

“Pelancong Malaysia jika tidak dapat membeli-belah, boleh tarik muka masam.

“Justeru, jika sehari suntuk membeli-belah pun mereka tidak kisah,” kata pemandu pelancong, Widjanarko Suwandhi atau lebih dikenali Pak Wiwid.

Pak Wiwid, 50, yang sering membawa pelancong ke Jakarta dan Bandung, Indonesia sudah masak dengan perangai pelancong Malaysia yang gemar membeli-belah.

Justeru, agenda penting setiap kali pelancong Malaysia datang ke Indonesia ialah membeli-belah.

Lawatan ke acara kebudayaan, muzium, melihat gunung berapi atau pameran hanya untuk mengisi masa terluang dalam aturcara.

Keghairahan pelancong Malaysia membeli-belah di Indonesia bukan pelik jika mengambil kira Ringgit Malaysia (RM) lebih tinggi berbanding rupiah, harga murah, banyak tempat membeli-belah, mudah berkomunikasi dan keseronokan tawar-menawar.

Bukan sesuatu yang menghairankan jika sesuatu barang boleh ditawar atau diskon (bahasa Indonesia) sehingga 70 peratus dari harga asal.

Daripada produk jeans yang beraneka jenis di sepanjang Jalan Cihampelas, produk dan premis di Bandung berkembang seperti cendawan selepas hujan.

Usah mengimpikan jeans jenama mahal kerana di sini produk berkenaan dihasilkan penduduk tempatan dan dijual secara terus kepada pelancong (barangan kilang).

Jangan terkejut melihat patung gergasi Superman, Goku, Rambo dan bintang Hollywood terkenal lain berdiri gagah di hadapan kedai produk jeans.

Barangan kulit mudah didapati di sekitar Cibaduyut termasuk kasut, beg dan pelbagai aksesori lain dengan harga yang murah dan berpatutan.

Anda boleh mendapatkan beg buatan tangan jenama Elizabeth yang terkenal di Bandung di Jalan Otto Iskandar Dinata.

Barangan kilang adalah antara tarikan utama ke kota Bandung. Kebanyakan barangan tektil adalah untuk eksport tetapi pengusaha mendirikan premis untuk menjual secara terus kepada pelanggan dan boleh tawar menawar.

Jangan terkejut kerana ada produk yang dijual dikategorikan gred A atau B kerana ia memang untuk eksport seperti jenama beg tangan Gap.

Jika beg tangan sedemikian untuk eksport, harganya mungkin USD$65 tetapi di Bandung, ia dijual dengan harga Rp45,000 (RM15)

Harga yang murah dan berkualiti menyebabkan premis menjual barangan kulit dan jeans di Bandung menjadi tumpuan di dalam dan luar negara.

“Memang biasa di kalangan pelancong Malaysia jika datang membawa satu beg sorong tetapi apabila pulang ada tiga beg yang mengikut dari belakang,” kata Pak Wiwid sambil tersenyum.

Kos pekerja, sewa dan bahan mentah yang murah menyebabkan produk sedemikian boleh dijual dengan harga rendah.

Malah, ramai peniaga Malaysia mengambil barangan kulit dan jeans daripada Bandung untuk dipasarkan di negara ini.

Kebanyakan premis barangan kilang (factory outlet) terdapat di Jalan Riau, Jalan Dago, Jalan Sukajadi dan sekitar Jalan Setiabudi.

Antara yang terkenal ialah Heritage, Cascade, Summit, Oasis, Metropolitan, Secret, Terminal Tas, Edward Forrer, Stamp, Rumah Mode, Cargo, Cosmo dan Diaz.

Selain syurga membeli belah, Bandung juga tidak kurang hebat dengan pelbagai aneka juadah tempatan dan antarabangsa.

Dari nasi padang, makanan Sunda, bakso, batagor, martabak, soto, lotek, mi kocok, mi ayam, nasi timbel, mi naripan, laksa, sate dan nasi uduk hingga kepada minuman yang menyegarkan tekak.

