Panduan penjagaan kesihatan bakal haji

Dalam menunaikan ibadah haji, jemaah haji perlu membuat persediaan bukan saja daripada segi ilmu mengerjakan haji dan kewangan, malah menyedari pentingnya persediaan tubuh dan minda sihat.

Persediaan perlu dilakukan sejak di tanah air supaya jemaah melaksanakan ibadah dengan sempurna tanpa masalah kesihatan yang menghalang perkara wajib dan rukun haji.

Bakal jemaah haji perlu memahami keadaan di tanah suci, cuaca, suhu, air, rumah kediaman, jarak ke masjid, lif, tandas dan kenderaan.

Ini kerana, untuk sampai ke bumi Arab, mereka menempuh perjalanan jauh, iaitu lapan jam di dalam pesawat sebaik berlepas dari tanah air ke Jeddah.

Perjalanan dari Jeddah ke Madinah dan Makkah menaiki bas pula mengambil masa antara enam hingga lapan jam.

Manakala perjalanan dari Makkah ke Arafah, Muzdalifah dan Mina mengambil masa dua hingga empat jam, kerana keadaan jalan yang sesak.

Untuk mengerjakan ibadah dalam haji, tenaga diperlukan untuk berjalan kaki.

Ketika mengerjakan tawaf misalnya, jemaah akan berjalan kaki sejauh 1.5 kilometer (km) dan saei (3.5km) dalam keadaan bersesak dengan jemaah lain.

Melontar jamrah memerlukan jemaah berjalan 6km sehari selama empat hari berturut-turut dan mereka juga perlu berjalan 1km (pergi dan balik) ke Masjid Nabawi di Madinah selama 40 waktu berturut-turut.

Jemaah juga akan berjalan 2km (pergi dan balik) setiap hari ke Masjidil Haram Makkah untuk menunaikan solat.

Panduan penjagaan kesihatan di tanah air

Bakal haji perlu mendapat rehat dan tidur secukupnya sebelum berlepas ke Tanah Suci. Lumrah bagi mereka yang ingin mengerjakan haji, kenduri doa selamat diadakan sebelum berangkat. Ketika itulah mereka bertemu dan melayan sahabat handai dan jiran tetangga.

Sebaik mungkin, hindarkan tubuh menjadi terlalu penat atau kurang rehat kerana anda akan menempuh perjalanan jauh untuk sampai ke Tanah Suci.

Langkah yang perlu diambil bagi penjagaan kesihatan di tanah air:

* Jaga kesihatan diri dan amalkan gaya pemakanan sihat serta lakukan senaman

* Elak menyembunyikan penyakit dihidapi ketika menjalani pemeriksaan kesihatan

* Diwajibkan menghadiri ceramah kesihatan dianjurkan pihak Tabung Haji (TH) dengan Kementerian Kesihatan di masjid yang mengadakan Kursus Asas Haji dan Kursus Intensif Haji

Senaman

Latih diri dengan ketahanan fizikal seperti berjalan kaki dan bersenam sebelum berangkat ke Tanah Suci

* Bersenam setiap tiga hari seminggu selama 15 hingga 40 minit

* Disyorkan senaman berjalan dan lakukan seperti berikut:

a) Senaman dimulakan dengan berjalan sederhana selama seminit dan berjalan perlahan selama empat minit dan ulang tiga kali untuk jadikan jumlah 15 minit

b) Pada peringkat permulaan, jarak yang tidak terlalu jauh dipilih dan jarak jauh berjalan ditambah secara berperingkat-peringkat sehingga mencapai lima hingga enam kilometer. Sebagai pilihan, senaman boleh dimulakan dalam tempoh lima hingga 10 minit dan selepas beberapa minggu mencapai tempoh 40 minit

c) Perlu dimulakan lima atau enam bulan sebelum anda ke Tanah Suci

d) Dapatkan nasihat doktor sebelum dan selepas senaman jika ada masalah kesihatan

Amalkan amalan makan yang sihat berasaskan garis panduan seperti berikut:

