Pembedahan lasik mata

Lasik adalah kaedah pembedahan refraktif (pembetulan masalah penglihatan) yang paling kerap dilakukan. Ia popular kerana ada banyak kebaikan berbanding teknik lain. Ini termasuk sedikit kesakitan dan keupayaan melihat dengan jelas secepat sehari selepas prosedur lasik.

Alat yang biasa digunakan ialah mikrokeratom untuk menghasilkan ‘flap’ atau bukaan pada kornea. Kini ada kaedah terbaru di mana ‘flap’ dibuat dengan menggunakan laser.

Kaedah Lasik membabitkan pakar bedah untuk mengubah bentuk kornea dengan menggunakan laser eksimer. Apabila bentuk kornea diubah, ia dapat berfungsi dengan lebih baik untuk memfokus cahaya ke dalam mata dan retina dan menyembuhkan kerabunan.

Apakah ciri individu yang sesuai untuk menjalani kaedah Lasik?
Cara terbaik untuk mengetahui kesesuaian anda ialah menjalani pemeriksaan terperinci dengan pakar mata. Syarat utama ialah berumur melebihi 18 tahun, mempunyai kesihatan yang baik dan kesihatan mata yang baik. Mereka yang hamil dan menyusu tidak sesuai kerana perubahan hormon menyebabkan ketidakstabilan status refraksi mata mereka.


Apakah jenis rabun yang dapat dirawat dengan Lasik?

Jenis rabun yang boleh dirawat adalah rabun jauh, dekat, astigmatsma atau silau.

Bolehkah Lasik merawat Presbiopia atau keperluan memakai cermin mata membaca selepas berumur 40 tahun?
Walaupun ada kaedah bagi keadaan ini, ia belum begitu berjaya dan tepat hasilnya. Namun bagi yang mempunyai rabun jauh, kaedah memberi monovision dapat mengatasi masalah presbiopia, di mana sebelah mata diperbetulkan untuk melihat jarak jauh dan sebelah lagi dirawat untuk melihat objek dekat. Bagaimanapun, tidak semua orang selesa dalam keadaan ini.

Berapa cepat seseorang yang menjalani Lasik dapat melihat dengan jelas tanpa cermin mata?
Kebanyakan pesakit dapat melihat sebaik saja selepas kaedah Lasik dan keesokannya individu itu dapat melakukan aktiviti biasa. Walaupun penyembuhan mata berlainan di kalangan pesakit, kebanyakannya mengalami perubahan dramatik beberapa hari selepas menjalani kaedah Lasik.

Apakah risiko Lasik?
Sememangnya ada risiko pada rawatan Lasik. Bagaimanapun, kemungkinan untuk mendapat kesan sampingan yang mengganggu penglihatan seperti dilaporkan di dalam kajian klinikal sangat sedikit. Harus diingat, berjuta-juta orang mendapat manfaat daripada Lasik.

Kesan sampingan yang mungkin berlaku ialah air mata kering, komplikasi flap ketika pembedahan, silau pada waktu malam dan pembetulan rabun yang kurang tepat.

Apakan kebaikan Lasik?
Lasik berjaya mengurangkan kebergantungan kepada cermin mata dan kanta lekap. Namun, kadar pemulihan kepada ketajaman penglihatan yang baik bergantung kepada kadar kerabunan dan kadar pemulihan mata seseorang.

Kemungkinan mendapat ketajaman penglihatan yang selamat untuk memandu adalah setinggi 96 hingga 99 peratus bergantung kepada kadar kerabunan.

Ini bererti seseorang tidak perlu cermin mata untuk aktiviti seperti memandu, bersukan, menonton televisyen, wayang atau bekerja dalam bidang yang memerlukan ketajaman penglihatan seperti polis dan bomba.

Adakah Lasik menyakitkan?
Kebanyakan pesakit berasa kurang selesa tetapi tidak sakit. Bagi kebanyakan orang, perasaan takut dan bimbang adalah lebih teruk daripada prosedur Lasik itu sendiri.

Ubat bius titis diletakkan ke dalam mata sebelum prosedur Lasik. Selepas prosedur Lasik, anda merasa seperti bendasing di dalam mata dan kurang selesa selama beberapa jam. Gangguan ini hilang selepas anda tidur beberapa jam. Anda diberi ubat titis untuk mencegah mata menjadi kering beberapa hari selepas prosedur Lasik.

Apakah kaedah terbaru Lasik?
Alat terbaru dalam pasaran ialah VisuMax Femtosecond yang menggunakan kaedah termoden, selamat dan kurang kesan sampingan. Ia menggunakan kaedah laser untuk menghasilkan ‘flap’ pada kornea sebelum Lasik dilakukan bagi merawat kerabunan.

Kaedah ini tepat dan lembut kepada tisu kornea. Trauma pada mata sangat minimum. Ini menghasilkan pemulihan mata yang cepat dan hasil rawatan rabun yang baik.

Bersama Prof Dr Muhaya Mohamad (Perunding Oftalmologi Perubatan Prince Court)