Payudara sakit sebelum haid
Payudara sakit sebelum haid
Saya ingin tahu punca kesakitan yang saya alami pada payudara sebelum datang bulan. Beberapa bulan kebelakangan ini, saya juga kadangkala mengalami lelehan seperti mukus yang tidak begitu jernih dan bau yang kurang selesa pada bahagian kemaluan.
Pada masa sama, saya juga mengalami sakit dan sengal pada bahagian tapak kaki dan otot sendi. Disebabkan sakit ini, saya berhenti mengadakan hubungan kelamin dengan suami sejak dua bulan lalu. Umur saya kini 36 tahun, sudah berkahwin sejak dua tahun lalu dan belum ada cahaya mata.
Suami saya kini mengumpul duit untuk membawa saya ke hospital sakit puan. Saya risau jika saya mengalami penyakit serius.
Jawapan
SELEPAS proses ovulasi, berlaku peningkatan hormon estrogen dan progesteron yang juga memberi kesan kepada perkembangan payudara.
Payudara dirasai bertambah tegang manakala puting payudara pula menjadi sensitif atau sakit terhadap sentuhan. Ini adalah perubahan normal yang dialami kebanyakan wanita yang subur.
Lelehan faraj yang mengeluarkan bau lazimnya berpunca daripada jangkitan, eloklah ia dirawat.
Berjumpalah doktor untuk mendapatkan rawatan (termasuk penilaian lanjut mengenai masalah sakit pada bahagian sendi anda). Di hospital kerajaan juga mempunyai kemudahan klinik pakar sakit puan dengan kos yang minimum saja.
Doktor boleh melakukan pemeriksaan payudara dan memberi tunjuk ajar untuk anda melakukannya sendiri kelak.
Sewaktu pemeriksaan dalaman alat sulit pula, bukan saja doktor dapat mengambil sampel lelehan untuk ujian kepastian (jenis kuman dan ubat yang sesuai), tetapi juga dapat melakukan ujian pap smear setelah menilai keadaan permukaan alat sulit dan serviks sekiranya terdapat kelainan misalnya luka atau ketumbuhan yang mengeluarkan lelehan terbabit.
Justeru, ia boleh memastikan penyakit serius yang anda bimbangkan. Dengan menghentikan hubungan kelamin, peluang anda hamil juga terhenti.
Usah bertangguh mendapatkan rawatan memandangkan kesuburan wanita semakin menurun dengan kadar yang lebih cepat apabila usia melebihi 35 tahun.









