Muntah, jeluak bayi

Jeluak dan muntah adalah dua perkara lazim yang berlaku pada semua bayi. Dua perkara ini boleh dibezakan dengan mudah berdasarkan sifatnya.

Muntah adalah reaksi semula jadi badan untuk memaksa keluar kandungan dalam perut manakala jeluak (juga dipanggil muak) pula hanyalah luahan cecair — biasanya susu dalam kuantiti kecil.

Pengetahuan membezakan dua perkara ini sangat penting kerana muntah yang berulang kali boleh menjadi petanda kepada penyakit serius si kecil dan mampu mengakibatkan masalah dehidrasi atau kekurangan air dalam badan bayi.

Muntah dikategorikan sebagai masalah perkara biasa dalam kehidupan kanak-kanak. Dianggarkan antara 60 hingga 70 peratus bayi mengalami gejala muntah sekurang-kurangnya sekali dalam masa 24 jam ketika mereka berumur tiga atau empat bulan. Dalam kebanyakan kes, muntah akan berhenti masa satu atau dua hari.

Bagaimanapun, masalah yang biasa ini dianggap membimbangkan jika ia berlaku dalam tempoh neonatal (empat minggu pertama selepas dilahirkan), perut kembung atau sakit perut yang keterlaluan.

Malah, perhatian yang lebih serius perlu diberi jika muntah mengandungi sedikit cecair hempedu atau darah. Jika ini berlaku, bayi anda perlu dibawa segera ke hospital supaya puncanya boleh diketahui.

Antara punca paling biasa menyebabkan muntah di kalangan bayi baru lahir ialah:

l Diberi terlalu banyak susu. Ini adalah punca yang paling kerap dilaporkan. Masalah boleh timbul, terutama membabitkan rumusan susu formula yang mengandungi terlalu banyak protein atau susu dibancuh terlalu pekat kerana ia boleh menyebabkan bayi muntah.

l Bahkan teknik penyusuan yang tidak betul sehingga mengakibatkan bayi menelan lebih banyak udara juga boleh membuatkan si kecil muntah. Selain itu cara memegang bayi selepas disusukan seperti mengangkat (atau menimang) boleh mengakibatkan susu yang berada dalam perut terkeluar balik.

l Gastroenteritis (keradangan perut dan usus kecil)

l Usus kecil tersumbat atau terlalu sempit

l Jangkitan sistemik (memberi kesan pada seluruh badan) seperti jangkitan air kencing, darah, otak dan meningitis

l Batuk akibat jangkitan pada tekak atau paru-paru juga boleh membuat bayi muntah. Justeru, beri perhatian pada bayi setiap kali dia batuk selepas muntah atau tersedak akibat tertelan muntah kerana ia boleh menyebabkan bayi tercekik dan menyebabkan masalah pernafasan.

l Masalah refluks gastroesofagal (GER) iaitu aliran songsang asid dalam perut ke saluran makanan. Ia adalah keadaan biasa dalam beberapa bulan pertama kehidupan setiap bayi. Lebih kurang 40 peratus bayi yang sihat dan normal akan mengalami jeluak atau muntah selepas disusukan.

Refluks yang dialami bayi tidak sama dengan orang dewasa.

GER berlaku apabila kandungan dalam perut mengalir balik (ke atas) dan masuk semula ke dalam esofagus (saluran makanan yang menyambungkan mulut dan perut) ketika atau selepas makan. Esofagus mempunyai satu otot pada bahagian hujung (berhampiran perut).

Otot inilah yang bertindak seperti pintu yang akan terbuka dan tertutup untuk membolehkan makanan sampai ke perut.

Otot ini dipanggil sphincter esofagus bawah (LES). LES akan terbuka untuk membolehkan gas yang terhasil dalam perut ketika makanan dihancurkan dilepaskan (sebagai sendawa).

