Menghadapi Penceraian Dengan Hikmah

Menghadapi Penceraian Dengan Hikmah
Tak ramai yang mampu menghadapi perceraian dengan hikmah. Sebaliknya, ramai yang menganggap perceraian itu sebagai satu azab dan musibah.

Memang benar! Setiap perceraian pasti membuatkan seseorang itu terluka dan berasa sedih dengan kejadian yang menimpanya.

Namun, tahukah kita bahawa kegagalan menghadapi perceraian dengan hikmah adalah lebih merugikan. Mengapa? Kerana ia menyebabkan kita terlepas peluang untuk memperolehi kehidupan lebih baik yang tersembunyi disebaliknya.

Kebanyakan kita takut kepada perceraian. Perasaan ini membuatkan kita berusaha untuk tidak bercerai melalui apa jua cara, termasuklah bersabar dengan apa jua dugaan rumah tangga.

Cara itu salah…

Adakalanya perceraian itu menjadi wajib kerana memberi maslahat dan ia adalah suatu keperluan buat pasangan terbabit bagi membina sebuah kehidupan baru atau sebagai satu proses pemulihan serta peluang untuk memperbaiki diri.

Baiklah… kembali kepada tajuk perbincangan. Saya ingin menegaskan bahawa walau apapun punca sesebuah perceraian, kita hendaklah berusaha menghadapinya dengan hikmah. Persoalan yang mungkin timbul di benak kita ialah apakah itu hikmah? Hikmah bermaksud bijaksana, tepat dan menepati kehendak ALLAH. Ini seperti mana sebahagian ulama menyebut bahawa hikmah itu ialah sunnah.

KEFAHAMAN ITULAH HIKMAH

Jika sudah memahami matlamat sebuah perkahwinan itu adalah sebagai ibadat kepada ALLAH, maka dengan sendirinya kita berasa lega dan gembira apabila ia berjaya ditunaikan sesempurna mungkin kerana DIA dan kini ia juga berakhir secara baik kerana DIA jua.

Kefahaman bahawa perkahwinan sebagai satu ibadat adalah sesuatu yang tidak semua orang dapat memahaminya lantaran jiwa dan akal telah dibutakan nafsu serta keghairahan untuk bergembira tanpa batasan dalam dunia yang sementara ini. Kefahaman ini hanya diberi oleh ALLAH terhadap mereka yang memiliki keikhlasan dan berusaha menuju matlamat ubudiyah kepada-NYA.

Hanya mereka yang mengerti bahawa semakin banyak ilmu yang dituntut, maka bertambah berat beban diri dengan pelbagai kewajipan serta ketaatan kepada ALLAH yang baru diketahui dan perlu diamalkan berbanding ketika jahil dahulu. Pemahaman terhadap ilmu ini adalah hasil daripada niat dan keikhlasan untuk mentaati ALLAH, bukannya kerana hal duniawi.

Melalui kefahaman ilmu tersebut, masalah dalam kehidupan dapat diselesaikan menurut keputusan yang adil, menepati kehendak ALLAH serta mencapai maksud ketaatan kepada-NYA dengan sempurna. Keputusan sempurna lagi cemerlang itu mampu memberi ganjaran akhirat yang jauh lebih besar berbanding keputusan yang kurang tepat atau salah.

ALLAH berfirman dengan mafhumnya:

Dan (ingatlah kisah) Daud dan Sulaiman pada waktu keduanya memberikan keputusan mengenai tanaman kerana tanaman itu dirosakkan oleh kambing-kambing kepunyaan kaumnya. Dan adalah KAMI menyaksikan keputusan yang diberikan oleh mereka itu, maka KAMI telah memberikan pengertian kepada Sulaiman tentang hukum (yang lebih tepat); dan kepada kedua-duanya telah KAMI berikan hikmah dan ilmu dan telah KAMI tundukkan gunung-gunung dan burung-burung, semua bertasbih bersama Daud dan KAMIlah yang melakukannya.- Surah al-Anbiya: 78-79

Menurut riwayat Ibn Abbas, sekumpulan kambing telah merosakkan tanaman pada waktu malam. Maka, tuan punya tanaman mengadukan hal ini kepada Nabi Daud. Berikutan itu, Nabi Daud memutuskan bahawa kambing-kambing tersebut harus diserah kepada pemilik tanaman sebagai gantian tanaman yang rosak.

Tetapi, Nabi Sulaiman berkeputusan supaya kambing-kambing itu diserahkan hanya sementara kepada pemilik tanaman untuk diambil manfaatnya dan tuan punya kambing harus mengusahakan tanaman-tanaman baru. Apabila tanaman baru telah dapat diambil hasilnya, maka pemilik asal kambing boleh mengambil kambingnya kembali.

