Mengapa Mani Keluar Dari Faraj Selepas Klimaks?

Saya ingin mendapat pandangan tuan doktor mengapakah apabila selepas klimaks air mani keluar melalui faraj wanita?

Ingin tahu
Negeri Sembilan

—————-

Keadaan air mani terkeluar dari faraj selepas persetubuhan dianggap perkara semulajadi dan ini dikenali sebagai ‘effluvium feminis’.

Bagaimanapun, perkara ini tidak dapat diterima kerana ia boleh mempengaruhi fertiliti (kesuburan) pasangan kelamin itu jika ia terus berlaku.

Faraj wanita seperti corong yang kempis dan mudah mengembang untuk menerima kemasukan zakar dan apabila ia dilucutkan, faraj kembali kempis.

Ketika perempuan mencapai klimaks, bahagian dalam faraj berdekatan pembukaan pangkal rahim mengembang dan memberi tempat takungan air mani lelaki.

Tempat takungan air mani itu dikenali sebagai ‘vaginal pool’, pangkal rahim terbenam ke dalamnya untuk memudahkan benih lelaki aktif memasuki pangkal rahim.

Jika wanita terbabit bergerak, seperti meluruskan kaki dan merapatkan paha, kedudukan takungan air mani tersekat dan air mani terkeluar dari faraj, terutama jika dia mengemut otot pembukaan faraj (yang biasa dilakukan wanita selepas persetubuhan untuk mengemaskan faraj).

Berdiri dan bergerak juga mengakibatkan takungan air mani terkeluar. Jadi tidak disyorkan wanita berdiri dan berjalan membuang air selepas bersetubuh.
Malahan, air dan sabun musuh benih lelaki dan sperma mudah mati jika terdedah dengan air dan sabun.

Terdapat juga sebilangan wanita mengelap kemaluan dengan tisu kering atau tisu basah dan menyelitkan kain di celah paha kononnya menutup kemaluan atau mahu membersihkan kemaluan.

Untuk merancang kehamilan, semua tabiat ini tidak boleh dilakukan, boleh menjejas keadaan sperma dan merendahkan kemungkinan pencapaian kehamilan.