* Pelbagaikan jenis makanan yang diambil

* Imbangi makanan yang anda makan dengan aktiviti fizikal

* Pilih makanan yang banyak sayuran dan buah-buahan

* Pilih makanan mengandungi gula dan garam yang sederhana

* Pilih makanan rendah lemak dan rendah kolesterol

* Makan makanan yang bersih dan selamat

* Minum banyak air kosong

Maklumat khas untuk wanita (haid)

i) Kedatangan haid

Tiada jadi masalah ketika kedatangan haid, kecuali sewaktu tawaf

ii) Pengambilan ubat hormon

Bakal haji wanita yang ingin memberhentikan haidnya dinasihatkan supaya mendapatkan nasihat doktor terlebih dulu sebelum mengambil ubat hormon. Dinasihatkan juga, pengambilan ubat ini dimulakan awal sebelum berlepas ke tanah suci supaya bakal haji wanita terbabit dapat membiasakan diri dengan ubat hormon yang diambil dan jika tidak sesuai, lebih baik tidak diambil. Bakal haji wanita yang mengalami masalah haid juga dinasihatkan berjumpa pakar obstetrik dan ginekologi sebelum berangkat ke Tanah Suci.

iii) Ubat penahan sakit

Bakal jemaah haji wanita yang sering menghadapi masalah sakit ketika kedatangan haid dinasihatkan membawa bekalan ubat penahan sakit yang diamalkan jika perlu.

Panduan kesihatan di Tanah Suci

Perubahan cuaca, gaya hidup seharian, kepadatan penduduk di Tanah Haram Makkah dan aktiviti ibadah haji yang dilakukan boleh menyebabkan tekanan kepada jemaah haji. Bakal haji perlu mempersiapkan diri bagi menghadapi situasi ini serta mengamalkan panduan berikut ketika berada di Tanah Suci:

* Sentiasa bersabar

* Pakai pakaian yang bersesuaian – putih lebih sesuai jika cuaca panas

* Elak kesejukan melampau dengan berpakaian tebal, berstoking, khususnya ketika di Madinah

* Tutup mulut dan hidung dengan penutup hidung dan mulut, serban atau tudung kepala yang nipis apabila berada di kawasan berdebu

* Teruskan amalan meminum air kosong setiap kali pulang dari masjid atau berjalan. Perlu minum dua hingga tiga liter sehari, khususnya apabila hawa panas

* Ambil makanan berzat, termasuk buah-buahan dan sayuran

* Cuci tangan sebelum makan dan selepas menggunakan tandas

* Kerjakan ibadat sunat setakat mana keadaan kesihatan mengizinkan

* Dapatkan rawatan awal bagi mengelak penyakit menjadi teruk

* Elakkan berada di tempat awam sewaktu sesak

Perasaan tidak dapat menahan keinginan untuk membuang air kecil boleh berlaku dalam suasana berikut:

* Meminum teh O (selepas 1-2 jam)

* Meminum air panas, sedangkan suhu sekeliling sejuk seperti pada waktu pagi atau musim sejuk

* Penggunaan kipas dan alat pendingin hawa secara berterusan

Antara penyakit yang sering dihidapi ketika di Tanah Suci ialah:

* Batuk/gatal kulit/ hidung berdarah/ sakit tekak/cirit-birit

* Penyakit serius – strok/radang paru-paru/radang otak/ taun

* Penyakit kronik – darah tinggi/kencing manis/sakit sendi/jantung/ lelah/ buah pinggang

Antara barangan yang perlu dibawa:

* Losen pelembap kulit

* Losen bagi mengatasi kulit kaki menggelupas

* Pelembap bibir

* Penutup hidung dan mulut

* Baju panas dan stoking

* Vitamin tambahan

Jemaah haji dinasihatkan tidak berlapar ketika menempuh perjalanan jauh iaitu Jeddah/ Madinah/ Makkah.

Di Madinah, mereka perlu menyimpan tenaga dan mengelak terdedah kepada cuaca melampau, banyakkan minum air kosong dan memakai baju sejuk.

Di Makkah, jemaah jangan makan lebih selepas dua jam makanan dibekalkan kepada mereka bagi mengelak keracunan dan sentiasa menjaga kebersihan.

* SUMBER: Lembaga Tabung Haji

Info

Ketika mengerjakan tawaf jemaah akan berjalan kaki sejauh 1.5 kilometer (km) dan saei (3.5km) dalam keadaan bersesak dengan jemaah lain.

Melontar jamrah memerlukan jemaah berjalan 6km sehari selama empat hari berturut-turut dan mereka juga perlu berjalan 1km (pergi dan balik) ke Masjid Nabawi di Madinah selama 40 waktu solat berturut-turut.

Susunan Norainon Othman