Dengan belanja di antara Rp20,000 hingga Rp100,000 anda boleh makan dan minum dengan puas bersama keluarga.

Jika mahu menikmati makanan ikan bakar ala Sunda dengan suasana persekitaran ala kampung, anda boleh mencubanya di Kampung Daun Jalan Sersan Bajuri.

Bayangkan bagaimana berselera anda menikmati juadah di pondok kecil beratap rumbia dan ditemani dengan deruan air terjun semulajadi.

Jika mahu ditulis satu buku mengenai makanan dan minuman di Bandung pasti tidak cukup kerana setiap orang mempunyai cita rasa yang berbeza.

Tetapi, di sini bukan tempatnya jika mahu mencari mi Bandung atau air sirap Bandung kerana peniaganya pasti menggeleng kepala.

Mengenai penginapan, ia bukan masalah besar kerana Bandung mempunyai hotel dari dua bintang hingga lima bintang.

Jika mahu mencari sedikit kedamaian selepas sehari suntuk membeli-belah, anda boleh mengunjungi Gunung Tangkuban Perahu untuk melihat kawah gunung berapi yang masih aktif.

Turun dari situ, jangan lupa singgah di kawasan air panas semulajadi di Sari Ater. Jika mempunyai masa, anda boleh mandi manda di air terjun Maribaya.

Di Selatan terutama sekitar Pangalengan mempunyai suhu dingin dan terkenal dengan ladang teh. Sambil menikmati kehangatan teh, anda boleh memancing atau berkhemah bersama keluarga di Kawah Putih.

BAGAIMANA KE SANA

Perjalanan terus menggunakan pesawat dari Kuala Lumpur. Air Asia menyediakan penerbangan terus ke Bandung tetapi tempatnya terhad.

Justeru, anda bagi mengelak menunggu yang lama, anda boleh mengambil penerbangan Kuala Lumpur-Jakarta dan menggunakan bas atau teksi ke Bandung.

Pesawat

Jika menggunakan perjalanan udara ke Bandung, pesawat akan mendarat di Lapangan Terbang Hussein Sastranegara. Namun, kawasan pendaratan agak terhad kerana dikelilingi gunung. Ia hanya sesuai untuk pesawat kecil.

Kebanyakan syarikat penerbangan menawarkan perjalanan ke Jakarta sebelum mengambil kenderaan darat ke Bandung.

Bas

Anda boleh menggunakan bas berhawa dingin tanpa henti dari Jakarta ke Bandung. Ia mengambil masa kira-kira tiga jam. Terminal bas di Bandung ialah Leuwipanjang dan Cicaheum.

Lebih selesa menggunakan mini van yang boleh memuatkan tujuh hingga 10 penumpang yang bertolak setiap beberapa minit.

Anda boleh menyewa kenderaan dari Jakarta ke Bandung untuk tempoh beberapa hari dengan harga di antara RM200 hingga RM300.

Kereta

Perjalanan menggunakan kereta lebih cepat, kira-kira dua jam dari Jakarta yang menggunakan lebuh raya bertol Cipularang.

Di musim hujan, beberapa bahagian lebuh raya itu mungkin ditutup kerana tanah runtuh. Manakala, pada hari minggu, kesesakan mungkin berlaku sebelum tempat pembayaran tol di Djunjunan.

Jika berkereta, anda boleh menggunakan laluan Jakarta-Cianjur-Bandung. Jika mengikut laluan ini, pastikan anda singgah di Puncak, kawasan tanah tinggi yang memang terkenal di Indonesia.

Laluan ini turut membawa anda ke Taman Safari Indonesia di Jalan Raya Puncak.

Keretapi

Syarikat PT Kereta Api Indonesia menyediakan perkhidmatan dari Jakarta ke Bandung dan Surabaya.