Menguasai doa haji dan umrah

Rata-rata umat Islam seluruh dunia mengakui tentang kewajipan ibadat haji yang difardukan ke atas mereka yang berkemampuan. Hakikatnya, tidak ada umat Islam yang mengingkari, apatah lagi menentang kerana sekiranya ada yang sebegini, maka kufurlah dia.

Tambahan pula, hal ini telah termaktub di dalam al-Quran pada surah ali-’Imran ayat 97, Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dan umrah dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.

Malah ganjaran mereka yang melaksanakan ibadat khusus ini telah diperjelaskan oleh Baginda Rasulullah SAW dengan sabdanya: “Tidak ada ganjaran bagi ibadat haji yang mabrur kecuali syurga”.

Lantaran itu, sudah pasti setiap yang menunaikan ibadat ini mahukan haji yang mabrur iaitu ibadat yang dilaksanakan itu diterima Allah secara mutlak dan diberi ganjaran dan balasan yang luar biasa iaitu syurga.

Sungguhpun begitu, masih ada segelintir bakal jemaah haji yang secara sedar ataupun tidak sekadar mengutamakan persiapan dari segi fizikal dan material. Dengan anggapan, persediaan rohaniah dan mental sudah mencukupi hanya dengan mengikuti kursus-kursus haji atau umrah serta menerusi medium-medium lain seperti bahan-bahan bercetak dan pengalaman jemaah lain.

Hakikatnya, persediaan sebegini masih belum memadai malah menurut Pengerusi Eksekutif, Andalusia Travel & Tours, Datuk Md. Daud Che Ngah, jika dilihat bakal jemaah yang akan berangkat ke Tanah Suci boleh dikatakan 80 peratus adalah mereka yang masih baru ataupun yang kali pertama mereka menunaikan haji serta menerima tawaran menunaikan haji pada saat-saat akhir.

Beliau yang juga mantan Pengurus Besar Bimbingan Haji, Lembaga Tabung Haji turut mengakui para jemaah dari kategori ini lumrahnya akan mengalami beberapa kejutan terutamanya dari segi perbezaan mazhab yang menjadi pegangan jemaah daripada pelbagai ceruk benua di dunia.

Oleh itu, Inteam Records Sdn. Bhd. telah mengambil inisiatif menerbitkan album istimewa berjudul, Doa Haji & Umrah (Himpunan Bacaan Doa dan Terjemahan) dengan menampilkan Md. Daud yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam pengurusan haji dan umrah.

Beliau juga ialah salah seorang ahli Muzakarah Ibadat Haji peringkat kebangsaan dan menjadi setiausaha Majlis Muzakarah iaitu dari tahun 1986 hingga 1998.

Dalam kunjungannya ke Utusan Malaysia baru-baru ini, Md. Daud turut mengingatkan para jemaah agar tidak mengambil mudah soal perlaksanaan ibadat sepanjang mengerjakan haji dan umrah.

“Ada juga jemaah yang mengharap atau bergantung semata-mata kepada mutawif (pembimbing haji atau umrah). Sebenarnya cara begini tidak betul dan ia akan merugikan diri jemaah itu sendiri.

“Kalau umrah mungkin satu-satu kumpulan itu tidak besar jumlahnya dengan nisbah seorang mutawif. Jemaah perlu ingat keadaan ini jauh berbeza pada musim haji, ini kerana nisbah jemaah dengan mutawif boleh dianggarkan 700 jemaah dengan seorang pembimbing.

“Cuba kita bayangkanlah, dengan jutaan jemaah dari negara lain lagi. Tidakkah ini akan menimbulkan masalah dalam memperoleh haji yang mabrur. Sebab itulah peluang berada di Tanah Suci yang ada sesetengahnya mampu pergi sekali seumur hidup, dipastikan persediaan yang lengkap dan terbaik,” tegasnya.

Tambah beliau, album yang mengandungi dua cakera padat (CD) ini amat perlu dimiliki oleh setiap bakal haji dan umrah kerana ia merangkumi himpunan doa-doa yang berkaitan dengan ibadat haji dan umrah, juga diselangi oleh lafaz niat yang berkaitan serta sedikit penerangan yang disampaikan sendiri oleh beliau. Bacaan doa yang disampaikan oleh Muhammad Hazamin Harun telah diperiksa ketepatan bacaannya.

Pada CD pertama, terdapat 39 trek ia cukup lengkap dan bimbingan yang cukup terperinci. Dimulakan dengan penerangan ringkas tentang persiapan berangkat, diikuti oleh doa naik kenderaan, doa ketika kenderaan sedang bergerak, doa ihram dan talbiah.

“Apa yang terdapat di dalam CD ini memang cukup lengkap. Hakikatnya, dengan memperoleh album ini, insya-Allah mereka akan fasih dengan doa-doa di dalam bahasa Arab kerana kita sendiri tahu bahawa Tanah Suci memang tempat yang paling hampir dengan Allah.

“Oleh itu, jangan kita lepaskan peluang dengan sentiasa membasahi bibir dengan berdoa, apa lagi memang ada doa-doanya yang lebih khusus,” katanya lagi.

Jelas Md. Daud, doa-doa ini antaranya termasuklah; doa ketika masuk ke Masjidil Haram, doa istilam Hajarul Aswad, niat tawaf umrah, doa tawaf bermula dari pusingan satu hingga tujuh, doa di multazam, doa selesai solat sunat tawaf, doa minum air zam-zam, niat saie, doa saie pusingan, doa mendekati bukit safa dan marwah, doa di antara dua tiang hijau, doa tamat saie dan diakhiri doa bergunting.

Sementara itu pada CD kedua pula, terdapat 16 trek. Dimulai dengan penerangan mengenai wukuf di Arafah, diikuti ringkasan doa wukuf serta perihal melontar jamrah dan dia selepas melontar. Kemudian bermula tajuk tawaf wada’ disusuli bacaan yang berkaitan dengannya. Niat tawaf wada’, doa pusingan satu hingga tujuh dan diakhiri dengan doa selepas selesai mengerjakannya.

Akui Md. Daud lagi, album yang telah berada di pasaran sejak Oktober lalu ini cukup bernilai dalam membantu mereka yang berhajat untuk menjadi tetamu Allah di tanah haram Mekah dan bumi Madinah.

“Ia bukan sahaja bakal melengkapkan persiapan malah berupaya menjadi salah satu alat bantuan penerangan dalam memahirkan bacaan, sebutan yang betul dan memandu kepada haji mabrur.

“Walaupun doa itu sunat tetapi permohonan kepada Allah itu penting, lebih-lebih lagi ketika berada di sana. Malah saya yakin mereka yang memiliki album ini tidak akan jemu kerana ia ringkas dan praktikal,” katanya mengakhiri sesi temu ramah petang itu.

Oleh ZUARIDA MOHYIN