Dalam keadaan normal, makanan dari mulut akan masuk ke dalam esofagus sebelum sampai ke perut. Bagaimanapun dalam kes GER, pergerakan ini melawan arah. Ketika LES terbuka kandungan dalam perut akan mengalir memasuki esofagus dan keluar di mulut. Akibatnya bayi akan muntah.

GER juga boleh berlaku ketika bayi batuk, menangis atau mengalami ketegangan.

Apa tanda GER?

GER adalah perkara biasa di kalangan bayi. Lebih separuh bayi mengalami GER dalam tiga bulan pertama kehidupan mereka dan biasanya masalah ini akan hilang apabila bayi semakin besar iaitu antara 12 hingga 24 bulan. Hanya sebilangan kecil yang mengalami gejala serius. Antara gejala yang kerap ialah:

l Jeluak

l Muntah

l Batuk

l Bayi tampak gelisah dan tidak selesa

l Tiada selera makan (tidak mahu menyusu)

Ada darah pada najis

Walaupun ia masalah biasa, beberapa gejala perlu diberi perhatian iaitu:

l Pertumbuhan yang perlahan (kerana badan bayi tidak mampu menahan makanan secukupnya. Jika bayi kerap muntah, bayi tidak menerima khasiat susu).

l Sentiasa kelihatan gelisah

l Tidak mahu makan kerana sakit

l Bayi mengalami masalah pernafasan

l Kehilangan darah (kerana asid dalam perut yang mengalir balik ke esofagus boleh menyebabkan pendarahan)

Bagaimana GER didiagnos?

Bayi yang kerap muntah atau jeluak mungkin mengalami GER. Bagaimanapun, untuk mengenal pasti doktor boleh melakukan ujian bagi mengetahui sama ada gejala yang ditunjukkan anak anda itu ada kaitan dengan masalah GER.

Kadang kala doktor akan memberikan rawatan tanpa ujian. Jika bayi anda sihat, bertenaga dan menunjukkan pertumbuhan normal, mereka tidak memerlukan sebarang ujian.

Rawatan

Rawatan untuk GER bergantung kepada gejala dan umur bayi. Sesetengah bayi mungkin tidak memerlukan rawatan kerana biasanya GER hilang sendiri apabila bayi membesar.

Bayi yang sihat mungkin hanya memerlukan susu (makanan) yang lebih pekat dan dipegang dalam keadaan duduk atau tegak selepas makan.

Ibu bapa perlu mengetahui kuantiti susu yang diperlukan bayi kerana berlebihan makan (susu) boleh merangsang gejala refluks. Malah, anda juga perlu belajar beberapa cara memberi bayi makan.

Contohnya beri makan dalam kuantiti kecil tetapi kerap. Makan dalam kuantiti kecil mengurangkan risiko GER.

Selain itu bagi ibu bapa muda khususnya yang baru menimang cahaya mata, dapatkan nasihat doktor anda untuk belajar kaedah lain atau cara memegang bayi yang betul.

Jika doktor mengesyaki bayi anda mengalami masalah alahan, anda perlu menukar susu formula yang diberi kepada anak. Ibu yang menyusukan bayi pula disarankan untuk mengubah pemakanan mereka selama satu hingga dua minggu.

Jika masalah ini berterusan dan bayi tidak membesar dengan baik, doktor mungkin mencadangkan anak anda diberi makanan tinggi kalori atau melalui tiub.

Walaupun muntah dan jeluak adalah perkara biasa di kalangan bayi, tetapi anda disaran segera mendapatkan bantuan doktor jika:

l Anak muntah berulang kali dalam kuantiti yang banyak; khususnya bayi yang kurang dari dua bulan.

l Muntah berwarna kehijauan, kekuningan atau mengandungi ketulan halus berwarna coklat pekat, kehitaman atau darah.

l Bayi sukar bernafas selepas muntah atau jeluak

l Bayi tidak mahu makan sehingga berat badan menyusut atau pertambahan berat sangat sedikit.

l Menangis tidak berhenti dan kelihatan gelisah serta tidak selesa.