Pemakaian susuk: Wanita lebih ramai guna susuk – Bomoh Artis

“Susuk ni bukan cucuk dekat muka saja, kat ‘anu’ pun ramai minta bagi kuatkan tenaga batin dan bagi tahan lama di ranjang, ala… bukan orang dewasa saja minta malah, remaja 15 tahun pun minat nak letak,” jelas Awang Mohd Yahya, 55, juga dikenali sebagai Bomoh Artis Nusantara yang mempunyai pengalaman lebih 33 tahun mengendalikan rawatan tradisional terutama pemasangan susuk.

Kenyataan itu jelas membuktikan rawatan susuk masih mendapat tempat di kalangan masyarakat kini tanpa mengenal usia dan pangkat. Hakikatnya, walau sejauh mana susuk dijelaskan serta diharamkan dan ditegah Islam, namun penggunaannya yang terkenal sejak zaman berzaman masih relevan sehingga hari ini.

Awang atau lebih mesra dipanggil Pak Awang, berkata susuk bukan saja rawatan alternatif yang menjadi pilihan golongan bawahan malah bintang filem, ahli perniagaan, golongan profesional seperti doktor, peguam, arkitek dan ahli politik juga menggunakan kaedah ini mencapai hasrat masing-masing.

Beliau berkata, terdapat dua jenis susuk iaitu susuk ayat dan susuk logam. Kebiasaannya susuk ayat ini dipasang pada individu sebagai pendinding diri bagi mencapai hajat tertentu termasuk pemikat, pengasih, penunduk dan pemanis ayat.

“Susuk ayat tidak memerlukan bahan, ia hanya menggunakan ayat yang dibaca dan diserapkan ke dalam tubuh individu dan tujuannya bergantung kepada apa yang mereka hajati. Saya tidak melakukan susuk ayat kepada individu bukan Islam kerana ia tidak mujarab berikutan bacaannya dimulai dengan kalimah Bismilah.

“Kalau bukan Islam saya akan gunakan susuk logam iaitu material yang dimasukkan ke dalam tubuh individu seperti jarum emas, berlian, buluh dan kaca. Namun, saya tidak nafikan masih ramai individu beragama Islam minta pasang susuk logam kerana percaya kepada kemujarabannya,” katanya.

Beliau berkata, permintaan memasang susuk ini juga menjadi trend pelajar sekolah dan universiti khususnya untuk memikat dan menundukkan pasangan masing-masing atau memikat pensyarah bagi mendapat markah tinggi dalam peperiksaan.

Bagaimanapun, katanya permintaan memasang susuk kaum wanita lebih tinggi berbanding lelaki.

“Susuk logam yang terdiri daripada jarum emas, buluh, berlian dan kaca boleh dipasang di mana-mana bahagian tubuh yang dikehendaki individu. Misalnya pada muka untuk menundukkan pasangan sama ada suami, kekasih atau orang yang dihajati; badan sebagai pendinding diri untuk gagah dan perkasa manakala payu dara untuk tambah ghairah pada orang memandang dan serta banyak lagi fungsinya.

“Bagi ahli sukan misalnya pemain bola sepak, mereka minta saya pasangkan susuk untuk kuatkan otot kaki, supaya ‘power’ menyepak bola atau tahan sakit jika terjatuh atau ditendang. Maka saya pasangkan susuk ruksa dicampur pija (ramuan yang sudah dijampi) bagi kuatkan kaki supaya dia hebat di padang,” katanya.

Beliau berkata, susuk logam kebiasaannya dipasang pada muka, namun ada segelintir pelanggan mahu susuk dipasang pada alat kelamin dan payu dara untuk memikat dan menambah ghairah pasangan. Katanya, susuk kelamin dipasang pada kemaluan individu sama ada lelaki dan wanita.

“Saya akan pasangkan pada kelamin individu baik lelaki mahupun wanita dan kesannya pasangan yang meniduri mereka akan ‘ketagih’ dan sentiasa merindui jika tidak dapat bersama. Bukan saja, orang Melayu, Cina dan India bahkan orang putih daripada Amerika pun datang minta saya pasang susuk kelamin,” katanya.