Keputusan Nabi Sulaiman ini adalah tepat kerana ia lahir daripada kefahaman yang sahih terhadap kitab ALLAH berbanding kefahaman ayahnya Nabi Daud yang juga benar. Cumanya Nabi Sulaiman lebih difahamkan akan hal tersebut.

Justeru, hanya mereka yang memahami bahawa pernikahan adalah ibadat dan perintah ALLAH bagi menyalurkan fitrah kita ke jalan halal itulah yang akan mampu untuk mendapat hikmah serta boleh menghadapi perceraian dengan baik lagi redha.

Selama menjadi ibadat kepada ALLAH serta membuahkan pahala, maka ia dikira ideal, mencapai tuntutan dan perintah agama walau apa pun jua versi juga suasana perkahwinan itu.

Al-Quran ada menceritakan perkahwinan versi Asiah, isteri solehah bersama suami yang jahat dan tidak beriman. Di dalam al-Quran ada mengkhabarkan perkahwinan Nabi ALLAH Luth, isteri jahat bersama lelaki soleh.

Di dalam al-Quran juga ada memberitakan mengenai perkahwinan Nabi Ibrahim, perkahwinan Nabi Ismail, perkahwinan Nabi Musa, perkahwinan Nabi Ayub, perkahwinan Rasulullah dan para rasul selain mereka.

Kita melihat pada perkahwinan mereka terdapat bermacam-macam ragam dan cerita yang mampu menumpahkan air mata. Perkahwinan mereka bukanlah kisah fantasi bahagia yang jauh daripada realiti. Para rasul diutuskan di kalangan manusia dan Islam adalah agama yang paling memahami realiti kita:

Katakanlah: “Al-Quran itu diturunkan oleh (ALLAH) yang mengetahui rahsia di langit dan di bumi. Sesungguhnya DIA adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” Dan mereka berkata: “Mengapa rasul itu memakan makanan dan berjalan di pasar-pasar? Mengapa tidak diturunkan kepadanya seorang malaikat agar malaikat itu memberikan peringatan bersama-sama dengan dia?”- Surah al-Furqan: 6-7

Dan KAMI tidak mengutus rasul-rasul sebelummu melainkan mereka memakan makanan dan berjalan di pasar-pasar. Dan KAMI jadikan sebahagian kamu cubaan bagi sebahagian yang lain. Mahukah kamu bersabar?; dan adalah TUHANmu Maha Melihat. – Surah al-Furqan: 20

Terdapat banyak ayat al-Quran yang mempunyai maksud hampir serupa iaitu para rasul adalah manusia biasa seperti kita. Apa yang membezakan mereka dengan kita hanyalah wahyu. Wahyu (al-Quran dan sunnah) iaitu Islam datang untuk memandu kehidupan kita agar menuju ke jalan yang diredhai ALLAH. Kedatangan wahyu juga adalah untuk menyedarkan kita erti sebenar kehidupan di dunia ini:

Dan tidaklah AKU menciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepada-KU. – Surah az-Zariyat: 56

Wahyu mengajar bahawa hidup ini singkat, manusia akan dibangkitkan dan diberi pengadilan serta menyuruh kepada beramal untuk akhirat.

ALLAH berfirman lagi:

Demikianlah KAMI wahyukan kepadamu al-Quran dalam bahasa Arab supaya kamu memberi peringatan kepada ummul Qura (penduduk Mekah) dan penduduk (negeri-negeri) sekelilingnya serta memberi peringatan (pula) tentang hari kiamat yang tidak ada keraguan padanya. Segolongan manusia akan masuk ke syurga dan segolongan pula akan masuk ke neraka Jahannam. – Surah as-Syura: 7

Dan tiadalah kehidupan dunia ini selain daripada main-main dan senda gurau belaka. Dan sesungguhnya negeri akhirat itu adalah lebih baik bagi orang yang bertakwa. Maka, tidakkah kamu memahaminya? – Surah al-An’am: 32

Itulah tugas utama wahyu.

Mukjizat, karamahdan segala macam lagi kelebihan yang diberi kepada para rasul itu hanyalah bagi membantu mereka mencapai objektif utama wahyu iaitu menyedarkan kita bahawa hidup ini singkat, wujudnya akhirat, mengajar cara sebenar menyembah ALLAH, memberi kesedaran agar beramal sebanyak mungkin bagi menghadapi hari pembalasan serta jangan dilalai-kan oleh dunia juga terpedaya dengan syaitan.

Maka, mukjizat itu sekadar membantu agar kita percaya bahawa mereka ini ialah rasul yang benar-benar diutuskan. Kehidupan para rasul itu pula dijadikan contoh dan teladan untuk diikuti oleh kita. Cara mereka menjalani kehidupan itu juga persis seperti kita. Cuma yang membezakan rasul dengan kita ialah kehidupan mereka itu dipandu oleh wahyu.

