Pelbagai Masalah Pendengaran

Antara mata dan tahap pendengaran

Doktor,
Saya seorang pelajar bidang kesihatan dan pernah terdengar seseorang mendakwa individu yang memakai cermin mata atau kanta akan mengalami masalah pendengaran jika tidak memakai cermin mata atau kanta lekap mereka. Adakah kenyataan ini benar?

Saya ada memerhatikan beberapa saudara mara yang kurang mendengar percakapan atau teguran orang lain semasa tidak memakai cermin mata seperti ketika membuka cermin mata untuk mengelap peluh di kepala atau ingin ke tandas untuk mandi.

Adakah masalah keupayaan melihat akan menyebabkan otak lebih bertumpu kepada mata dan hilang tumpuan pada telinga?

Jika benar, adakah masalah ini membahayakan pemakai cermin mata atau kanta lekap terutamanya jika cermin mata atau kanta mereka terjatuh ketika berjalan atau melintas dan juga ketika memandu?

– Nur, KL.

Jawapan

Masalah pendengaran tidak menjadi lebih teruk jika seseorang itu memakai atau tidak memakai cermin mata.

Tahap pendengaran tidak ada kena mengena dengan tahap penglihatan seseorang. Namun begitu, seseorang yang kurang pendengaran boleh meneka pertuturan dengan memerhatikan pergerakan bibir seseorang individu.

Ini dipanggil membaca bibir (lip reading) yang selalu dialami oleh seseorang yang lebih tua. Untuk memastikan jika wujud masalah pendengaran, tahap pendengaran seseorang itu patut diuji.

Jika tahap pendengaran itu kurang dan mendatangkan masalah untuk kerja seharian, pesakit boleh memakai alat bantuan pendengaran untuk mengatasinya.

Untuk memandu pula, seseorang tidak perlu mempunyai tahap pendengaran yang sempurna. Apa yang lebih penting ialah penglihatan yang sempurna.

Pendengaran hanya diperlukan untuk mendengar bunyi hon. Seseorang yang mempunyai 50 peratus pendengaran masih boleh membawa kereta dan diberi lesen memandu.

Ujian lanjut untuk kenal pasti punca masalah

Doktor,

Saya berusia lewat 20-an dan tidak mempunyai masalah kesihatan yang besar seperti diabetes atau tekanan darah tinggi tetapi kebelakangan ini mendapati diri agak sukar mendengar bunyi di persekitaran saya.

Saya juga sukar mengagak tahap tona percakapan sehinggakan ada yang menegur saya suka bercakap dengan nada kuat.

Masalahnya, saya tidak perasan suara percakapan saya semakin tinggi. Adakah ini menunjukkan masalah pada tahap pendengaran saya?

Bagaimanapun, saya juga mendapati tumpuan saya jauh meningkat terhadap bunyi halus seperti bunyi latar belakang, bunyi halus desiran angin dalam rakaman, bunyi alat muzik latar sebuah lagu dan juga bunyi pin jatuh dalam suasana biasa (bukan suasana sunyi), sehinggakan saya lebih senang terkejut dengan bunyi halus daripada bunyi kuat.

Untuk makluman doktor, tahap pendengaran telinga kanan saya juga lebih rendah berbanding telinga kiri dan saya juga suka mendengar lagu dengan agak kuat ketika memandu.

Apakah cadangan doktor untuk saya memastikan masalah yang dihadapi dan cara merawatnya?

– Sarip Dol, Kedah.

Jawapan:

Terdapat dua jenis masalah pendengaran iaitu masalah konduksi ataupun sensori neural (saraf). Masalah konduksi berpunca dari pelbagai masalah tetapi yang paling kerap diperhatikan berkaitan dengan masalah kekotoran di saluran luar telinga.

Perlu difahami ini bukan hanya menunjukkan kepada lambakan tahi telinga (earwax). Seperti dimaklumkan sebelum ini, menjaga kebersihan telinga tidak melibatkan penggunaan cungkil kapas sehingga ke dalam telinga kerana itu boleh merosakkan struktur dalaman, menyebabkan pengumpulan tahi telinga berhampiran gegendang dan berisiko merosakkan gegendang telinga.

Masalah sensori neural (saraf) pula berbangkit dari pelbagai masalah yang boleh merosakkan saraf pendengaran yang perlu diuji oleh seorang doktor pakar.

Saudara dinasihatkan supaya berjumpa dengan seorang pakar telinga, hidung dan tekak (ENT) untuk menjalani pemeriksaan telinga dan audiologi.

Ini dapat menunjukkan bentuk dan punca masalah pendengaran yang dialami supaya rawatan sewajarnya dapat disyorkan.

Berita Minggu Ahad, 27 Julai 2008 | 24 Rejab 1429