Beliau berkata, setiap susuk logam mengambil masa antara satu hingga dua jam untuk ditanam dalam lapisan kulit individu dan kedudukan bahan susuk itu terletak antara kulit dan daging.

Katanya, susuk tidak akan menembusi lapisan daging atau kulit kerana kedudukannya yang sebenar adalah di tengah-tengah kulit dan daging.

“Selalunya individu tidak akan berasa sakit kerana saya sudah bacakan ayat. Waktu memasukkan susuk tidak ada waktu khusus sama ada malam, siang, pagi dan petang semuanya boleh. Kalau orang Islam saya nasihatkan pakai susuk ayat sebab ia tidak memudaratkan dan lebih selamat.

“Susuk logam ini banyak kesan sampingan antaranya jika terlalu lama dipakai jarum emas akan berkarat dan ini meninggalkan kesan sampingan pada badan seperti sakit sendi, lemah urat dan bisa tulang. Saya syorkan paling lama susuk logam ditanam dalam tubuh antara tiga hingga lima tahun saja, keluarkan dan ganti semula kalau masih perlukan,” katanya.

Awang berkata, ada beberapa sebab kemujaraban susuk logam tidak menjadi antaranya melanggar pantang larang termasuk memberitahu umum mengenai pemakaian susuk. Selain itu, antara pantang larangnya adalah tidak boleh makan pisang emas, buah kundur dan dilarang lalu di bawah ampaian yang disidai kain basah selama dua bulan selepas ia ditanam.

“Bagi susuk ayat antara pantang larangnya pula adalah merahsiakan penggunaan susuk, dilarang garu muka selama tiga hari tiga malam, tidak boleh makan rebung dan keladi selama sebulan, tidak boleh lalu bawah ampaian, dilarang memakai kain sarung bermula daripada kepala.

“Susuk ayat ini ada banyak jenis antaranya untuk pemanis, seri wajah, penarik batin, pulih dara, kelihatan muda, suara merdu dan hebatkan hubungan kelamin. Namun, kalau mahu hebat semuanya ia boleh dirangkumkan dengan memasang ibu susuk iaitu ketua segala susuk ayat,” katanya.

Beliau berkata, kaedah pemasangan susuk ibu dimulai dengan membuang segala ‘kekotoran’ yang ada dalam tubuh individu dengan menggunakan daun pisang yang diletakkan di atas tubuh dan ibu susuk akan dipasang pada bahagian dada dan belakang individu sebelum diminta mengunyah sejenis makanan.

“Pasang susuk ayat tidak payah buang dan orang pun tak tahu. Tapi susuk logam kena buang kalau tak buang nanti individu susah. Justeru, setiap kali tanam susuk logam saya akan ajarkan individu cara membuangnya supaya mereka tidak susah jika dalam keadaan mudarat seperti sakit dan sebagainya.

“Cara buang susuk logam perlukan beberapa bahan iaitu sama ada air perigi ataupun tiga jenis air di kuala sungai berserta beberapa ramuan lain. Apa yang menjadi masalah, bila individu tidak tahu kaedah buang susuk dan orang yang pasang sudah menghilang. Sebab itu saya nasihatkan mereka belajar cara buang,” katanya.

Awang berkata, susuk logam yang ditanam tidak akan bergerak daripada kedudukannya ataupun tidak akan terkeluar sekiranya menggunakan teknik tanam yang sebenar. Katanya, susuk tidak akan bergerak dan sifatnya adalah statik.

“Sekiranya orang yang memakaikan susuk itu mempunyai amalan ilmu hitam, kebiasaannya individu yang dipakaikan susuk akan mengalami mimpi buruk dan dihantui perasaan ketakutan. Kalau niat kita baik insya-Allah tiada apa yang berlaku dan jangan terlalu taksub dengan susuk dan percaya dengan ketentuan yang-Esa,” katanya.

Oleh Siti Fatimah Mohamed Anwar