Justeru, kita yang mahu mencontohi teladan mereka ini pula harus tahu apa yang boleh diikut iaitu mengikuti wahyu dan apa yang dikehendaki wahyu. Jangan tersalah ikut pula. Jadi, kita perlulah memiliki ilmu.

Jika tiada ilmu, kita akan disesatkan oleh iblis dan syaitan. Lebih teruk lagi, kita pula tetap menganggap diri sedang di dalam jalan kebaikan dan mengikuti wahyu. Walhal hakikatnya kita sedang mengikuti syaitan. Ini kerap terjadi kepada ramai orang yang menganggap mereka sedang mengikuti sunnah serta agama.

Tetapi, tidak pula perbuatan mereka itu menjadi ibadat kepada ALLAH atau diterima oleh-NYA.

Pada hari ini orang ramai membuka buku agama, merujuk para ustaz, membaca tulisan karya-karya sunnah tentang alam perkahwinan. Tujuannya satu… semuanya mahu mencari bahagia dan gembira semata-mata.

Mereka mahu tahu bagaimana kami dapat menyelesaikan masalah dengan agama. Mereka mahu tahu bagaimana bentuk perkahwinan dan ciri-ciri rumah tangga yang menjadi idaman sunnah.

Lalu segeralah tampil pemuka-pemuka agama menulis dan mencatatkan isi-isi hadis serta ayat-ayat al-Quran bagi menzahirkan bentuk-bentuk rumah tangga idaman, perkahwinan yang menurut sunnah, cara sunnah menjalani kehidupan rumah tangga dan sebagainya. Namun, sayang sekali… segala apa yang ditulis akhirnya menjadi kosong.

Ia menjadi kosong apabila apa yang ditulis hanyalah kekal sebagai pengetahuan, tetapi tidak diamalkan. Sebabnya satu… masyarakat tidak dapat mengamalkannya kerana personaliti yang mampu mengamalkan sunnah-sunnah seperti yang disebut oleh hadis-hadis di dalam buku-buku agama tidak lagi wujud masa kini, atau jarang sekali orang yang memiliki peribadi seperti itu.

Kemudian, muncul pula tokoh-tokoh agama yang menulis buku tentang praktikal rumah tangga menurut Islam. Maka kita lihat dia memaparkan pengalamannya menjalani rumah tangga.

Diceritakan juga bagaimana dia melayani anak dan isteri. Buku-buku seperti ini mendapat permintaan yang sangat tinggi sehingga menjadi kegilaan orang ramai yang mahu mencontohi mereka di dalam berumah tangga.

Diceritakan setiap hari dia membasuh pinggan, membersihkan tandas, membantu isteri, menjadi bapa mithali di rumah, lalu memetik ayat-ayat al-Quran dan hadis bagi menghiasi serta menjadi bukti sokongan perbuatannya. Jadilah dia tokoh ikutan ramai dan teladan masa kini rumah tangga Islami.

Namun, jika dijenguk ke dalam rumahnya, tidaklah pula kita mendapati keadaannya seindah khabar yang terpapar di dalam tulisan. Sebenarnya… kehidupan ini tidaklah seindah mimpi. Jadi, usahlah berkhayal pada siang hari. Justeru, adalah mengarut jika seseorang itu beranggapan bahawa apabila mengikuti al-Quran serta sunnah, maka dia akan selamat daripada diuji dan dapat menjalani kehidupan yang sempurna tanpa gangguan ataupun dugaan.

Lupakah kita kisah Nabi ALLAH Ya’kub yang diuji dengan anak-anaknya yang berpecah dan kehilangan Yusuf lalu menangis sehingga menjadi buta? Tergugat hati dan jiwa jika kita membaca ayat-ayat ALLAH dengan penuh tadabbur serta memikirkan pengajarannya bahawa kehidupan yang dilalui ini bukanlah sebuah cerita fantasi.

Oleh Ustaz Emran Ahmad

Bagi yang tiada masa ke kedai buku, bolehlah membuat pesanan secara pos. Sila bank in bayaran (menurut harga buku) ke akaun Karangkraf Mall Sdn Bhd. (Maybank – 0142 7120 4204). Tambah RM7 senaskhah bagi kos pos. Kemudian, fakskan slip bank (nyatakan nama, judul buku, alamat & no.tel) ke 03-5101 7483.

Atau sertakan Kiriman Wang/Wang Pos/Cek atas nama KARANGKRAF MALL SDN. BHD. Kirimkan ke Unit Langganan Karangkraf Mall Sdn Bhd, P/S 7041 Pejabat Pos Besar Shah Alam, 40700 Shah Alam, Selangor.

Sebarang pertanyaan mengenai langganan sila hubungi 03 51017480/7481 /7478 HP: 019-3310102 atau http://mall.karangkraf.com